O-Two dikenali menerusi album Radio Tanah Melayu pada 2005, namun, entah di mana silapnya, kehadiran mereka di pentas hiburan terus menyepi selepas itu.
Dipengaruhi oleh kumpulan- kumpulan rock Thailand, bagaimanapun, kurang dikenali bukanlah menjadi alasan untuk mereka berputus harap untuk bersama menyemarakkan iklim muzik tempatan.
Tahun demi tahun, mereka kini tampil dengan nafas baru menerusi cubaan konsep lagu yang menjurus kepada alternatif rock.
Bernaung di bawah label Dream Music, tiga anak muda yang menggelar diri mereka sebagai O-Two ini muncul dengan album baru berjudul Evolusi.
Memuatkan 10 buah lagu, lagu-lagu berkenaan sebenarnya sudah dihasilkan tiga tahun lalu dan dipasarkan secara single.
Kini, lagu-lagu itu dihimpunkan di dalam Evolusi dan istimewanya, selaku duta Jin Online, album berkenaan turut disertakan cakera padat instalasi permainan online Pendekar Perkasa.
Pendekar Perkasa menampilkan mereka selaku pemegang karakter pendekar dalam permainan online tersebut.
O-Two dianggotai Alan, 26, selaku vokalis dan pemain gitar; One, 20, (bass); dan Anep, 30, (drum).
Menurut Anep, O-Two pada asalnya menggunakan nama lain dan anggotanya juga telah beberapa kali bertukar.
One, sebagai contoh, katanya, mula memasuki O-Two pada tahun lalu sebaik 'dilamar' selepas menunjukkan bakat ketika menyertai sebuah pertandingan band di Perlis.
"Album pertama kami diterbitkan pada 2005 yang berjudul Radio Tanah Melayu.
"Sebuah lagu dalam album terbabit iaitu Anak Merdeka telah dipilih sebagai lagu yang akan disiarkan setiap tahun apabila menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan oleh Kementerian Penerangan ketika itu.
"Radio Tanah Melayu juga tercalon untuk album rock terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-13,'' katanya ketika ditemui di studio Utusan, baru-baru ini.
Kata Anep, selepas Radio Tanah Melayu, O-Two diakui agak menyepi dan kemunculan Evolusi seakan 'menghidupkan' kembali nama kumpulan berkenaan.
Malah, jelasnya, Evolusi mendapat sokongan Warner Music selaku pengedar. "Susunan muzik bagi lagu-lagu dalam album ini diuruskan oleh kami sendiri.
"Ia turut diwarnai dengan kesan khas digital untuk menambahkan lagi kekuatan lagu,'' ujarnya.
Evolusi menampilkan 10 buah lagu iaitu Do'a, Imago Drastik, Orbit Merentasi Masa, Lunar, Mr. Koma, Naluri Perintis Cinta, Bidadari Dari Syurga, 1000 Makna Cinta Dunia, Keinsafan Dalam Tragis dan Sesat.
Setiap pembelian album ini, ia dilengkapi dengan poster dan instalasi permainan online secara percuma.
Sementara itu, Anep ketika ditanya tentang persaingan band-band tempatan masa kini berkata, kebanyakan mereka tampil di arena muzik dalam keadaan yang cukup mengagumkan.
"Mereka sangat aktif dan kehadapan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa band-band ini masih mencari,'' tambahnya yang berasal dari Perlis.
Cerita tentang permainan online
Mengenai permainan online Pendekar Perkasa, ujar Anep, peristiwa bersejarah buat O-Two ini hadir sekitar dua tahun lalu.
Katanya, ketika itu, pihak Jin Online ada menyertai pameran dan penjualan komputer di Kangar, Perlis.
"Mereka sedang mencari artis untuk lagu runut bunyi bagi permainan online berkenaan.
"Entah bagaimana, O-Two telah terpilih dan watak kami juga direka khusus untuk permainan tersebut,'' katanya yang berasa bangga atas penghormatan yang diberikan oleh Jin Online itu.
Mengenai masa depan dan perancangan O-Two pula, tambahnya, mereka merancang untuk mengadakan siri untuk merancakkan lagi nama O-Two.
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
0 Komen:
Post a Comment