Bank Rakyat terbit sukuk musyarakah RM500 juta

Friday, December 27, 2013

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menerbitkan sukuk musyarakah tiga dan lima tahun bernilai RM500 juta menjadikannya terbitan bon Islam kedua bank itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Mustafha Abd Razak berkata, terbitan sukuk itu akan mempelbagaikan sumber pembiayaan jangka sederhana dan panjang dan seterusnya dapat memastikan Bank Rakyat mencapai Lembaran Imbangan yang lebih berdaya tahan.

"Dana dari terbitan sukuk ini akan digunakan untuk modal kerja bank dan tujuan am korporat yang lain. Pencapaian Bank Rakyat yang mapan serta profil kewangan yang kukuh adalah daya penarik kepada pelabur untuk terbabit dalam terbitan sukuk ini," katanya.

Terbitan terbaru sukuk bernilai RM500 juta itu juga adalah sebahagian daripada program nota jangka sederhana Islam sehingga RM9 bilion nilai nominal yang dilaksanakan menerusi syarikat tujuan khas (SPV) lantikan Bank Rakyat, Imtiaz Sukuk II Bhd.

RAM Ratings Sdn Bhd memberikan penarafan korporat AA2 untuk terbitan nota jangka sederhana Islam berkenaan dan penarafan baik itu adalah pengiktirafan terhadap pencapaian Bank Rakyat sebagai bank koperatif Islam terbesar di Malaysia, dengan rekod pertumbuhan sihat serta prestasi kewangan yang kukuh.

Sukuk RM500 juta yang diterbitkan menawarkan dua tempoh matang iaitu terbitan sebanyak RM200 juta untuk tiga tahun dengan kadar keuntungan 4.30 peratus dan RM300 juta untuk lima tahun dengan kadar keuntungan 4.45 peratus.

Tahun lalu, terbitan sukuk ulung Bank Rakyat bernilai RM1 bilion terlebih langganan sebanyak 2.05 kali dan menjadi terbitan sukuk yang julung kali dikeluarkan oleh bank koperasi secara bersendirian.

Maybank Investment Bank Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad dilantik sebagai perancang dan pengurus utama bersama terbitan sukuk RM500 juta ini.

Bank Rakyat ialah bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dengan aset keseluruhan bernilai RM83.8 bilion pada akhir September 2013. Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.63 bilion.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI