Skim caruman 1Malaysia dilancar
Orang ramai yang bekerja sendiri boleh mula mencarum dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia dengan kadar minimum RM50 dan maksimum RM5,000 sebulan mulai 3 Januari depan sebagai simpanan untuk persaraan mereka.
Pencarum akan menerima dividen tahunan tetap sebanyak lima peratus yang disumbangkan oleh kerajaan, tertakluk kepada jumlah maksimum RM60 setahun, selama lima tahun bermula tahun depan hingga 2014.
Skim yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2010 Oktober lalu juga memberi peluang kepada pencarum menikmati dividen tambahan yang akan tetapkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Skim itu dibuka kepada individu bekerja sendiri seperti petani, nelayan, pemandu teksi, penjaja, peniaga pasar malam, ejen hartanah, golongan bekerja bebas seperti deejay, tenaga pengajar kesihatan dan kecergasan, penyanyi dan pelakon serta pemilik perniagaan dalam talian.
Ketua Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, dalam satu kenyataan semalam, berkata tidak seperti skim simpanan KWSP biasa, jumlah yang dicarumkan bergantung kepada kemampuan pencarum.
"Ahli boleh memilih caruman minimum RM50 sehingga RM5,000 sebulan. Caruman adalah secara sukarela dan tidak perlu caruman setiap bulan," katanya.
Mereka yang berminat perlu mengisi Borang KWSP 16G(1M) yang boleh diperoleh di cawangan KWSP seluruh negara atau memuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my mulai 3 Januari depan dan dikembalikan ke cawangan berdekatan KWSP atau melalui serahan mel.
Bagaimanapun, mereka yang belum menjadi ahli KWSP perlu berdaftar sebagai ahli dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya kepada KWSP sebelum memohon menyertai skim ini.
Simpanan boleh didepositkan secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(2) di Kaunter Bayaran KWSP seluruh negara.
Ahli KWSP sedia ada yang kini bekerja sendiri layak menyertai skim baru ini dan pengeluaran simpanan tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa KWSP.
Bagaimanapun, beliau berkata, ahli digalakkan mencarum secara berterusan tidak kira berapa jumlahnya kerana disiplin amat perlu apabila menyimpan untuk persaraan.
Untuk keterangan lanjut, sila kunjungi pejabat KWSP berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 atau layari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.
Oleh Shahrizan Salian
Skim caruman 1Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment