Rita dan Zakuan Didenda Kerana Bernikah Tanpa Kebenaran

Friday, May 07, 2010

“Tidak ada persetujuan daripada keluarga sebelah saya,” kata pemain bola sepak kebangsaan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, 23, berhubung perkahwinannya dengan dramatis popular, Rita Rudaini yang dilakukan di Thailand beberapa tahun lalu.
Mohd Aidil Zafuan berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah, Yunus Mohd Zin ketika pasangan itu dihadapkan di sini, semalam atas pertuduhan melakukan nikah tanpa kebenaran.

Hakim Syarie Yunus dalam keputusannya menjatuhkan hukuman masing-masing RM500 atau 15 hari penjara selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mohd Aidil Zafuan dan Rita Rudaini Mokhtar, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di Majlis Agama Islam wilayah Songkhla, Selatan Thailand pada 25 Februari 2008, jam 9.30 malam.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 40(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Syarie, Mohd Sohibul Kahfi Hussin.

Pada 24 April 2009, Yunus yang membuat keputusan dalam kamar bahawa perkahwinan itu sah, bagaimanapun, memerintahkan pasangan itu melaporkan perkahwinan mereka kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) seperti diperuntukkan Seksyen 12 (2) Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Pasangan itu kini dikurniakan seorang cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin pada 8 Julai tahun lalu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI