Zakat tidak sama dengan cukai

Wednesday, August 26, 2009

Anda mengambil kesempatan untuk berniaga di sepanjang bulan Ramadan ini. Walaupun hanya untuk sepurnama namun jualan yang sebulan ini mampu menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Namun mungkin juga seperti anda, ramai peniaga Islam bermusim seperti ini tidak mengetahui atau tidak pasti akan satu perkara!

Bahawa anda sebenarnya wajib untuk membayar zakat perniagaan selepas cukup tempoh sebulan anda berniaga itu!

Perkara ini ditegaskan oleh Pengarah Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Prof. Madya Syed Mohd. Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa.

"Ini kerana walaupun untuk tempoh sebulan sahaja, tetapi tempoh perniagaan itu sebagai memenuhi syarat mengeluarkan zakat iaitu genap haul, iaitu sebulan berniaga," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya 'Pelaksanaan Zakat Perniagaan & Hubungannya Dengan Cukai Korporat' pada seminar Zakat Perniagaan dan Pendapatan 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Syed Mohd. Ghazali Wafa yang juga pakar dalam bidang Muamalat Islam seterusnya menjelaskan secara terperinci dan komprehensif mengenai zakat perniagaan.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, dianggarkan terdapat 13,055 syarikat (dari 43,266 syarikat) yang dimiliki oleh bumiputera Islam berdaftar di Wilayah Persekutuan.

Katanya, syarikat-syarikat yang berpotensi untuk tunaikan zakat perniagaan ini digalakkan merujuk dan berunding dengan PPZ bagi membolehkan mereka menunaikan zakat dengan lebih mudah terutama melibatkan soal perkiraan atau akaun zakat.

"Ini kerana setiap syarikat tentunya mempunyai pelbagai bentuk profil dan isu. Ini termasuklah sama ada anak-anak syarikat yang bernaung dalam satu kumpulan syarikat besar wajib untuk mereka membayar zakat perniagaan.

"Juga bagaimana menentukan sesebuah syarikat pelaburan dapat ditentukan dari aspek nisab dan haul untuk membayar zakat, bagaimana zakat perniagaan sesebuah syarikat yang mempunyai pemilikan bercampur (Islam dengan bukan Islam) dan sebagainya lagi," katanya.

Secara amnya, sesebuah syarikat itu wajib membayar zakat apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Ia termasuklah Islam, aset syarikat mestilah harta yang halal, cukup nisab pada akhir haul, genap haul, aset perniagaan milik sempurna, produktif dan niat untuk berniaga.

Penceramah dan perunding motivasi, Mohd. Fauzi Mustafa dalam kertas kerjanya 'Zakat Pendapatan: Perspektif Masyarakat dan Perlaksanaannya' pula menyentuh pelbagai aspek dan isu mengenai zakat pendapatan yang kerap juga dipanggil sebagai Zakat Gaji.

Di samping mengakui persoalan sikap yang masih tidak banyak berubah di kalangan umat Islam untuk menunaikan zakat, beliau berkata, jalan keluar boleh dicapai dengan setiap negeri mengeluarkan enakmen bagi mewajibkan zakat pendapatan.

"Jika ada kesedaran pun apabila dengan membayar zakat ini dapat dikecualikan mereka dari membayar cukai. Mereka lebih memerlukan resit untuk pengecualian itu berbanding untuk tujuan ibadat," katanya.

Namun tidak kurang yang mendakwa zakat pendapatan tidak lagi wajib ditunaikan jika individu Muslim itu menunaikan tanggungjawab terhadap pemerintah dengan membayar pelbagai jenis cukai.

Malah dianggap cukai yang dibayar itu boleh dianggap sebagai zakat. Ia sebagaimana yang menjadi pendapat oleh sesetengah ulama kerana dianggap kejam apabila kedua-dua tanggungjawab ini wajib ditunaikan oleh umat Islam.

Namun pendapat kedua, secara tegas mengatakan cukai sama sekali tidak boleh dianggap sebagai zakat kerana kedua-duanya merupakan tanggungjawab yang berasingan.

"Ibnu Hajar Al Haithami menyatakan bahawasanya barang siapa yang menganggap cukai sebagai zakat adalah orang yang fasiq.

"Dalam hal ini juga bekas Sheikh Al Azhar, Sheikh Mahmud al Syaltut menetapkan zakat bukanlah cukai walaupun sesetengah menganggap zakat dan cukai itu mempunyai banyak persamaan.

"Tetapi mempunyai banyak perbezaan terutama dalam soal dasar, sumber, syarat, kadar, tujuan, pembahagian dan kedudukannya. Antara kewajipan agama dan keperluan sosial adalah dua aspek yang berbeza," katanya.

Sementara itu Pengurus Baitulmal MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail turut menarik perhatian seramai 200 peserta dari 104 buah syarikat ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk 'Mekanisme agihan Zakat di Wilayah Persekutuan'.

Ini apabila beliau yang juga Penolong Pengarah (Penyelidikan) Muamalat dan Sosial Ekonomi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan bagaimana setiap sen wang zakat yang diinfakkan oleh umat Islam itu dibelanjakan tidak sahaja bagi memenuhi keperluan semasa. Tetapi yang penting agihan itu dibuat mengikut piawaian syariat Islam.

Ini apabila ramai yang menyatakan kemusykilan apabila kutipan zakat sering menunjukkan terdapat lebihan tetapi masalah fakir miskin di negara ini masih tidak dapat diatasi.

Namun Dr. Muhammad Yamin berkata, terdapat perkembangan positif di kalangan asnaf apabila status mereka kini semakin baik dan menjadi pembayar zakat.

Namun, golongan miskin baru sentiasa lahir dalam masyarakat sekali gus bermakna usaha berterusan melalui agihan kutipan zakat masih diperlukan bagi mengurangkan kadar kemiskinan tersebut.

"Namun apa yang jelas, agihan zakat kepada asnaf-asnaf yang lapan itu itu mempunyai kaitan rapat dengan soal pembangunan bagi menepati konsep memberi joran.

"Ini meliputi program pembangunan sosial, insan, ekonomi, pendidikan dan institusi agama," kata beliau.

Malah jika lihat satu persatu dalam program pembangunan sosial sahaja ia meliputi pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan membina, baik pulih dan bayaran sewa rumah asnaf, bantuan penempatan Darus Saadah (wanita yang bermasalah), Darul Kifayah (asrama anak yatim dan miskin), bantuan bulanan sehinggalah bantuan rawatan dialisis.

Pendek kata, senarai bantuan dari agihan adalah panjang dan setiap bantuan akan meningkat pada jumlahnya ekoran dari perkembangan ekonomi semasa.

Pembentang kertas kerja terakhir bertajuk 'Zakat Membentuk Keluarga Bahagia' ialah Datuk Siti Norbahyah Mahamood.

Antara lain, beliau menegaskan keluarga yang sentiasa prihatin dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk berzakat maka akan lahir keluarga yang sempurna.

"Iaitu selaku ketua keluarga, suami yang menyintai dan menghormati isterinya dan isteri pula akan lebih menghormati dan mentaati suaminya.

"Anak-anak pula akan begitu menghormati kedua-dua ibu bapa kerana berjaya menjadi contoh yang baik dalam soal ibadat, kebajikan dan sedekah yang sekali gus menjadi jejak untuk diikuti oleh si anak dalam sepanjang meniti usia mereka.

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI