Pendaki maut terjatuh gaung

Thursday, December 05, 2013

"Selepas tergelincir, dia berpaut pada sebatang pokok kecil, tapi pokok itu patah menyebabkan dia jatuh ke dalam gaung," kata David Spencer, 29, mengenai kematian rakannya ketika menuruni Bukit Tabur, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa Deryck Ng Pee Tat, 32, terbunuh apabila terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter, selepas dua sahabat itu tersesat ketika mencari jalan turun.

Spencer yang juga seorang guru muzik berkata, dia dan mangsa yang bekerja sebagai guru Sains mula mendaki bukit berkenaan pada jam 5.45 petang kelmarin.

Menurutnya, ketika menuruni bukit mereka tersesat dan menemui tali yang terikat pada sebatang pokok di tebing dan menggunakan tali itu untuk turun.

Katanya, mangsa yang terlebih dulu turun telah tergelincir kerana keadaan permukaan tanah licin akibat hujan.

"Selepas Deryck terjatuh saya tak tahu nak minta tolong pada siapa kerana telefon bimbit saya ada padanya. Walaupun keadaan gelap dan basah, saya gagahkan diri mencari jalan turun.

"Tiba di kaki bukit, saya berjumpa dengan seorang lelaki dan meminta bantuan menghubungi pasukan keselamatan," katanya.

Spencer berkata, sebaik pasukan keselamatan tiba, dia diarahkan anggota terbabit menunjukkan tempat rakannya itu terjatuh dan mayat mangsa ditemui hampir empat jam kemudian.

Dia yang berasal dari United Kingdom itu berkata, mereka berdua selalu mendaki bukit bersama-sama sejak setahun lalu.

"Mendiang memang seorang yang gemar mendaki kerana berjaya menurunkan berat badan dari 130 kilogram (kg) kepada hampir 70kg. Disebabkan itu, dia menjadikan aktiviti mendaki ini sebagai suatu senaman ketika hari cuti.

"Namun nasib tidak menyebelahi dia kerana cuaca hujan ditambah dengan keadaan yang gelap menyebabkan dia terjatuh. Apa yang berlaku menjadi suatu pengajaran buat saya," katanya

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sebaik menerima laporan berhubung kejadian, satu pasukan polis peronda dihantar ke lokasi kejadian untuk bantuan awal.

"Maklumat awal kita terima mengatakan ada seorang lelaki terjatuh dari rabung 10 Bukit Tabur. Pada jam 9 malam, seramai lapan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang telah naik untuk mengesan mangsa berpandukan maklumat yang diberikan rakan mangsa.

"Mayat mangsa ditemui di rabung sembilan bukit berkenaan kira-kira jam 11.55 malam dan disahkan meninggal dunia oleh anggota JPAM akibat kecederaan parah di muka dan badan," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat. ~ HM

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI