Wanita Melayu bawa penanda gen barah

Tuesday, August 25, 2009

Usaha mengesan penyakit barah payu dara dan ovari di kalangan wanita Melayu kini dipermudahkan lagi dengan penemuan sejenis penanda genetik oleh seorang penyelidik tempatan.

Dr Azhar Ali, 38, membuat penemuan itu berdasarkan kajian selama lima tahun membabitkan hampir 300 wanita Melayu yang menghidap barah payu dara dan ovari.

Hasil kajiannya itu mendapati gen wanita Melayu yang mempunyai sejarah barah payu dara atau ovari, mengandungi sejenis mutasi yang boleh dijadikan sebagai penanda genetik bagi mengesan barah terbabit.

Wanita dalam keluarga pesakit, baik ibu atau anaknya akan mempunyai penanda genetik sama.

“Berdasarkan kajian saya, gen penanda itu tidak ditemui dalam bangsa lain, hanya di kalangan masyarakat Melayu tempatan. Penemuan itu boleh menguji kemungkinan seorang wanita Melayu diserang barah buah dada dengan menguji gen.

“Jika gen penanda itu wujud bermakna besar kemungkinan beliau boleh diserang barah,” jelas Dr Azhar.

Beliau menjelaskan, sebelum ini seluruh urutan gen seorang pesakit perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk diuji. Kosnya sekitar AS$15,000 (RM52,779.73).

“Dengan penemuan ini saya harap kos ujian mengesan barah akan lebih rendah kerana hanya sebahagian kecil urutan gen perlu diuji,” katanya.

Kajian itu membantu anak bongsu lima beradik itu meraih ijazah Doktor Falsafah daripada Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, baru-baru ini. Dr Azhar adalah penyelidik di Institut Sains Barah Singapura, Universiti Nasional Singapura (NUS). - Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI