Projek mega LPB dalam perbincangan fasa terakhir

Friday, June 14, 2013

Projek mega LPB dalam perbincangan fasa terakhir
Projek mega Lebuhraya Pantai Barat (LPB), menghubungkan Banting-Changkat Jering sejauh 316 kilometer yang tertangguh sekian lama kini di fasa terakhir perbincangan dan bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, projek berkenaan membabitkan kos RM7.07 bilion itu sepatutnya bermula Mac lalu tetapi tertangguh disebabkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.

Sekarang kami sedang mencari masa dan tarikh sesuai untuk majlis perasmian memulakan projek itu. Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dijangka menyempurnakan majlis perasmian itu, katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, di sini.

Seramai 183 penerima Anugerah JKR Malaysia 2012, Prestasi Cemerlang 2012 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 menerima sijil berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Puhat Mat Nayan dan Pengarah JKR Perak, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad.

Dr Zambry yang turut melancarkan Program `Pavement Management System' bagi jalan negeri yang dibangunkan JKR berkata, kerajaan menerusi jabatan dan agensi berkaitan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk menyiapkan Projek LPB yang juga antara janji yang dikemukakan kepada rakyat ketika PRU-13.

Seperti yang kita sedia maklum, JKR sentiasa terdedah dengan kritikan sama ada membina atau sebaliknya. Jadi, kita perlu berusaha dan sentiasa memperbaiki perkhidmatan yang ada, katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI