Pameran `Keluarga Bijih Timah' di Pusat Warisan `Falim House'

Wednesday, June 05, 2013

Pameran `Keluarga Bijih Timah' tiga bulan
Satu pameran memaparkan era dan kehidupan keluarga tauke pelombong bijih timah di Perak diadakan di Pusat Warisan `Falim House', di sini, selama tiga bulan bermula 12 Mei lalu hingga 11 Ogos ini.

Pameran `Keluarga Bijih Timah' anjuran sebuah syarikat swasta, Amber Synergy Sdn Bhd dengan kerjasama Ipoh World Sdn Bhd itu diadakan sebagai satu tarikan pelancongan selain memperkenalkan sejarah perlombongan di Perak khususnya di Bandaraya Ipoh.

Pengarah Urusan Ipoh World mera ng kap pengerusi pameran berkenaan, Komander Ian Anderson, berkata pameran itu adalah hasil kerjasama berterusan dengan Tenby School Ipoh sejak 2006 yang mengumpul pelbagai koleksi aktiviti pelombongan termasuk artifak dan perkakasan yang digunakan keluarga pelombong, sebelum 1900.

Pameran itu mampu memberi gambaran kepada orang ramai mengenai gaya hidup pelombong serta pihak yang terbabit secara langsung dalam aktiviti itu seperti golongan usahawan, peniaga dan dermawan.

Penganjuran pameran itu juga selaras rancangan pelancongan kerajaan negeri dalam usaha mengembangkan tapak warisan dan sejarah di Perak, sekali gus menarik perhatian pelancong untuk datang ke negeri ini, katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pameran itu dibuka bermula jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari dan kemasukan adalah percuma. Pengunjung berpeluang melihat lebih 200 koleksi gambar lama dan perkakas tradisional yang digunakan dalam aktiviti pelombongan zaman dulu.

Pengunjung turut berpeluang menikmati dokumentari mengenai perlombongan bijih timah di Lembah Kinta sebelum dan selepas zaman perang yang akan dimainkan berterusan sepanjang pembukaan pameran.

Penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas dari stesen kereta api Ipoh ke Falim House bagi setiap hujung minggu bagi memudahkan pengunjung ke pameran itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim ketika dihubungi berkata, penganjuran pameran itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui dengan lebih mendalam aktiviti perlombongan yang dijalankan masyarakat dulu.

Malah, pameran itu memberi keistimewaan dengan membawa kembali nostalgia lama selain memberi pendidikan kepada generasi muda hari ini, katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI