Tarian Sumazau - tarian tradisi rakyat Sabah

Thursday, June 06, 2013

Tarian Sumazau
Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.

Ilham tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.

Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.


Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 6 buah gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.

Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai padi.

Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.

Kini tarian Sumazau diadakan dalam banyak majlis keramaian seperti majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis keraian menyambut ketibaan orang-orang kenamaan, di mana ia turut juga ditarikan oleh semua yang hadir dengan tidak mengira suku kaum dan peringkat umur bagi memeriahkan majlis tersebut tanpa memakai pakaian tradisional hitam.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI