Mat Sabu sifatkan tuduhan Syiah satu fitnah

Thursday, December 12, 2013

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan dakwaan kononnya beliau seorang pengikut fahaman Syiah sebagai satu tuduhan bersifat fitnah.

Katanya, kenyataan oleh Ketua Setiausaha  Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi pada sidang media petang tadi adalah lanjutan daripada kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

"Saya telah menghubungi peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap fitnah Naib Presiden UMNO dan KSU Kementerian Dalam Negeri terhadap saya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini dari Langkawi.

Mohamad sebelum itu dalam kenyataan ringkas melalui SMS menafikan beliau pengikut fahaman Syiah.

Beliau mengaku kagum dengan kepimpinan pemimpin Revolusi Iran, Ayatullah Ruhollah Khomeini dan Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyid Hassan Nasrallah tetapi itu tidak bermakna beliau berfahaman Syiah.

"Tuduhan mengatakan saya amalkan Syiah, saya tetap nafikan. Dakwaan kagum dengan Khomeini, saya ucap terima kasih.

"Saya memang kagum dengan kepimpinan Khomeini kerana dia seorang pemimpin yang boleh bawa orang Islam berdiri sendiri. Saya juga kagum dgn Hassan Nasrullah," katanya.

Abdul Rahim dalam sidang media petang tadi mengesahkan "orang nombor dua dalam PAS" yang dimaksudkan oleh Zahid ialah Mohamad dan mendedahkan 10 bukti kenapa Timbalan Presiden PAS itu dikaitkan dengan fahaman Syiah.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI