Kontroversi Adam Lambert

Friday, December 18, 2009


Lupakan sahaja kontroversi yang menghimpit dirinya selepas membuat persembahan penuh elemen seksual dan memberahikan menerusi lagu For Your Entertainment pada American Music Awards lalu.

Kerana empunya badan, Adam Lambert tidak sesekali akan meminta maaf di atas kejadian itu. Namun dia dengan penuh jujur mengakui sememangnya dia sedikit terbawa-bawa dengan persembahannya itu.

"Saya mengaku bahawa saya memang hanyut seketika dengan persembahan saya tetapi saya tidak melihatnya itu sebagai satu kesalahan.

"Malah, saya tahu ramai yang tersinggung dengan perlakuan saya tetapi itu bukan niat saya yang sebenar.

"Kalaulah penyanyi wanita melakukan perkara serupa apa yang saya lakukan, pastinya tidak ada sesiapa yang menghiraukannya.

"Pada pandangan saya, kontroversi ini dicetuskan hanyalah kerana saya seorang homoseksual," kata naib juara American Idol musim kelapan ini memberikan pandangan mempertahankan dirinya dalam rancangan The Early Show baru-baru ini.

Menerusi persembahannya pada malam anugerah berprestij itu, Adam dikatakan melampaui batas apabila menyelitkan unsur erotik yang telah mencetuskan perdebatan.

Dalam persembahannya itu, dia telah mencium pemain keyboard yang mengiringinya persembahannya serta menari dan menyanyi dengan bahasa tubuh yang menonjolkan elemen seksual.

Bukan itu sahaja, dia turut menolak muka seorang penari iringan ke bahagian depan seluarnya seolah-olah sedang melakukan aksi seks oral.

Ekoran daripada persembahannya itu, stesen televisyen ABC yang menayangkan acara anugerah itu secara langsung telah dikritik hebat.

Tidak cukup dengan itu, slot temuramah bersama Adam yang sepatutnya menjadi tetamu undangan dalam rancangan Good Morning America beberapa hari selepas acara itu terpaksa dibatalkan.

Kini, Adam dikatakan terpaksa menanggung risiko apabila kemungkinan besar dia akan kehilangan peminatnya yang selama ini tidak memandangkan kepada orientasi seksnya itu.

Apatah lagi, album perdananya, For Your Entertainment baru sahaja dipasarkan dan para pemerhati hiburan di Hollywood melihat insiden yang berlaku akan meninggalkan impak yang besar terhadap karier Adam.

Mungkin Adam mahu membuktikan kepada masyarakat dan pecinta muzik seantero dunia bahawa dia mahu menjadi penghibur yang baik tetapi malangnya, dia sudah tersilap langkah.

Ini sendiri diakui oleh wartawan muzik majalah Entertainment Weekly, Michael Slezak yang menyifatkan Adam hanya merugikan dirinya sendiri.

"Harus diakui, Adam memiliki suara yang cukup bagus untuk membuatkannya bertahan lama di dalam industri tetapi dia tidak sedar bahawa dia tidak sepatutnya beraksi sedemikian.

"Dia harus sedar bahawa dia masih baru dalam bidang ini dan perjalanan seninya juga baru hendak bermula.

"Jadi, apabila dia memberi salam perkenalan kepada dunia dengan persembahan begitu, bukan mudah untuk semua orang dapat menerimanya dengan terbuka," ulas Michael kepada Reuters tidak berapa lama selepas kontroversi tersebut melanda.

Biarpun begitu, Adam langsung tidak melihat apa yang berlaku sebagai satu halangan untuk dirinya bergelar seorang penghibur yang disegani satu hari nanti.

Baginya, setiap anak seni yang mahu menjadi seorang penghibur yang berjaya perlu berdepan dengan risiko dan cabaran kerana tiada jalan mudah untuk berjaya.

Walaupun bermula dengan platform American Idol yang memperkenalkan namanya, tetapi bagi Adam itu tidak menjamin apa-apa jika tidak bijak mencari peluang dengan bakat yang ada.

"Saya bertuah kerana orang tidak memandang kepada siapa diri saya sebaliknya menghargai bakat dan suara yang dikurniakan kepada saya.

"Apatah lagi, kehidupan saya juga kini sudah banyak berubah dan saya harus berterima kasih kepada American Idol kerana mengubah hidup saya secara total.

"Apa yang penting buat saya sekarang adalah untuk memberikan fokus dan perhatian terhadap album sulung saya yang mula berada di pasaran sejak 24 November lalu," katanya panjang lebar.

Berbicara tentang album sulungnya itu, ternyata ia cukup mengujakan Adam yang bangga dengan penghasilan serta muzik yang dibawakannya.

Jelasnya, setiap muzik di dalam album berkenaan merupakan lambang manifestasi serta refleksi kepada dirinya serta apa yang dimahukannya dalam hidup.

"Album saya ini masih lagi berteraskan pop tetapi disuntik dengan elemen dance dan funk yang mampu membuatkan pendengar menari sepanjang malam.

"Saya juga tidak mahu kembali kepada muzik klasik rock yang pernah saya bawakan sewaktu American Idol dan saya pasti penonton juga tidak akan menghargainya.

"Saya sudah melakukan semua itu. Kini, saya mahu satu perubahan dan semuanya itu dapat dilihat menerusi album saya," ujar Adam atau nama sebenarnya Adam Mitchel Lambert ini penuh optimis.

Minggu pertama album ini diluncurkan, ia mendapat respons yang cukup positif apabila terjual sebanyak 250,000 salinan sekali gus meletakkan album For Your Entertainment ini di tangga ketiga carta Billboard 200.

Adam mempunyai 1001 alasan untuk berasa bangga dan puas hati dengan album perdananya itu kerana ia dibarisi oleh komposer serta penulis lirik berpengalaman yang bijak mencorakkan albumnya itu.

Antaranya adalah Lady Gaga, Linda Perry, Pink, Max Martin, Kara DioGuardi dan Adam sendiri yang menyumbangkan empat buah lagu iaitu Broken Open, Aftermath, Pick U Up dan Strut.

Bagi peminat Adam, pastikan anda tidak melepaskan peluang mendapatkan album ini yang sudah pun berada di pasaran tempatan yang diedarkan oleh Sony Music Entertainment.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI