Bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 dibayar 2 Januari

Sunday, December 01, 2013

Bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2014, akan dibayar pada 2 Januari tahun depan.

Imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi itu dibayar sebagai penghargaan kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan serta akan dibayar berdasarkan gaji Disember ini atau gaji akhir bulanan yang diterima tahun ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, berkata imbuhan tahunan dibayar kepada pegawai kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional, manakala bayaran khas prestasi untuk pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi.

Beliau berkata, pegawai yang layak menerima imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi ialah pegawai lantikan tetap, sementara, kontrak, guru interim, pegawai bercuti separuh gaji dan pegawai yang bercuti tanpa gaji bukan sepanjang tahun.

Turut layak menerima bonus ialah pekerja sambilan harian yang tempoh kontraknya berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut pada tahun ini.

Bayaran imbuhan

"Pembayaran imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi 2013 adalah menjadi tanggungan jabatan di mana pegawai berkhidmat pada bulan pembayaran.

"Bagi pegawai yang bersara atau meninggal dunia pada tahun ini, bayaran imbuhan atau bayaran khas prestasi adalah menjadi tanggungan jabatan terakhir pegawai itu berkhidmat," katanya menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 32 Tahun 2013 yang dimuat naik di laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), semalam.

Mohamad Zabidi berkata, pegawai yang tidak layak menerima imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi termasuk pegawai yang berkhidmat kurang 30 hari berturut-turut, pegawai yang bercuti tanpa gaji serta pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya, badan antarabangsa dan syarikat swasta sepanjang tahun ini.

Kategori tak layak

Turut tidak layak ialah pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib, selain hukuman amaran tahun ini, pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dan pegawai yang meletak jawatan tahun ini.

"Pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan dikeluarkan Pihak Berkuasa Tatatertib, ditangguhkan pemberian imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi.

"Pegawai terbabit hanya layak dibayar jika Pihak Berkuasa Tatatertib mendapatinya tidak bersalah atau hanya dikenakan amaran," katanya.

Mohamad Zabidi berkata, penerimaan pakai pekeliling perkhidmatan itu tertakluk pihak berkuasa masing-masing dan peruntukannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI