Anak Tun Hanif Omar selamat dikebumikan

Wednesday, December 11, 2013

Anak Tun Hanif Omar selamat dikebumikan 

Jenazah anak kepada mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara disini pada petang tadi.

Meskipun hujan turun dengan lebat, jenazah Allahyarham Ahmad Jamal Omar Mohd Hanif selamat dikebumi disaksikan hampir 100 hadirin yang terdiri dari ahli keluarga, sanak saudara dan teman-teman rapat keluarga.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hussein Ismail dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan turut sama menghadiri upacara pengkebumian tersebut.

Tun Hanif dan ahli keluarganya walaubagaimanapun tidak mahu ditemubual oleh pemberita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata mangsa bukanlah ditemui meninggal dunia kerana terjatuh ke dalam longkang tetapi sebaliknya ditemui oleh rakannya terbaring sebelah kenderaannya itu.

"Allahyarham dipercayai baru sahaja menghantar pulang rakannya di Seksyen 11, Shah Alam sekitar jam 4.30 pagi dan ketika dia baru mahu memulakan perjalanannya pulang ke rumahnya pula dengan tidak semena-mena beliau terjatuh dan terbaring di luar kenderaannya," kata Zahedi.

Rakan Allahyarham kemudian bertindak menelefon ambulan sebelum satu laporan polis dibuat sekitar jam 6.25 pagi.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sebelum kejadian, Allahyarham dipercayai bersama-sama rakannya ke Damansara.

Difahamkan, melalui bedah siasat yang dijalankan di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pagi tadi, Allahyarham meninggal dunia akibat pendarahan serius pada otaknya.

Allahyarham juga dikatakan pernah menjalani pembedahan otak pada Oktober tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Melati Yahaya, 36 dan dua orang anak lelaki yang berumur enam dan tujuh tahun.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI