AirAsia dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Dunia

Monday, December 02, 2013

AirAsia diiktiraf World Travel Awards 2013

AirAsia Berhad (AirAsia) terus mendominasi industri penerbangan apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Dunia pada majlis penganugerahan berprestij 'World Travel Awards 2013' di Doha, Qatar.

AirAsia yang diwakili Pengarahnya Datuk Aziz Bakar untuk menerima anugerah berkenaan, menerima undian tertinggi daripada anggota juri profesional dalam industri pelancongan dan menewaskan nama besar syarikat penerbangan seperti Air Arabia, Air Berlin, easyJet, JetBlue Airways, Precision Air dan Southwest Airlines.

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Bersama AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata, anugerah itu membuktikan kekuatan jenama yang dicipta AirAsia bermula sebagai sebuah syarikat Malaysia yang kini dikenali serata dunia sebagai jenama antarabangsa berinovasi.

"Pengiktirafan ini meletakkan 'jenama Malaysia' di persada dunia dan memacu misi kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan terkemuka seperti Dubai," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menyifatkan menjadi tanggungjawab AirAsia untuk membantu membangunkan industri penerbangan negara dan berharap usaha itu mendapat sokongan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Majlis penganugerahan 'World Travel Awards' diumpamakan seperti anugerah 'Oscar' kepada industri pelancongan dan memberikan pengiktirafan kepada syarikat, organisasi dan jenama yang berusaha untuk memajukan industri mereka.

~ harian Metro

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI