Hukum agama bukan menyusahkan

Monday, February 04, 2013

Hukum bukan menyusahkan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jikalau tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku menyuruh mereka bersugi ketika setiap kali solat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Huraian:

* Rasulullah SAW memilih perkara yang lebih mudah untuk umatnya selagi tidak menjadi suatu dosa di sisi Allah, sesuai dengan sifat agama Islam itu sendiri yang berpegang pada prinsip ringan, mudah dan kurang membebankan.

* Dalam persoalan ibadat ada pelbagai kelonggaran (rukhsah) yang diberikan sebagai satu kemudahan kepada musafir, orang sakit dan berada dalam kesukaran (darurat), bergantung pada situasi dialami.

* Setiap hukum dan perundangan yang digariskan dalam Islam bukan untuk menyulitkan manusia, tetapi demi mengawal keselamatan dan menjamin kesempurnaan hidup.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Iman dan amal adalah dua perkara yang seiring." (Hadis riwayat al-Hakim)

Huraian:

* Iman dan amal soleh adalah seiring. Iman tidak akan sempurna tanpa amal soleh, malah Allah menegaskan perkara ini sebanyak 60 kali di dalam al-Quran.

* Mereka yang benar-benar beriman zahirnya sama dengan batinnya, dengan amalan dilakukan secara ikhlas.

* Kedudukan iman adalah tinggi di sisi Allah dan ia sebagai syarat asas penerimaan terhadap sesuatu amalan.

* Sesiapa yang mendakwa beriman dengan lidahnya tetapi iman itu tidak meresap ke dalam hatinya, dia adalah orang munafik.

Daripada Jabir bin Abdullah RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda, setiap perkara makruf menjadi sedekah. Antara perkara makruf itu ialah hendaklah engkau (sewaktu) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya." (Hadis riwayat Ahmad)

Huraian:

* Makruf adalah perkara baik sama ada dari segi syarak ataupun adat yang tidak bercanggah dengan syarak.

* Setiap Mukmin hendaklah sentiasa bermuka manis dan berbudi bahasa tinggi sewaktu berhubung dengan orang lain. Sikap sedemikian dianggap sebagai satu sedekah.

Adiy bin Abi Hatim RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Apabila haiwan yang engkau panah jatuh di dalam air, lalu tenggelam dan mati, maka janganlah engkau memakannya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Huraian:

* Haiwan yang hendak dimakan perlu dipastikan halal termasuk cara ia dimatikan sama ada disembelih ataupun mati dipanah, bukan mati kerana tertindih, lemas dan dilanggar.

* Mana-mana haiwan yang mati kerana ditindih atau lemas adalah tidak halal sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas. Justeru, dalam bab penyembelihan haiwan khususnya ayam hendaklah dipastikan ia mati kerana disembelih, bukan disebabkan tertindih di dalam tong.

Tujuh tempat dilarang solat

* Tempat pembuangan sampah

* Tempat penyembelihan (haiwan)

* Kubur

* Di tengah jalan

* Di bilik mandi

* Kandang unta

* Atas (bangunan) Kaabah.

- Dilarang solat di tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan haiwan, bilik mandi dan kandang unta kerana terdapat najis, kotoran dan darah.

- Larangan bersolat di tengah jalan kerana boleh mengganggu orang lain, manakala di kubur bagi menghindari penyembahan terhadap kubur dan larangan di atas Kaabah kerana tidak dapat menghadap kiblat.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI