Wanita jangan mudah cair ayat cinta manis Facebook

Tuesday, February 26, 2013

Ayat Cinta Facebook Jerat Wanita
Golongan wanita terutama yang berkerjaya diingatkan tidak mudah 'cair' dengan ayat-ayat cinta dihantar jejaka warga asing dalam laman sosial facebook kerana ia mungkin perangkap pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.

Pengerusi Gerakan Pengguna Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Norsima Hassan berkata, pihaknya menyedari ramai golongan wanita profesional menjadi 'mangsa' penipuan Internet terutama melalui laman sosial berdasarkan laporan media sejak kebelakangan ini.

Katanya, walaupun pihaknya tidak menerima aduan daripada ahli Skuad Pengguna SPU mengenai individu yang sudah menjadi mangsa, langkah berwaspada perlu diambil sebelum terlewat.

"Seperti yang kita tahu penipu menggunakan pelbagai taktik untuk memerangkap mangsa termasuk facebook yang dikunjungi pelbagai golongan termasuk wanita sunyi yang mahu mencari teman.

"Kita nasihatkan wanita supaya jangan mudah terperangkap dengan kata-kata manis dihantar jejaka tampan kerana ia mungkin perangkap digunakan pihak tertentu untuk mendapatkan wang," katanya selepas pelancaran Skuad Pengguna SPU di sini, semalam.

Pelancaran dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim.

Skuad Pengguna SPU kini mempunyai ahli seramai 270 orang daripada 5,000 ahli di seluruh Pulau Pinang.

Skuad berkenaan berperanan melaporkan kepada pihak berkaitan mengenai kenaikan harga barang, penipuan jualan murah atau penipuan perdagangan dalam talian serta meningkatkan kesedaran kepenggunaan melalui kegiatan kepenggunaan dalam komuniti setempat.

Norsima berkata, sebagai pengguna, setiap individu harus menggunakan haknya supaya tidak tertipu dengan pihak tertentu sama ada jualan murah atau penipuan melalui Internet.

Sementara itu, Azhar berkata, Skuad Pengguna wajar ditubuhkan di setiap Kadun supaya dapat melindungi hak orang ramai termasuk masyarakat luar bandar agar tidak mudah ditipu peniaga.

"Jika pengguna kuat, mereka boleh memboikot kedai yang menjual barang pada harga terlalu tinggi. Di negara maju misalnya, tidak perlu agensi yang mengawal harga kerana gerakan pengguna mereka sangat kuat dan boleh mengambil tindakan sendiri," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI