Setiap ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka, sama ada dari sudut pemakaian, pemakanan, lebih-lebih lagi perkara berkaitan pendidikan mereka. Memiliki pendidikan sempurna adalah antara faktor ke arah membina kehidupan bahagia. Pendidikan merupakan salah satu agenda penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan masyarakat yang benar-benar berilmu.
Jika dilihat kepada situasi semasa, ramai di antara pelajar-pelajar yang boleh dikategorikan sebagai cemerlang tidak dapat menyambung pelajaran mereka disebabkan faktor kewangan yang tidak mencukupi dan tidak mendapat bantuan, sama ada berbentuk pinjaman atau biasiswa dari mana-mana institusi yang menawarkannya seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebagainya. Lebih 30,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang layak meneruskan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan dikhuatiri enggan berbuat demikian ekoran pembiayaan pendidikan yang masih kabur (Utusan Malaysia, 2 Februari 2006).
Pelajar-pelajar ini mengharapkan 100 peratus pinjaman atau biasiswa dari institusi-institusi yang terlibat, namun disebabkan kegagalan peminjam-peminjam sebelum ini menjelaskan pinjaman pendidikan mereka, menyebabkan generasi pelajar hari ini gagal mendapatkan pinjaman untuk memulakan pengajian.
Ibu bapa sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sepatutnya. Memandangkan kos pendidikan sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, ibu bapa perlu merancang kewangan khususnya berkaitan pendidikan sejak dari awal kelahiran anak mereka agar anak-anak tersebut berupaya memperoleh pendidikan yang sempurna. Apabila ibu bapa mampu merancang, sudah pasti polemik berkaitan pinjaman pendidikan ini tidak timbul lagi.
Sebenarnya, konsep merancang kewangan dan mengurus risiko yang bakal dihadapi terkandung dalam firman Allah yang bermaksud: Yusuf berkata: Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuaikan hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sukar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar) kecuali sedikit daripada (biji gandum) yang akan kamu simpan. (Yusuf: 47 dan 48).
Manusia diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersiap-sedia menabung dalam menghadapi kesusahan yang mendatang khususnya berkaitan pengurusan kewangan. Walaupun sudah 1,400 tahun, konsep demikian masih relevan dengan kehidupan masyarakat Islam hari ini.
Permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia meningkat dari tahun ke tahun sedangkan kekosongan yang ada tidak mampu menampung jumlah permohonan yang begitu tinggi. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi, sebanyak 139,207 permohonan bagi kemasukan pelajar ke IPTA bagi sesi 2009/2010 telah diterima.
Pertumbuhan Ekonomi Melayu
Daripada jumlah itu, 71,173 permohonan adalah bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya, sedangkan kekosongan hanyalah sekitar 28,000 manakala bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), permohonan yang telah diterima adalah sebanyak 68,034 permohonan dan kekosongan yang ada hanyalah sejumlah 40,500 sahaja (Kenyataan Akhbar , 24 Februari 2009).
Berdasarkan Kajian dari Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia mendapati hampir 120,000 pelajar Melayu lepasan SPM dan STPM gagal mendapat tempat di IPTA pada tahun 2005. Hasil kajian berdasarkan penelitian terhadap statistik Unit Pengambilan Universiti (UPU) itu menunjukkan kumpulan tersebut mempunyai kelayakan yang mencukupi tetapi gagal melanjutkan pengajian ekoran bilangan tempat yang sangat terhad. (Utusan Malaysia, 13 Julai 2005).
Biarpun statistik ini dikeluarkan pada tahun 2005, namun ia sinonim dengan situasi semasa hari ini di mana saban tahun jumlah permohonan kemasukan ke IPTA meningkat dan melebihi jumlah kekosongan yang ditawarkan oleh pihak IPTA tersebut. Selain itu, bagi tahun ini, pemilihan pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti akan ditentukan melalui sistem meritokrasi. Sebanyak 90 peratus akan dinilai melalui pencapaian akademik dan selebihnya 10 peratus daripada penglibatan ko-kurikulum mereka.
Jika pelajar-pelajar terbabit terdiri daripada pelajar-pelajar yang kurang aktif, sudah pasti peluang mereka amat sukar. Justeru, bagi memastikan anak-anak masih dapat melanjutkan pengajian mereka, tidak mungkin tidak para ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka ke IPTS yang ada di dalam dan luar negara. Ini sudah semestinya melibatkan kos yang begitu tinggi.
Perkara lain yang perlu diketahui oleh para ibu dan bapa ialah kos pengajian bagi kursus-kursus yang ditawarkan di IPTA dan IPTS semakin meningkat. Sebagai contoh, bagi kursus undang-undang yang ditawarkan di IPTA, kos pengajian adalah sekitar RM35,000 - RM40,000 dan akan meningkat kepada RM70,000 menjelang tahun 2015. Begitu juga bagi kursus-kursus lain seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya (Berita Harian,2001)
Bagi mengurangkan bebanan ibu bapa yang terpaksa menanggung kos pendidikan yang tinggi, di antara instrumen lain yang boleh dijadikan alternatif kepada pinjaman dan biasiswa pendidikan ialah dengan menyertai pelan takaful. Pengendali-pengendali takaful bukan sahaja menyediakan pelan perlindungan dan pelaburan semata-mata, malah terdapat juga pelan pendidikan supaya ibu bapa dapat menyediakan dana atau tabungan pendidikan untuk anak-anak mereka di masa hadapan nanti. Pelan seperti ini akan dapat membantu pelajar-pelajar meneruskan pendidikan mereka, sama ada menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS.
Bagaimanapun katanya, di Malaysia, masyarakat masih kurang faham tentang kepentingan takaful terutama kesedaran mengenai perlindungan masa depan anak-anak seperti pendidikan. Pelbagai pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan keperluan perlindungan pendidikan menjadi satu agenda penting dalam pengurusan kekeluargaan dan diambil berat oleh ibu bapa.
Dalam merancang kewangan, ibu bapa perlu mengetahui apa sebenarnya keperluan untuk keluarga mereka dan memastikan keutamaan diberikan kepada keperluan yang benar-benar mendesak seperti keperluan pendidikan anak-anak. Sekiranya ibu bapa peka dengan keperluan dan kehendak pendidikan semasa, sudah pasti mereka akan merancang kewangan dan perbelanjaan serta mengambil pelan takaful pendidikan untuk dana pendidikan anak-anak mereka pada masa akan datang.
Contoh produk untuk tabungan pendidikan yang ditawarkan di pasaran ialah Ikhlas Education Takaful Classic (IET) , iaitu merupakan produk milik Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.
Manfaat-manfaat yang ditawarkan oleh IETC ialah Manfaat Kematian & Kehilangan Upaya Kekal dan Menyeluruh (TPD), kematangan, pengeluaran wang tunai (mengikut syarat yang telah ditetapkan), penambahan kadar sumbangan dan juga Anugerah Pencapaian Cemerlang. Bagi peserta yang anak-anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM. Manfaat anugerah adalah RM100 untuk setiap markah A yang dicapai di dalam semua mata pelajaran UPSR (minimum 5A), PMR (minimum 7A) atau SPM/SPVM (minimum 7A).
Pengendali-pengendali takaful yang lain juga ada menawarkan produk-produk pendidikan seumpama ini. Jadi, tidak ada alasan bagi ibu bapa untuk menyediakan dana pendidikan anak-anak mereka seawal yang mungkin.
Imam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, "Sesungguhnya anak-anak kita adalah permata." Jadi tugas kita selaku ibu bapa ialah menggilap permata-permata ini agar sentiasa bersinar dengan memberikan pendidikan yang sepatutnya kepada mereka. Jika anak-anak ditinggalkan dengan dana pendidikan yang mencukupi, sudah pasti mereka akan dapat meneruskan pengajian dan meningkatkan lagi tahap pendidikan di Malaysia ini. Selain itu, matlamat melahirkan insan yang berilmu pengetahuan sebagaimana yang dinyatakan did alam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan.
Sebagai akhirnya, renungkanlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari: Tinggalkan anak dan isteri dengan kesenangan lebih baik daripada tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
Takaful dan pelan pendidikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment