`Saya reda bermadu' - Wan Maimunah

Wednesday, December 11, 2013

`Saya reda bermadu' - Wan Maimunah

Pelakon, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 60, enggan mendedahkan identiti bakal suami kerana statusnya sebagai suami orang, sekali gus demi menghormati dan menjaga hati pihak keluarga di sebelah sana.

Bagaimanapun, katanya, diharap orang luar tidak menjadikan ia sebagai isu kerana pernikahan mereka yang akan berlangsung pada Jumaat ini turut mendapat restu isteri serta ketiga-tiga anak lelaki terbabit.

"Ramai yang tertanya-tanya siapa bakal calon suami saya? Dia hanya lelaki biasa, namun sudah berkeluarga. Saya berterima kasih kepada keluarganya kerana menerima kehadiran saya dan diharap orang ramai di luar sana mendoakan kesejahteraan hidup kami.

"Biarlah identitinya saya rahsiakan untuk menjaga hati insan terdekat. Saya hanya menumpang kasih dan selepas 15 tahun hidup solo, saya mahu lelaki yang boleh menjadi peneman dan pembimbing," katanya.

Mengikut perancangan, Hotel Tropical Inn, Johor Bahru (JB), akan menjadi lokasi pernikahan yang diadakan selepas Maghrib, disusuli majlis persandingan di hadapan kira-kira 250 jemputan.

Dilamar selepas lima hari

Memaklumkan mengadakan hari bersejarahnya secara sederhana dengan dihadiri keluarga terdekat, Wan Maimunah yang selesa disapa dengan panggilan ibu meminta maaf kerana tidak dapat mengundang ramai kenalan.

Diminta berkongsi detik perkenalan dengan lelaki berusia 53 tahun yang bergelar Haji, katanya, mereka bertemu secara kebetulan iaitu ketika menghadiri majlis ulang tahun seorang teman di Johor Bahru, Oktober lalu.

Akuinya, dia sendiri terkejut apabila anak angkatnya, Dr Fairus Jamaludin, menjadi orang tengah menyampaikan hasrat ahli perniagaan terbabit ingin menjadikannya sebagai isteri selepas lima hari berkenalan.

"Awalnya saya meminta masa kerana berkahwin bukan soal main-main, apatah lagi sudah belasan tahun saya hidup sendirian. Cuma, selepas meminta pandangan anak angkat yang mengetahui latar belakangnya yang warak dan kuat pegangan agama, baru saya memberikan persetujuan," kata ibu tunggal dua anak itu.

Doa ibu dimakbul

Dr Fairus berkata, sebelum ini memang ada beberapa lelaki cuba mendekati Wan Maimunah, tetapi hanya dengan lelaki yang dipanggil Haji itu hatinya terbuka untuk kembali bergelar isteri.

"Sebagai anak angkat yang sudah bertahun-tahun mengenalinya, saya tahu hati budi ibu. Jadi, apabila lelaki yang juga kenalan saya menyatakan hasratnya, saya pasti ia bukan didorong hawa nafsu. Dengan kedudukannya, dia boleh mencari wanita muda, sedangkan ibu lebih tua tujuh tahun daripadanya.

"Jodoh mereka sudah ditentukan-Nya. Mungkin doanya ketika kami sama-sama mengerjakan umrah tahun lalu dimakbulkan. Kita doakan saja segala-galanya dipermudahkan.

"Bagi saya, tidak timbul isu halangan daripada isteri pertama kerana pernikahan berpoligami sudah diberikan mahkamah. Cuma sebagai madu, ibu memahami kedudukannya dengan tidak menghebahkan nama calon teman hidupnya itu," ulasnya yang turut membantu menguruskan majlis pernikahan dan resepsi.

Majlis perkahwinan dapat tajaan

Kongsi aktivis amal itu lagi, aktres yang pernah menyandang gelaran Pelakon Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama lima tahun berturut-turut itu akan diwalikan adik atau abangnya.

"Majlis itu nanti turut mendapat tajaan banyak pihak termasuk busana pengantin, solekan dan pelamin. Ikut perancangan, kami sekeluarga mahu adakan persandingan memandangkan hanya keluarga terdekat yang hadir.

"Walaupun acara ini kecil-kecilan, saya mahu ibu dan bakal suaminya mengenang hari penuh bermakna itu. Dijangkakan, rombongan pihak lelaki disertai kirakira 40 ahli keluarganya," katanya.

Oleh Juwie; Hanisah Selamat
~ BH


0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI