Anak adalah anugerah Allah yang paling berharga buat pasangan suami isteri. Anak bukan setakat pengikat hubungan kasih sayang pasangan kelamin, tetapi ia juga penyambung zuriat untuk generasi seterusnya.
Sejak dari kecil, anak biasanya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mana-mana juga pasangan suami isteri yang melalui kebahagiaan hidup berumahtangga. Apatah lagi, bagi yang jarang berenggang dengan anak-anak yang masih kecil kesannya cukup terasa.
Allahyarham penyanyi kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia pada 17 April lalu dalam kemalangan jalan raya adalah antara insan bergelar bapa yang pernah melalui pengalaman itu.
Saat dia kembali ke rahmatullah, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu meninggalkan dua anaknya yang masih kecil Puteri Nur Sayyia, 2 tahun 4 bulan dan Puteri Nur Sumayya, 11 bulan.
Agak memilukan kerana saat dia menghembuskan nafas terakhir akibat kemalangan jalanraya, dua anaknya itu masih lagi dahagakan kasih sayang seorang ayah seperti anak-anak kecil yang lain.
Namun, rasa kehilangan dua bayi comel itu ke atas ayah mereka yang cukup dikenali ramai sebagai penyanyi pop rock mulai dirasai setelah lebih seminggu Achik disemadikan di Makam Tuan Haji Said, di Sikamat, Seremban.
Menurut isteri Allahyarham, Tasha, dua anak hasil perkahwinannya dengan penyanyi yang popular dengan lagu Litar Asmara itu, mula bertanyakan tentang ayah mereka selepas 10 hari tidak berjumpa dengan Allahyarham.
Jelasnya, selepas 10 hari pemergian Achik ke rahmatullah dua anaknya itu mula bertanyakan, malah mencari ayahnya yang tidak pulang ke rumah sejak saat itu.
"Bukan setakat saya, malah dua anak saya itu juga berasa rindu dengan arwah. Malah, hari ini anak bongsu saya sudahpun mula bertanyakan tentang ayahnya. Saya cuba kuatkan semangat menghadapi situasi ini.
"Sayu dan pilu rasa hati ini apabila mereka bertanyakan ayah mereka. Saya tidak tahu hendak kata apa, apabila mereka bertanyakan tentang arwah yang lama 'tidak pulang' ke rumah," katanya menahan sebak ketika ditemui selepas rakaman rancangan Dimensi Muzik di Filem Negara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Tasha atau H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof menceritakan, dia cuba memberi pelbagai alasan tetapi tidak mampu menjelaskan perkara yang sebenar di saat dua anaknya itu yang masih belum mengerti akan hakikat kehidupan di dunia ini.
Kata ibu muda ini, buat masa ini dia mahu membesarkan anak-anak. Apabila keadaan sudah mengizinkan dia akan mula bekerja bagi membesarkan mereka.
"Saya tahu Allahyarham begitu sayangkan saya dan anak-anak sehingga tidak membenarkan saya bekerja. Tetapi...kini Allahyarham sudah tiada, sebagai ibu saya harus kuatkan semangat dan meneruskan hidup demi anak-anak.
"Saya mungkin akan menceburi bidang perniagaan atau menyambung perniagaan teh herba tinggalan arwah.
"Tetapi buat masa ini, saya tidak mahu meninggalkan anak-anak sendirian kerana mereka terlalu baru ditinggalkan ayah mereka," tutur pemegang diploma dari Kolej Universiti Teknologi Pengurusan Malaysia, Shah Alam, Selangor ini sambil memandang sayu wajah kedua-dua anaknya.
Selama ini jelas Tasha, Allahyarham tidak membenarkannya bekerja kerana mahu dia menumpukan perhatian membesarkan kedua-dua anak mereka.
Kumpulan Spin yang bernaung di bawahsyarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) memang diminati ramai dan album-album mereka mencatat jualan paling tinggi hasil.
Album sulung Spin berjudul Roda-Roda Rindu yang diterbitkan pada tahun 2000 dijual melebihi 50,000 unit.
Sementara album duet penyanyi Spin, Allahyarham Achik dan Siti Nordiana (Nana) berjudul Istimewa Untukmu yang diedarkan pada 2003 dijual lebih100,000 unit.
Bagaimanapun, menurut Pengarah Urusan FMC, C.F. Ho, selepas vokalis Spin itu meninggal dunia pada 17 April lalu kerana kemalangan jalan raya, semakin ramai yang berminat untuk memiliki album-album penyanyi itu.
"Selepas Achik meninggal dunia, ramai peminat yang mahu mendapatkan album-album lama Spin seperti Litar Asmara, Demi dan Keranamu yang diedarkan lima tahun lalu.
"Permintaan ini menyebabkan kami menyelongkar semula album-album lama Spin di stor FMC untuk diedarkan di pasaran," kata Ho yang mewakili FMC menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepada Tasha.
Sumbangan itu diadakan di set penggambaran rancangan televisyen Dimensi Muzik episod 4 terbitan Hadi Hassan bersama Betarecs Sdn. Bhd., yang sepatutnya menampilkan Achik sebagai salah seorang artis jemputannya.
Menurut Ho, bukan setakat album-album Spin, malah cakera padat video (VCD) lakonan Achik yang pernah diedarkan oleh FMC juga menjadi buruan para peminat Achik.
Antara VCD lakonan Achik yang kini laris ibarat goreng pisang panas berjudul Demi, Prahara dan Wad 404 yang pernah menyingkap bakat lakonan anak kelahiran Negeri Sembilan itu.
"Selain itu, pada masa sama FMC juga akan mengedarkan lima buah lagu terbaru nyanyian Achik yang belum pernah diterbitkan berjudul Sejuta Maaf, Rela, Dibuai Rindu-Rinduan, Seorang Kawan dan Kau Yang Ku Cinta.
"Sebuah lagu duet Achik dengan Nana yang belum pernah diedarkan berjudul Cari Ketenangan juga akan diterbitkan dalam album kompilasi terbaru Spin itu kelak. Album itu akan berada dipasaran pada pertengahan Mei ini," jelasnya.
Pada majlis yang sama, Tasha juga menerima sumbangan wang ihsan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berjumlah RM1,500 yang disampaikan oleh Presidennya, Datuk Freddie Fernandez.
Tambah Freddie, sumbangan itu sebagai tanda simpati Karyawan terhadap keluarga Allahyarham Achik.
"Walaupun sumbangan ini tidak seberapa tetapi ia adalah tanda prihatin Karyawan terhadap Achik sebagai salah seorang anak seni tempatan yang mempunyai bakat menyanyi tersendiri.
"Mungkin pada masa depan, Karyawan akan lakukan sesuatu untuk memberi penghargaan kepada Achik. Kita akan fikirkan nanti," jelasnya lagi yang tidak pernah jemu membantu artis-artis kurang bernasib baik bersama Karyawan.
Oleh ABD. AZIZ ITAR
Anak-anak mula cari Achik Spin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 Komen:
semoga ditempatkan dikalangan orang beriman
semoga ditempatkan dikalangan orng beriman
Post a Comment