TPM mohon maaf kepada mangsa banjir

Friday, December 06, 2013

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada semua mangsa bencana banjir kerana kelewatan bantuan bekalan makanan semasa banjir kali ini di seluruh negara.
  
Ia suatu perkara yang tidak diduga.
  
Justeru Muhyiddin mengarahkan agensi kerajaan berkaitan menyedia dan memberi stok makanan dengan segera kepada mangsa banjir memandangkan keadaan meruncing terutama di Kemaman.
  
"Saya telah keluarkan arahan kepada pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara)supaya menyediakan stok bekalan makanan yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya tiga hari.
  
"Amaun yang boleh digunakan tidak menjadi isu. Soalnya bekalan yang boleh kita ambil, mesti disimpan di setiap pusat pemindahan dan saya minta supaya perkara ini diteliti," katanya.
  
Timbalan perdana menteri dan rombongan terpaksa menggunakan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat pemindahan banjir sejauh kira-kira 5 kilometer dari persimpangan Mak Lagam dan kunjungan beliau ternyata menceriakan mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
  
Beliau kemudian menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dan melawat kawasan banjir di beberapa lokasi lain dengan trak tentera berkenaan.
  
Malah Muhyiddin turut meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membekalkan makanan kering ke pusat-pusat penempatan mangsa banjir di semua lokasi yang memerlukan, berikutan keperluan asas yang sedia ada, sudah tidak mampu menampung mangsa banjir yang semakin meningkat.
  
"Saya telah putuskan dengan panglima tentera darat, stok bekalan makanan kering yang digunakan oleh tentera mungin boleh digunakan untuk mangsa banjir," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut mencadangkan satu pasukan perubatan ditempatkan di pusat pemindahan bagi memantau kesihatan mangsa banjir.
  
"Kita telah mencadangkan Jabatan Kesihatan negeri menggerakkan pasukan perubatan dari hospital yang tidak terlibat dengan bencana untuk turun padang. Satu pasukan perubatan perlu ada di setiap pusat pemindahan bagi memantau kesihatan mangsa banjir.
  
"Saya difahamkan ketika ini pasukan tentera telah ditempatkan di sekitar Kemaman. (Ini kerana) doktor di sekitar sini tidak boleh lagi membantu, apabila hospital pun dah sesak," katanya. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI