Agihan pendapatan ASB 7.70 sen seunit

Friday, December 20, 2013

Agihan pendapatan ASB 7.70 sen seunit

Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.70 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Pengerusinya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM9.38 bilion, manakala bayaran bonus sebanyak RM706.88 juta.

Katanya, pembayaran itu juga akan memberi manfaat kepada 8.26 juta pemegang unit yang melanggan sebanyak 127.2 bilion unit ASB.

"Jumlah pendapatan kasar ASB pada 31 Disember 2013, adalah dijangkakan sebanyak RM9.92 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.1 peratus berbanding pendapatan kasar sebanyak RM8.62 bilion yang diperoleh pada tahun lalu.

"Pendapatan dividen daripada syarikat pelabur pula menyumbang sebanyak RM4.41 bilion atau 44.5 peratus daripada pendapatan kasar dan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM4 bilion atau 40.3 peratus, manakala baki 15.2 peratus atau RM1.51 bilion adalah daripada pendapatan lain," katanya pada sidang media di majlis pengumuman pendapatan ASB, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, walaupun pengagihan dividen kali ini rendah sedikit berbanding tahun lalu, kadar itu kekal kompetitif di tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Menurutnya, kadar dividen itu juga bukanlah terendah yang pernah diagihkan oleh PNB sebelum ini kerana pada 2009, pengagihan dividen termasuk bonus ialah 8.6 sen seunit.

"Sebenarnya PNB mampu membayar dividen sebanyak 10.54 sen seunit untuk tahun ini, tetapi kita bawa ke hadapan 2.71 sen seunit bagi membantu portfolio dana ini untuk lebih berdaya mampan di masa hadapan," katanya.


0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI