Pemenang Cabutan Istimewa SSPM takut menang RM1juta

Monday, December 30, 2013

"Minggu lalu mak cik bercadang mahu keluarkan semua wang yang disimpan dalam akaun Sijil Simpanan Premium (SSP), tapi tak sangka halangan daripada anak menyebabkan mak cik diumumkan pemenang Cabutan Istimewa SSP," kata Rokeah Mohd Sidek, 77 (gambar) yang kini bergelar jutawan.

Ibu kepada empat anak itu berkata, anak lelaki menghalangnya kerana beliau tidak ada sebarang rancangan untuk membelanjakan wang simpanan RM20,000 berkenaan.

Terkejut diumum menang

Katanya, tiba-tiba malam kelmarin ketika sedang menonton berita di televisyen bersama anaknya, beliau terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Istimewa SSPM.

"Makcik terus menangis bukan kerana gembira tetapi takut memandangkan jumlah hadiah yang dimenangi terlalu banyak. Mungkin ini berkat menyimpan menggunakan wang pencen arwah suami sejak 23 tahun lalu.


"Makcik mendapat wang pencen apabila arwah suami meninggal dunia pada 1982 dan mula menyimpan beberapa tahun kemudian sebanyak RM300 hingga RM400 sebulan selepas dinasihatkan seorang pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN)," katanya.

Semalam akhbar melaporkan, Rokeah diumumkan pemenang Cabutan Istimewa SSP RM1 juta menerusi Cabutan SSP Disember. Kemenangan itu mengakhiri Pencarian Jutawan RM1 Juta yang diadakan BSN sejak awal tahun ini.

Rokeah antara 44,000 pemenang bertuah yang terpilih menerusi Cabutan SSP sepanjang tahun ini.

Nenek kepada 14 cucu itu berkata, setakat ini beliau belum bercadang berbuat apa-apa dengan wang itu kerana masih terkejut tetapi jika diberi kesempatan dan kesihatan baik, Rokeah berhasrat menunaikan haji sekali lagi, selain mengadakan kenduri doa selamat.

"Sehingga kini makcik masih ingat pesanan seorang pegawai BSN supaya teruskan menyimpan kerana jika simpanan banyak ada peluang menjadi jutawan. Tidak sangka kata-katanya menjadi kenyataan.

"Makcik nasihatkan orang ramai supaya teruskan budaya menyimpan dalam SSP kerana kita tidak nampak tuah pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perbankan Islam BSN, Mohd Sofi Mat Jahaya, berkata Rokeah penerima pertama yang menang wang RM1 juta sejak SSP dimulakan pada 1978 kerana hadiah ditawarkan sebelum ini hanya kereta mewah.

Katanya, wang itu akan dimasukkan ke akaun SSP Rokeah dalam tempoh seminggu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI