Rawatan rangsangan saraf otak

Saturday, February 23, 2013

Rawatan rangsangan saraf otak

Otak adalah organ istimewa, anggota badan manusia di kedudukan paling atas dan dilindungi lapisan tengkorak keras bagi mengelakkan kecederaan. Ia 10,000 kali lebih rumit daripada sebarang komputer dan peralatan elektronik canggih serta mampu bekerja dalam air.

Beratnya cuma dua peratus daripada keseluruhan tubuh dan ia menggunakan 20 peratus aliran darah dan tenaga badan dan menjana 25 watt pada waktu rehat.

Sebagai pusat kawalan utama bagi tubuh dan pemproses maklumat pusat badan, otak mengandungi lebih 100,000 sel saraf (neuron) yang setiap satu bersambung dengan lebih 10,000 neuron yang lain serta terbentuk lebih daripada 100,000 trilion sinaps (sambungan).

Otak mempunyai kaitan erat dengan pemikiran dan menyelaraskan semua aktiviti tubuh, termasuk emosi, penglihatan, fikiran dan pergerakan otot selepas menerima maklumat menerusi deria dari dalam dan luar tubuh.

Otak mempunyai tiga bahagian iaitu depan, belakang dan tengah. Otak depan atau otak besar mengandungi serebrum, talamus dan hipotalamus. Bahagian ini mengawal sistem anggota badan.

Otak tengah mengandungi tektum dan tegmentum dan berfungsi membantu koordinasi gerak mata, ukuran anak mata dan tindakan tertentu pada pendengaran.

Otak belakang yang mengandungi pons, medula dan serebelum, berfungsi sebagai pusat pengatur refleks fisiologi seperti degupan jantung, tekanan udara, suhu tubuh, pelebaran atau penyempitan pembuluh darah, gerak alat pencernaan dan kelenjar pencernaan. Fungsi lain ialah mengatur gerak refleks seperti batuk dan bersin.

Pengerusi Pusat Neurosains dan Ortopedik ANOC Sdn Bhd, Dr Chee Chee Pin, berkata neurosurgeri di Malaysia berkembang maju dalam tempoh 25 tahun lalu, lebih-lebih lagi dengan pembangunan banyak pusat neurosurgeri di seluruh negara, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Menurutnya, kebanyakan kes penyakit berkaitan neurosurgeri boleh dikawal tetapi ada kes epilepsi (sawan) tidak dikawal dengan baik yang membawa kepada pembedahan otak dan mendedahkan pesakit kepada risiko akibat prosedur itu. Daripada pembedahan itu, hanya 30 hingga 50 peratus masalah sawan pesakit dapat dikawal.

Rangsangan saraf vagus (VNS) merujuk kepada rangsangan saraf vagus servikal kiri menggunakan peranti khas yang dililit di sekeliling saraf di leher dan disambungkan kepada penjana prostesis neurosibernetik yang diimplan dalam poket tisu subkutaneus di dada.

VNS menghantar kuasa elektrik pada kadar denyutan biasa atau sederhana ke otak melalui saraf vagus mengakibatkan pengubahan aktiviti elektrik otak.

Terapi VNS terbukti berkesan merawat epilepsi dan depresi (kemurungan) pada percubaan tahap tinggi ujian klinikal secara rawak.

Kajian terbaru juga menunjukkan potensi terapi itu sebagai anti radang, mempertingkatkan tahap ingatan dan memberi kesan dalam mengurangkan stres serta mengurangkan selera makan, sekali gus mengatasi masalah obesiti.

Pada 1985, hasil uji kaji terhadap haiwan mendapati, VNS terbukti dapat merawat sawan dan membawa kepada implantasi manusia kali pertama pada 1990.

Ia kemudian diikuti kelulusan Komuniti Eropah pada 1994 dan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 1997 sebagai terapi tambahan untuk epilepsi separa awal.

Pada 2005, FDA meluluskan penggunaan VNS sebagai rawatan anti kemurungan. Sehingga kini, lebih 60,000 implantasi sistem VNS berjaya dilakukan di seluruh dunia.

Timbalan Ketua dan Pakar Perunding Kanan Bedah Otak dan Saraf (Neurosurgeri) Hospital Kuala Lumpur, Dr Azmi Alias, berkata pendekatan baru itu sebagai alternatif dan teknik kurang invasif, terutama bagi pesakit yang tidak sanggup menjalani prosedur pembedahan lain dan menderita kesan sampingan dos tinggi ubat berganda dalam rawatan melawan epilepsi dan kemurungan.

"Saraf vagus juga dikenali sebagai saraf kranial 10 di dalam otak dan ia sebahagian daripada sistem saraf autonomik yang mengawal fungsi badan. Saraf itu melalui leher kerana ia bergerak melalui dada dan abdomen dan bahagian bawah otak.

"Ia disambungkan kepada fungsi motor di kotak suara, diafragma, perut, dan jantung serta fungsi deria dalam telinga dan lidah. Ia juga disambungkan kepada motor dan fungsi deria dalam sinus dan esofagus," katanya ketika sesi dialog rawatan alternatif bagi penyakit epilepsi, depresi dan obesiti.

Menurutnya, walaupun mekanisme tepat mengenai VNS masih sukar difahami, bukti awal daripada neuroradiologi, neurokimia, neuroanatomi dan neurofisiologi menyediakan beberapa maklumat mengenai kesan klinikal diselesaikan.

"Terapi VNS selamat dan menawarkan teknik alternatif kurang invasif berbanding pembedahan secara langsung yang boleh menjejaskan fungsi otak pusat. Ia penyelesaian berkesan untuk merawat epilepsi dan kemurungan.

"Ia pilihan bagi pesakit yang tidak sanggup menjalani prosedur lain intrakranial (bahagian dalam tengkorak) dan menderita kesan sampingan akibat pengambilan pelbagai ubat dos tinggi yang tidak boleh diterima badan," katanya.

Dr Azmi berkata, walaupun VNS yang dipasang dalam tubuh dikawal oleh magnet, ia tidak mengganggu gelombang. VNS menyebabkan rasa kenyang, sekali gus mengurangkan selera makan serta mengatasi masalah depresi.

Beliau berkata, biarpun VNS diperkenalkan di Malaysia sejak 10 tahun lalu, kurang daripada 20 orang menggunakannya.

"Tidak ramai menyedari fasiliti ini, ditambah dengan kos tinggi untuk implan. Setakat ini, VNS disediakan di hospital kerajaan tertentu.

"Kriteria untuk pemasangan VNS sangat ketat dan pesakit yang menjalani kaedah ini perlu mendapatkan pandangan pakar neurologi dan psikiatri terlebih dulu. Antara kriteria pesakit yang sesuai menjalani prosedur ini ialah mereka yang menjalani rawatan penyakit sawan tetapi tidak berkesan," katanya.

Kesan sampingan yang mungkin berlaku selepas terapi VNS ialah serak, batuk bertambah, perubahan suara atau pertuturan, sakit tekak atau leher, sakit kepala, insomnia, senak, pergerakan otot, mual, muntah, deria sentuh terjejas dan kebas atau rasa semut-semut.

Oleh Norainon Othman

1 Komen:

Unknown on 23 January 2015 at 12:17 said...

Bagaimana untuk dapatkan rawatan? Saya mengalami masalah pergerakan. Saya terima penyakit itu selepas koma hampir sebulan. Tidak untuk berdiri, berjalan dan menulis.

Post a Comment

 

ZONFINITI