MRSM sedia 2,415 tempat bagi lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013

Tuesday, December 24, 2013

MARA menyediakan 2,415 tempat bagi lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 memasuki Tingkatan Empat di 46 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara, tahun depan.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan MARA, keutamaan diberikan kepada calon daripada keluarga berpendapatan rendah dan memperoleh keputusan cemerlang PMR 2013.

"Calon juga perlu memenuhi syarat kelayakan ditetapkan iaitu 6A 2B bagi Semenanjung serta 5A 3B untuk Sabah dan Sarawak dengan A dalam Matematik dan Sains. Hanya permohonan yang memenuhi syarat kelayakan saja akan dipertimbangkan.

Semak keputusan

Menurut kenyataan itu, permohonan bagi calon Semenanjung sudah ditutup, manakala tarikh akhir bagi permohonan secara online bagi calon di Sabah dan Sarawak ialah pada 6 Januari 2014 dan penghantaran cetakan borang dan dokumen pula pada 10 Januari 2014.

Borang dan dokumen lengkap yang dicetak perlu dihantar ke alamat, Permohonan Ke Tingkatan 4, Pengarah, Bahagian Pendidikan Menengah, Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA, 21 Jalan Raja Laut, 50609 Kuala Lumpur.

Calon yang memohon boleh menyemak keputusan permohonan masing-masing menerusi laman web www.mara.gov.my pada 21 Januari 2014.

Aplikasi e-rayuan

Semakan boleh dibuat dengan memasukkan nombor kad pengenalan masing-masing dan calon yang berjaya dijangka mendaftarkan diri di MRSM ditetapkan pada 10 Februari 2014.

Bagi calon gagal mendapat tempat pada pengambilan pertama, mereka boleh mengemukakan rayuan menerusi aplikasi e-rayuan untuk dipertimbangkan sekiranya terdapat kekosongan selepas pendaftaran.

Semua MRSM yang menerima kemasukan Tingkatan Empat kecuali MRSM Pasir Tumboh dan MRSM Gerik menawarkan jurusan sains tulen sebagai jurusan utama.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI