Lukisan Hidup

Sunday, August 30, 2009




Memang tiada istilah lebih sesuai daripada aneh apabila melihat dua kanak-kanak menikmati suasana bandar raya dengan menaiki permaidani terbang.

Di sudut lain, seorang wanita kelihatan terkejut apabila sekumpulan penunggang motosikal merempuh dinding rumahnya.

Ia adalah sebahagian daripada suasana diciptakan di Stesen Kereta Api Waterloo, London.

Semuanya angkara Kurt Wenner - pelukis jalanan yang mengeksploitasi seni catan tiga dimensi (3D).

Memang nama Wenner bukanlah aneh sebagai pelukis bertaraf dunia yang berjaya menghasilkan lukisan realistik.

Melalui kepakarannya mengeksploitasi sudut perspektif orang ramai dan teknik 3D, imej yang dilakarnya memang sering memukau.

Di lihat dari satu sisi, tiada yang istimewa pada buah tangan Wenner, tetapi dengan kedudukan tepat, lakaran itu tidak ubah seperti kejadian sebenar.

Antara buah tangan terbaik pelukis kelahiran Ann Arbor di Michigan itu adalah dewa purba berenang dalam kolam di tepi jalan di Lucernes, Switzerland, selain sejumlah aksi lain di Bettona, Itali.

Beberapa tahun lalu, banyak syarikat gergasi dunia memilih Wenner untuk menjayakan strategi pengiklanan masing-masing.

Tahun lalu, comparethemarket.com menggunakan kepakaran Wenner untuk menggambarkan wang bernilai hampir RM96 juta yang dijimatkan pelanggan mereka sepanjang 2008.

Pada 2007, Wenner menukar Stesen Kereta Api Waterloo dengan iklan syarikat pengeluar televisyen, Sky HD, melalui imej sebuah beca terbabas ke ruang tamu rumah.

Ramai pengguna kereta api dilihat tidak melepaskan peluang cuba merakam diri mereka dalam gambar supaya menjadi sebahagian daripada imej berkenaan.

Wenner mula melukis pada 1982 di Rome, Itali.

Katanya, dia mendapat ilham daripada ukiran purba zaman pembaharuan Yunani.

Dia menggunakan teknik anamorphism - sejenis kaedah yang biasanya digunakan pelukis bagi menunjukkan perbezaan ketinggian dalam karya mereka.

Bagi Wenner, kaedah itu dimanipulasi bagi mencipta ilusi terhadap kedalaman sesuatu imej di permukaan rata.

Sebelum ini, Wenner pernah bertugas di Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan bertanggungjawab mereka ilustrasi untuk projek akan datang badan itu.

Perlahan-lahan, dia mempelbagaikan lukisan dengan memanipulasi sudut pandangan.

Antara hasil terpenting Wenner adalah lukisan untuk memperingati lawatan Pope John Paul II ke bandar raya Mantua, Itali.

Selama 27 tahun, Wenner mengembara ke seluruh dunia hasil kepakarannya menghasilkan lukisan 3D itu. Setakat ini lukisan Wenner mendapat tempat di 30 negara.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI