Pengambilan dadah buatan berbahaya

Monday, February 17, 2014

"Dalam perubatan, heroin digunakan sebagai ubat penahan sakit dan penenang kepada pesakit yang mendapat serangan jantung, sakit akibat kemalangan parah atau luka terbakar.

"Pengambilan tidak terkawal dadah jenis ini boleh merosakkan organ penting, termasuk hati, buah pinggang, jantung dan otak," kata Pegawai Perubatan, Jabatan Kecemasan dan Rawatan Am, Hospital Columbia Asia, Dr Hanafiah Bashirun.

Jelasnya, dadah tulen melalui kajian terperinci mengenai bahan kimia dan kesan penggunaan kepada badan manusia di makmal hanya digunakan untuk tujuan perubatan tertentu. Ia diberi kepada pesakit yang benar-benar memerlukan oleh pakar perubatan.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad bertajuk `Ramuan Maut' bertarikh 23 April 2000 memaparkan tindakan penagih dadah kelas bawahan melepaskan gian dengan menyuntik dadah mengandungi bahan berbahaya iaitu heroin bersama racun tikus, serbuk lingkaran ubat nyamuk dan kaca mentol lampu.

"Kombinasi bahan asing yang juga beracun tanpa melalui proses ujian makmal semestinya memberi kesan buruk kepada pengguna.

"Setiap bahan dimasukkan ke dalam badan akan diproses. Ia bermula di hati dan dibawa ke buah pinggang untuk tapisan. Bahan ini berupaya merosakkan dan memecahkan sel organ berkenaan, sekali gus mengakibatkan kegagalan organ berfungsi.

"Lebih teruk lagi, sel otak turut mengalami kerosakan disebabkan bahan asing berkenaan," katanya.

Katanya, pengambilan dadah ini melalui suntikan membuka ruang risiko tinggi jangkitan seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV, selain bernanah di kawasan suntikan.

Menurutnya, kematian penagih berlaku disebabkan kegagalan organ berfungsi atau jangkitan hepatitis dan HIV.

Menafikan dadah buatan memberi kesan khayal lebih lama, Dr Hanafiah berkata, dadah buatan juga boleh mengakibatkan ketagihan.

"Individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah dinasihatkan berhenti dan mendapatkan bantuan pusat pemuliharaan disediakan kerajaan untuk menghentikan ketagihan.

"Manakala `pencipta' dadah buatan pula perlu bertanggungjawab dan berhenti merosakkan anak bangsa dan kematian yang sia-sia di usia muda," katanya.

Fakta Dadah

* Polis mengesahkan sebahagian besar penagih dadah terdedah kepada maut akibat 95 peratus kandungan heroin di pasaran tempatan dicampur pelbagai racun berbahaya.

* Dadah buatan itu boleh menyebabkan keadaan penagih dadah lebih kronik seperti mayat hidup. * Kandungan bahan asing terlalu banyak seperti tepung dalam heroin membuatkan kesan khayal tidak seperti diharapkan penagih.

* Heroin palsu yang mempunyai 95 peratus bahan asing berharga antara RM15 hingga RM20 satu tiub, namun tempoh khayal sekadar 15 minit.

* Faktor pengedar memalsukan heroin adalah kesukaran mendapat bekalan heroin tulen dan harga jauh lebih mahal, selain sikap tamak pengedar ingin mendapatkan keuntungan berlipat ganda.

* Serbuk kaca dicampur heroin akan diproses terlebih dulu hingga menjadi halus dan boleh sebati dengan heroin, ia selalunya digunakan untuk membuat racun.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI