Tips pilih Pakej Umrah
Hasrat murni jemaah menunaikan ibadah umrah dengan sempurna dapat ditunaikan sekiranya jemaah mengambil langkah-langkah berikut:
i. Membuat kajian perbandingan harga pakej-pakej yang ditawarkan. Kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang dipilih. Setiap promosi yang diiklankan mempunyai nombor rujukan kelulusan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia;
ii. Menyelidiki latar belakang agensi; lesen dan permit untuk outbound yang sah; pengalaman agensi mengelolakan umrah dan urusan visa yang dikendalikan oleh agensi; dan sama ada agensi menguruskan sendiri atau menggunakan khidmat orang tengah;
iii. Mengambil tahu syarikat penerbangan, jenis perjalanan sama ada terus ke Jeddah atau ke Madinah atau jemaah perlu transit dan bermalam di negara lain;
iv. Mengambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi;
v. Bagaimanakah bayaran dibuat. Sama ada kepada akaun syarikat atau kepada akaun persendirian pengurus agensi atau kepada akaun agen-agen yang dilantik oleh agensi.
Pastikan jemaah menyimpan resit pembayaran dan dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh agensi;
vi. Adakah terdapat bayaran-bayaran tambahan yang tersembunyi;
vii. Adakah agensi mengenakan syarat-syarat tambahan yang tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa;
viii. Adakah agensi mengadakan kelas bimbingan umrah; dan
ix. Setelah berpuas hati dengan maklumat-maklumat seperti di atas barulah jemaah boleh membuat pemilihan agensi pengelola umrah.
Tindakan
Agensi-agensi pengelola umrah terikat dengan akta dan peraturan berikut:
i. Akta Industri Pelancongan 1992;
ii. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992;
iii. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pelesenan dan Pengawalan Pemandu Pelancong) 1992;
iv. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pelesenan Institusi Latihan Pelancongan) 1994;
v. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Mengkompaun Kesalahan-Kesalahan) 1992;
vi. Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999; dan
vii. Peraturan-Peraturan Kenderaan Pelancongan (Pelesenan dan Pengawalan Kenderaan Pelancongan).
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) amat prihatin tentang kes-kes kegagalan agensi pengelola umrah membawa jemaah ke Tanah Suci. Jemaah yang rasa tertipu atau tidak puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan bolehlah membuat aduan kepada Jawhar.
Bagaimanapun jemaah tersebut perlu mengemukakan invois pembelian pakej, jadual lawatan, resit pembayaran, gambar atau apa-apa dokumen yang boleh membuktikan kesahihan aduan.
Aduan juga boleh dikemukakan kepada Bahagian Pelesenan, Kementerian Pelancongan Malaysia.
Penutup
Keghairahan jemaah menunaikan umrah menyebabkan mereka alpa hak-hak sebagai pengguna apabila mendaftar dengan sesebuah agensi pengelola umrah.
Kegagalan menunaikan umrah mengikut tarikh yang dijanjikan menyebabkan jemaah mengalami kerugian kerana perjalanan dan cuti yang telah dirancang terpaksa ditunda.
Perubahan jadual perjalanan ini juga akan menyebabkan jemaah terpaksa membatalkan hasrat menunaikan umrah.
Justeru, buatlah pilihan yang bijak dan betul.
Oleh WAN NAJMIAH WAN MOHAMED ALI
Tips Pilih Agensi Pakej Umrah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment