Mohd. Azmil Ketua Pegawai Operasi UDA yang baru

Wednesday, February 27, 2013

UDA Holdings Berhad (UDA) hari ini mengumumkan perlantikan Mohd. Azmil Abd Shukor sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan baharu syarikat itu.

UDA melalui satu kenyataan media memberitahu, perlantikan Mohd. Azmil ke jawatan itu berkuat kuasa pada 15 Februari lalu.

“Beliau berkelulusan Bachelor (With Hons) Architecture dari University of Nottingham serta BSC (Hons) in Architecture dari University of East London.

“Mohd. Azmil berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengurusan projek, pembinaan dan pembangunan hartanah merangkumi sektor perancangan bandar dan infrastruktur, perumahan, industri berat, komersial dan kawasan lapang serta kemudahan awam,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, Mohd. Azmil pernah menjadi pengurus projek di Dubai untuk satu syarikat perunding yang tersenarai di NASDEC, pengarah operasi syarikat pembangunan hartanah milik penuh salah sebuah bank di Bahrain dan pengarah pembangunan di satu syarikat pembangunan hartanah di Azerbaijan.

Tambah kenyataan itu,  Ketua Pegawai Operasi Kumpulan UDA baharu itu juga telah berkhidmat di UEM Land Berhad khususnya bagi pembangunan Bandar Nusajaya sejak tiga tahun lalu dan jawatan terakhir yang disandang beliau adalah pengurus besar kanan.

Jelas kenyataan itu, portfolio beliau sebagai Ketua Operasi Kumpulan UDA termasuk pembangunan hartanah di bawah anak syarikat iaitu UDA Land Sdn. Bhd., pengurusan harta, pengurusan dan penyeliaan fasiliti dan juga projek khas seperti pembangunan Pusat Bandar Bukit Bintang.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI