Anne buka tudung kerana watak

Tuesday, January 12, 2010



(Dari kiri) Zarina, Tania dan Anne yang membawa watak sebagai tiga orang puteri iaitu Mayang Merdu, Mayang Mengurai dan Mayang Indera.

Melihat  Anne Ngasri mula bertudung ternyata membuatkan mana-mana mata yang memandangnya terasa sejuk sahaja. Penghijrahan pelakon yang memulakan kariernya dari usia muda itu dilakukan selepas Anne pulang dari menunaikan ibadah Umrah pada bulan Ramadan tahun lalu.
Tetapi timbul cerita yang kurang manis apabila tudung Anne ini dikatakan umpama pakai buang kerana dia masih dilihat di beberapa buah drama yang baru menunjukkan auratnya itu walaupun Anne sudah memilih untuk berubah.

Anne yang ditemui ketika penggambaran drama Mayang Mengurai di Carlton Holiday, Shah Alam, Selangor baru-baru ini mengakui, dia memang membuka tudung ketika berlakon baru-baru ini demi memenuhi kehendak produksi itu.

Ujar ibu anak dua ini, niatnya hanyalah untuk mencari rezeki kerana punca rezekinya dari dunia lakonan.

"Saya bukan sesuka hati pakai dan buka tudung saya. Di luar, saya sebagai Anne Ngasri memang sudah bertudung.

"Tetapi apabila berlakon, ada sesetengah drama memerlukan watak saya untuk tidak bertudung, jadi saya akan buka tudung ketika pengambaran.

"Namun ia masih ada batasnya kerana saya tak akan sesekali berpakaian seksi atau 'buka' sana sini malah dari dulu lagi saya bukanlah seorang yang seksi.

"Saya tahu ia merupakan isu sensitif dan banyak pendapat dalam Islam mengenai hal ini tetapi selagi saya tahu apa yang saya buat ini benda yang betul, saya rasa okey," ujar isteri kepada Abdul Wafi Hassan ini lagi.

Anne pada masa yang sama menyedari pasti ada yang keliru dengan penampilan dan keputusannya itu.

Namun begitu, dia menegaskan, sebagai wanita Islam dia sudah membuat keputusan untuk menutup auratnya.

Mendapat sokongan penuh daripada seluruh ahli keluarga, Anne berkata, keputusannya untuk berhijab bukanlah atas paksaan sesiapa tetapi atas kesedaran diri sendiri.

Mayang Indera

Bahkan Anne tidak menolak kemungkinan apabila sampai masanya kelak, dia tidak akan berkompromi lagi dengan mana-mana penerbit atau pengarah yang mahukan dia menanggalkan tudungnya semata-mata untuk memenuhi tuntutan karakter.

Mengulas tentang drama terbarunya dalam slot Lagenda iaitu Mayang Mengurai yang akan mula disiarkan pada 12 Januari ini setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 4.30 petang di TV3, dia memegang watak sebagai Mayang Indera.

"Saya memegang watak sebagai Mayang Indera, kakak kepada Mayang Mengurai yang dilakonkan oleh Tania Hudson.

"Ia merupakan adaptasi daripada kisah dongeng Rapunzel. Ini pertama kali saya berlakon watak sebegini terutamanya menjadi seorang puteri dan saya sangat teruja dengan watak ini.

"Mayang Indera mempunyai kuasa sakti pada matanya dan boleh memukau orang. Agak mencabar kerana saya perlu bermain dengan mata dan perlu memakai bulu mata palsu yang banyak," ujar wanita berusi 25 tahun ini lagi.

Mayang Mengurai memperkenalkan pelakon-pelakon baru seperti Tania Hudson dan Ammar sebagai teraju utama, Zarina AF, Kamal Adli, Sabrina Ali, Shasha Saidin, Ako Mustapha, Latif Borghiba, Lana Nordin, Badrul Muhayat dan lain-lain.

Mayang Mengurai yang akan bersiaran sebanyak 19 episod ini diterbitkan oleh Orangetree Communications Sdn Bhd dan diarahkan oleh Yeop Hitler Zami.

Drama bersiri itu mengisahkan Mayang Mengurai yang dikurung di dalam sebuah menara oleh seorang pengamal ilmu hitam, Kornilam demi menambah kuasanya.

Mayang Mengurai yang memiliki rambut yang sangat panjang turut mempunyai dua orang kakak angkat iaitu Mayang Indera dan Mayang Merdu yang dipergunakan oleh Kornilam untuk mencari punca kewangan.

Khalif dan Mayang Mengurai jatuh cinta dan Kornilam berusaha menghalang mereka kerana dia akan kehilangan kuasanya jika Mayang Mengurai berkahwin.

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
Gambar SHAIFUDIN MOHD NOR

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI