Jerebu: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) mungkin batal

Tuesday, June 25, 2013

Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan dibatalkan jika keadaan jerebu semakin teruk, namun ia mungkin hanya membabitkan sembilan acara yang berlangsung di luar dewan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) berkata, sekiranya SUKMA terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan, beliau tetap yakin temasya itu berlangsung dengan meriah kerana 13 acara lain yang berlangsung dalam dewan tetap dianjurkan mengikut jadual.

Begitupun, pihaknya akan terus memantau secara terperinci keadaan jerebu terutama di Kuala Lumpur dengan sebarang keputusan akan dibuat berpandukan kepada nasihat Institut Sukan Negara (ISN) dan juga Kementerian Kesihatan.

SUKMA tetap berlangsung seperti dirancangkan. Sama ada kita tangguh atau tidak, ia hanya membabitkan sembilan acara itu saja.

Semua 13 disiplin lain yang berlangsung dalam dewan mengikut jadual asal. Apapun saya tetap yakin kemeriahan temasya ini andai keputusan tangguh atau batal terpaksa dilakukan kerana kebanyakan acara di luar dewan tidak membabitkan penyertaan yang ramai justeru kemeriahan penganjuran tidak akan terjejas, katanya.

Sembilan sukan itu membabitkan renang, bola sepak pantai, bola tampar pantai, ekuestrian, kriket, mendayung, ragbi, sofbol dan woodball.

Zolkples yang ditemui ketika melawat perkampungan sukan SUKMA di Kolej Tun Perak, Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam berkata, memang ada cadangan menangguhkan temasya ini namun ia tidak mungkin berlaku kerana MSN berdepan kesukaran mencari masa sesuai yang turut mengambil kira tarikh pelajar universiti bercuti bagi menempatkan atlet di perkampungan sukan.

Temasya SUKMA berlangsung pada 28 Jun hingga 7 Julai membabitkan penyertaan 5,026 atlet dan jurulatih yang terbabit dalam 22 acara sukan pilihan dan tidak membabitkan sukan wajib.

Atlet ditempatkan di 11 kolej sekitar UPM dengan Kolej Tun Perak dijadikan pusat penempatan utama dan juga sekretariat temasya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI