Keunikan kota Bandung

Wednesday, February 20, 2013

Keunikan kota Bandung

Bandung, kota ketiga terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya bukan asing kepada orang Malaysia. Kota yang mempunyai lebih tujuh juta penduduk, dianggap kaya dengan budaya, sejarah, kesenian dan keindahan semula jadi.

Ibu kota Jawa Barat yang diasaskan sekitar 1488 itu turut dikenali sebagai gedung yang menyimpan 1,001 keunikan.


Datang ke sini ketika bertembung dengan cuti persekolahan di sana, secara tidak langsung penulis bersama rakan media pelbagai agensi dari Pahang, berpeluang merasai sendiri keadaan trafik yang sesak atau `machet' di sana sini dengan pelbagai jenis kenderaan terutama motorsikal, teksi dan bajaj yang menjadi pengangkutan awam utama kerana bas amat kurang mungkin disebabkan jalan rayanya yang sempit.

Pembangunan pesat di kota yang terkenal dengan jolokan Paris Van Java ini menyebabkan setiap inci tanah kosong dimanfaatkan sepenuhnya sehingga yang tinggal hanyalah untuk laluan kenderaan dan `mobil kecil bertayar dua' yang ditolak peniaga. Memang menyesakkan!

Di mana sahaja jalan utama yang dilalui, pasti kelihatan deretan peniaga makanan dan barangan keperluan harian serta `peniaga jalanan' yang mundar mandir memegang barang jualan mencari rezeki.

Paling menyentuh perasaan apabila melihat anakanak kecil merayu simpati kepada pemandu kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas tanpa memikir keselamatan diri. Begitu juga anak-anak yatim yang `membaluti' tubuh mereka dengan cat perak mohon simpati mendermakan wang untuk tabung mereka!

Begitupun, pasti `darah mudah menyirap' kerana terlalu ramai `peniaga bergerak' mengganggu perjalanan tatkala menyusuri jalan untuk bersiar-siar apatah lagi ketika membeli-belah.

Perasaan dicengkam rimas dan membosankan kerana kehadiran mereka di sekeliling kita akhirnya mengganggu urusan yang hendak dilakukan terutama waktu kita dalam `zon membeli-belah'!.

Beli-belah satu kemestian

Jika di Malaysia, peniaga mempunyai bengkel untuk membaiki kenderaan tetapi di sini, ramai peniaga beroperasi di tepi jalan sahaja membaiki motor atau basikal serta mengisi angin pada tayar kenderaan. Nampak mudah dan menjimatkan.

Bandung sejak sekian lama sinonim dengan jolokan kota fesyen. Dan sejak lebih 12 tahun lalu, penduduk Bandung semakin `dipengaruhi' dengan fesyen yang lebih moden dan `trendy', menjadikan Jalan Cihampelas dan Cibaduyut sebagai lokasi utama untuk membeli-belah.

Paris Van Java ini semakin mengukuhkan kedudukan dengan kewujudan hampir 50 factory outlet (FO) yang menawarkan pelbagai jenama kelas dunia, eksklusif dan mewah tetapi dijual dengan harga murah.

Pelbagai nama dicipta untuk melambangkan keunikan FO seperti For Men (barangan lelaki), Sahara (baju untuk muslimah), Oasis, Terminal Tas (barangan kulit), Secret (baju kanakkanak), Heritage, Rumah Mode, Rich & Famous, Big Proce Cut dan The Summit Boutique Outlet.

Hampir 70 peratus FO menampilkan barangan import dan kebanyakannya dari Amerika Syarikat, China, Filipina, India, Korea, Thailand, Hong Kong dan Jepun manakala selebihnya adalah produk tempatan berkualiti antarabangsa.

Kunjungan ke Bandung kurang lengkap kalau tidak menjejakkan kaki ke Pasar Baru Trade Center. Suasananya seumpama Nilai 3, Tangkak, mahupun Jalan Chow Kit ataupun Gulati's serta Jakel dan Alamoda.

Mengiringi perjalanan kami, dua pemandu pelancong, Opick dan Ruli yang tetap setia melayani setiap permintaan memperkenalkan kami dengan hidangan istimewa, mi baso. Penulis dan rakan juga dibawa menikmati hidangan tengah hari di Rumah Makan Saung Balibu yang menghidangkan makanan Sunda termasuk ikan gourami gorengnya selain berpeluang menjamu selera nasi padang, mi baso Semar, Kedai Makan Sangkuriang dan berkunjung ke Kartika Sari di Dago, untuk membeli brownies.

Lagenda Sangkuriang

Jika ke Bandung, kunjungan pelengkap mungkin ke gunung berapi Tangkuban Perahu, sekitar 30 km ke utara Kota Bandung di mana pelawat boleh melihat kawah gunung berapi dan panorama indah di sekelilingnya.

Bandung dengan lagenda Tangkuban Perahunya memang tidak dapat dipisahkan. Biarpun sudah terlalu lama berlalu kisah lagenda Sangkuriang dan ibu kandungnya, Dayang Sumbi sentiasa bermain di bibir pelancong.

Nama Tangkuban Perahu adalah didalam bahasa Sunda yang membawa maksud Perahu Terbalik. Asalusul Gunung Tangkuban Perahu dikaitkan dengan Sangkuriang yang jatuh cinta dengan Dayang Sumbi selepas hidup terpisah selama bertahun-tahun. Selepas mengetahui Sangkuriang anak kandungnya berdasarkan kesan luka di kepala, Dayang Sumbi mengenakan syarat supaya Sangkuriang membuat perahu jika ingin mengahwininya.

Helah Dayang Sumbi tidak berhasil kerana Sangkuriang hampir sahaja berjaya menyiapkan perahunya. Apabila diketahui hasratnya menikahi Dayang Sumbi gagal, Sangkuriang terlalu marah lalu ditendangnya perahunya sekuat hati sehingga terbalik. Perahu itulah yang kemudiannya membentuk Gunung Tangkuban Perahu setinggi 2,084 meter.

Bau belerang menusuk hidung

Berdasarkan fakta sejarah seperti yang diceritakan pemandu pelancong, Dedi Setiadi, gunung berapi itu pernah meletus buat pertama kalinya pada 1829 dan mengorbankan kirakira 2,000 penduduk di kawasan sekitar.

Gunung Tangkuban Perahu adalah antara gunung berapi yang masih aktif di Pulau Jawa. Kali terakhir gunung itu meletus pada 1983.


Bau sulfur atau belerang yang keluar dari kolam begitu menusuk hidung dan boleh menyebabkan pengunjungnya pening. Penulis mengambil kesempatan merendam kaki sambil membalut kaki dengan lumpur yang disediakan oleh pemandu pelancong untuk merasai sendiri selepas diceritakan rakan yang pernah pergi sebelumnya walaupun tidak mengetahui apakah kebaikannya berbuat demikian!

Untuk keluar dari kawasan itu, pengunjung perlu berjalan sejauh 1.5 km lagi sebelum tiba ke `garis penamat'. Dan berjaga-jagalah dengan kata-kata manis dan pujuk rayu peniaga yang menawarkan cenderahati dengan harga mahal walhal nilainya tidaklah setinggi manapun. Ini juga satu pengalaman yang cukup merimaskan! Difahamkan ramai pelancong Malaysia yang pernah datang ke Bandung akan mengelak daripada datang semula ke Tangkuban Perahu kerana rimas dengan gelagat penjajanya yang suka mendesak membeli barang jualan mereka.


Bandung

- Bandung berasal dari perkataan bendung, bermaksud empangan dan fakta geologi menunjukkan Bandung adalah bekas tasik yang kering sejak 16,000 tahun dahulu.

- Pada ketinggian 768 meter dari paras laut dikelilingi pergunungan Parahyangan, Bandung diselubungi suhu sejuk antara 25 hingga 30 darjah Celsius sepanjang tahun.

- Berkeluasan kira-kira 16, 767 hektar.

- Majoriti penduduk Bandung adalah Melayu Sunda yang turut menggunakan bahasa Sunda dalam pertuturan seharian.

Oleh Ainal Marhaton Abdul Ghani

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI