Kitar semula di rumah

Friday, December 13, 2013

Kitar semula di rumah

Kitar semula adalah memproses semula bahan-bahan yang telah digunakan kepada bahan-bahan yang baru. Kitar semula boleh mengurangkan pengeluaran (tenaga dan bahan-bahan asli) dan mengurangkan kuantiti bahan-bahan yang dibazirkan daripada pembuangan. Ini dapat menjimatkan penggunaan tanah dan sumber-sumber semula jadi. Walau di mana sahaja anda tinggal atau pergi, sentiasa kenal pastikan lokasi-lokasi pusat kitar semula yang berdekatan. Oleh yang demikian, amalan kitar semula akan menjadi sebahagian daripada aktiviti harian anda.

Rumah merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan aktiviti kitar semula. Kitar semula di rumah adalah sangat penting dan paling mudah dipraktiskan.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk memastikan program kitar semula di rumah dilaksanakan serta menjadi sebahagian daripada aktiviti harian seperti:

- Hubungi pusat kitar semula di tempat anda untuk memastikan jenis-jenis bahan yang boleh dikitar semula dan anda juga boleh bertanya jika mereka ada menyediakan tong-tong kitar semula.

- Letakkan tong-tong atau bakul-bakul yang berbeza untuk mengasingkan bahan-bahan yang hendak dibuang di tempattempat yang strategik seperti di dapur, ruang legar atau ruang tamu, bilik bawah tanah dan garaj.

- Asingkan bahan-bahan yang hendak dibuang mengikut kategori yang telah ditetapkan dan pastikan bahan-bahan yang hendak dibuang dibersihkan terlebih dahulu.

- Labelkan tong-tong atau bakulbakul kitar semula mengikut kategori bahan yang hendak dibuang (contohi: tong coklat untuk kaca, tong oren untuk aluminum dan plastik dan tong biru untuk kertas).

- Gunakan semula barang-barang lama, contohnya:

- Guna semula kalendar dan gambar-gambar lama untuk membuat sampul surat

- Tayar lama boleh digunakan sebagai tempat untuk menanam tumbuhan (pastikan air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes)

- Gunakan semula kotak atau riben dan pembalut hadiah yang masih dalam keadaan baik untuk membalut buku atau hadiah.

- Gunakan bekas ais krim untuk menyimpan bahanbahan makanan di dalam peti ais, menyimpan biskut atau tepung. Bekas ais krim juga boleh digunakan untuk menyimpan krayon dan barang-barang mainan.

- Botol plastik dan tin boleh diubah suai menjadi tempat meletak pensil atau untuk aktiviti kraftangan.

- Perabot-perabot dan pakaian-pakaian lama boleh disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukannya.

- Buku-buku dan majalah-majalah lama boleh disumbangkan kepada sekolah-sekolah, perpustakaan atau di hantar ke pusat kitar semula.

- Jadikan aktiviti kitar semula sebagai aktiviti sekeluarga. Wujudkan sesi latihan untuk setiap ahli keluarga dan tentukan siapa yang bertanggungjawab untuk kerja-kerja kitar semula.

Terdapat banyak kaedah inovatif yang boleh dilakukan untuk mengurangkan pembuangan sampah atau menjadikan kitar semula sebagai salah satu amalan hidup. Yang penting adalah kesungguhan dalam mempraktiskannya.

- Buletin Pengguna

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI