Kubu Tanjung Pengelih

Tuesday, February 04, 2014

Kubu Tanjung Pengelih

- Dibina pada 1939 bagi menghalang serangan musuh dari laut.

- Kompleks Pertahanan Tanjung Pengelih dikatakan dibina membabitkan kos 60,000 pound sterling (RM300,000) ketika itu.

- Sebahagian kompleks itu kini terletak dalam kawasan TLDM.

- Tiga kubu pertahanan berbentuk separa bulat boleh ditemui di tepi jalan berhampiran Terminal Feri Tanjung Pengelih.

- Ada yang mendakwa terdapat ruang dan terowong di bawah setiap kubu yang dibina.

- Kononnya terdapat ruang besar yang menempatkan hospital bawah tanah.

- Ada yang mendakwa terdapat binatang berbisa besar tinggal dalam kubu utama di Tanjung Pengelih.


Pada 1939, lebih 20 bangunan termasuk pusat pentadbiran tentera British dibina di kawasan seluas 453 hektar di kawasan berbukit di Tanjung Pengelih, Pengerang sebagai barisan pertahanan di selatan Tanah Melayu jika diserang musuh.

Kompleks pertahanan itu turut menempatkan pos kawalan tentera, tempat perlindungan serangan udara, kediaman tentera, padang menembak, kubu pertahanan, dewan perjumpaan, tempat rawatan pesakit, tiga banglo dan bilik jana kuasa bawah tanah.

British menjangka musuh akan menyerang dari laut, selain bertujuan melindungi Singapura yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan British di Tanah Melayu ketika itu.

Ketika Perang Dunia Kedua, anggapan Jepun menyerang melalui laut ternyata meleset apabila tentera negara matahari terbit itu menggunakan jalan darat menakluk Tanah Melayu dan Singapura hanya dalam tempoh tujuh minggu.

Selepas mendarat di Tumpat, Kelantan pada 8 Disember 1941, tentera Jepun meneruskan penaklukan ke atas Tanah Melayu dengan berbasikal dan pada 14 Januari 1942, mereka mula menggempur Johor.

Kini, 69 tahun selepas Jepun menyerah kalah, kompleks pertahanan itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah yang tidak ramai mengetahui kewujudannya. Malah, binaannya tidak mungkin dapat dilihat orang awam kerana sebahagian besar daripada kompleks itu kini berada dalam kawasan KD Sultan Ismail, milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Namun, peninggalan binaan kubu pertahanan yang tidak dijaga dan dipenuhi semak itu boleh dilihat di tepi jalan berhampiran Terminal Feri Tanjung Pengelih.

Dibina menghadap laut

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Norazam Osman, berkata kubu berkenaan dibina menghadap laut sebagai strategi British untuk mengekang musuh yang menyerang Tanah Melayu, namun strategi itu gagal dengan penaklukan Tanah Melayu dan Singapura di tangan Jepun.

Sementara itu, pesara guru, Mohd Amin Jantan, 74, yang pernah merasai pengalaman hidup di zaman penjajahan Jepun di Kota Tinggi, berkata kubu itu sepatutnya boleh menghalang serangan tentera negara matahari terbit itu.

Kubu ditinggalkan

"Kubu itu memang utuh, namun ia tidak sempat digunakan tentera British kerana ketika itu mereka banyak memberi tumpuan mempertahankan Johor Bahru dan Singapura daripada jatuh ke tangan Jepun.

"Jumlah anggota tentera British yang bertahan di Kota Tinggi tidak ramai. Mereka lebih mengutamakan Johor Bahru dan kebimbangan mereka lebih pada serangan ke atas Singapura. Mereka sudah tersilap strategi dan takutkan sangat dengan kemaraan tentera Jepun, akhirnya, kubu pertahanan itu ditinggalkan begitu sahaja," katanya.

Perlu diwartakan

Beliau berharap kerajaan negeri dapat mengambil inisiatif dengan mewartakan kubu terbabit untuk dijadikan sebagai lokasi bersejarah bagi tatapan generasi akan datang.

"Difahamkan, tentera Indonesia pernah memasuki kubu terbabit ketika era konfrantasi Malaysia-Indonesia. Mereka dikatakan memasuki kubu utama di Tanjung Pengelih sebelum dilihat keluar di Kampung Teluk Ramunia kira-kira 20 kilometer dari Tanjung Pengelih. Bagaimanapun, cerita ini hanya buah mulut penduduk setempat," katanya.

Kos tinggi untuk baik pulih

Peninggalan sejarah ini perlu dipelihara kerana ia adalah bukti penjajahan British dan serangan Jepun yang pernah berlaku di negara ini.

Pegawai Daerah Kota Tinggi yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Kota Tinggi, Mohd Norazam Osman, berkata beliau bersama beberapa ahli persatuan berkenaan pernah mengunjungi kompleks terbabit. Bagaimanapun katanya, tiada sebarang usaha dilakukan untuk membaik pulihnya kerana memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Pejabat Daerah memang ada cadangan untuk membaik pulih kubu berkenaan. Antaranya dengan meletakkan papan tanda yang mengisahkan kewujudan kubu terbabit. Cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan boleh diambil," katanya.

Beliau berkata, selain di Tanjung Pengelih, empat kubu pertahanan yang dibina British ketika itu boleh ditemui di bandar Kota Tinggi dan di Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Mawai.

"Dua daripadanya boleh dilihat masih utuh di Kampung Tembioh dan Kampung Mincu dalam bandar Kota Tinggi. Kedua-dua kubu itu dibina berhadapan Sungai Kota Tinggi dan satu daripadanya berhadapan Makam Laksamana Bentan.

"Bagaimanapun, kita masih mengkaji kaitan antara empat kubu terbabit dengan kompleks yang dibina di Tanjung Pengelih," katanya.

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim; Amad Bahri

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI