Tiga martabat bagi orang berpuasa

Sunday, August 30, 2009

Bagi mencapai puasa Ramadan yang berkualiti dan membentuk insan bertakwa bukan perkara mudah kerana kita berdepan cabaran dan ujian yang hebat.

Menurut ulama, ada tiga tingkatan ataupun martabat puasa. Pertama ialah puasa umum, iaitu puasa sekadar menahan diri daripada tidak makan dan minum tanpa menjaga adab berpuasa.

Martabat kedua pula ialah puasa yang berusaha menghindari dosa iaitu menjaga segala pancaindera daripada melakukan dosa selain daripada menahan diri dari makan dan minum.

Ketiga pula, puasa adalah menghindarkan diri daripada segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai daripada mengingati Allah SWT.

Martabat ketiga ini adalah tertinggi puasa dan sebagai tanda umat Islam yang hebat dan cemerlang, ia hendaklah menjadi matlamat kita.

Oleh itu, puasa yang berkualiti tinggi menjadi titik tolak kepada kita untuk membuat perubahan dan membina kejayaan.

Umat Islam yang memiliki ketinggian takwa tidak pernah membezakan antara bulan Ramadan atau kesebelasan bulan yang lain untuk berubah.

Apa yang nyata, roh Ramadan dan ibadat lain terus membimbing mereka menjadi insan soleh. Sabda Rasulullah SAW:

“Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu,” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA).

Sama ada kita sedar atau tidak, berpuasa menunjukkan betapa Islam dan mereka yang bertakwa sentiasa menyeru umatnya supaya bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah SWT.

Pada masa sama, kita perlu insaf bahawa dalam limpahan nikmat yang kita peroleh siang dan malam itu, terselit hak golongan tertentu seperti golongan fakir, miskin dan daif.

Puasa Ramadan adalah jalan menuju takwa. Selari dengan matlamat ini, marilah kita sama-sama menyempurnakan keimanan dan meningkatkan ketakwaan dengan melakukan nilai tambah seperti berikut:

1- Renunglah bahawa rasa lapar, haus dan dahaga itu adalah gambaran kesusahan di hari kiamat.

2- Memperbanyakkan sedekah kepada fakir, miskin dan kasihanilah anak-anak yatim.

3- Mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang mukmin.

4- Memperbanyakkan solat, berzikir kepada Allah SWT dan selawat ke atas Nabi SAW.

5- Mengambil makanan yang berkhasiat dan halal serta tidak membazir.

6- Merasai di dalam hati perasaan takut dan mengharap rahmat Allah SWT serta reda dengan ketentuan-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan,” (An-Nahl: 97).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI