Misteri Firaun 'Raja Tut' akan dirungkai

Tuesday, February 02, 2010

Antara misteri besar yang masih diselubungi tanda tanya mengenai tamadun Mesir purba, keturunan Firaun Tutankhamun, akan dirungkai tidak lama lagi, demikian menurut ketua jabatan antikuiti negara ini semalam.

Zahi Hawass memberitahu pemberita, satu sidang akhbar telah dijadualkan 17 Februari ini di Muzium Kaherah bagi mendedahkan penemuan ujian DNA yang diambil daripada sampel firaun paling terkenal di dunia itu.

"Pengumuman itu akan membongkar 'rahsia keluarga dan hubungan Tutankhamun', berdasarkan hasil ujian saintifik ke atas mumia Firaun yang juga dikenali sebagai 'Raja Tut' itu selepas analisis DNA," ujarnya lagi.

Makam Firaun muda yang memerintah bermula usia sembilan tahun dan meninggal dunia atas sebab yang tidak diketahui ketika berusia 19 tahun, telah ditemui oleh pakar arkeologi Britain di 'Valley of the Kings' pada tahun 1922, sekali gus menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Pada Ogos 2008, pihak berkuasa antikuiti Mesir menyatakan sampel DNA telah diambil daripada mumia Tutankhamun dan dua janin yang ditemui di dalam makamnya bagi menentukan sama ada anak-anak yang belum dilahirkan itu merupakan anak Raja Tut atau tidak.

Menurut Hawass, ujian DNA juga boleh menentukan keturunan Tutankhamun dan sama ada janin itu adalah anak Tutankhamun dengan Ankhesenpamon, anak perempuan Nefertiti, yang terkenal dengan kecantikannya.

Jelasnya, hasil ujian itu juga dapat membantu mengenalpasti mumia permaisuri Nefertiti.

Misteri telah lama membelenggu identiti ibu bapa Tutankhamun, Firaun Akhenaton ialah bapanya, namun identiti ibunya masih belum dikenalpasti.

Kematian raja budak lebih 3,000 tahun lalu itu sering menjadi pertikaian di kalangan ahli sejarah, dengan sesetengah daripada mereka percaya dia mati akibat kecederaan kaki yang kemudiannya bertukar menjadi gangren manakala ada yang berpendapat beliau telah dibunuh dengan pukulan di kepala. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI