Bengkel Teater Kanak-kanak Bingkas Kebayan

Monday, January 04, 2010

Bengkel Teater Kanak-kanak Bingkas Kebayan

BENGKEL Siri Latihan Teater Kanak-kanak kelolaan Persatuan Anjung Seni Bingkas Kebayan (Bingkas Kebayan) dibuka kepada peserta berusia 4 hingga 8 tahun yang akan diadakan di Heaven Studio, Pandan Indah dan Rumah Kebayan, 1, Jalan 5/8, Pandan Indah, Kuala Lumpur, pada 9, 10, 14 dan 15 Januari ini.

Pengasasnya, Aladin Othman Nuawi atau lebih dikenali sebagai Ladin Nuawi, berkata latihan pertama pada 9 Januari yang diadakan bermula jam 2 hingga 6 petang itu, turut mengalu-alukan pembabitan ibu bapa dan orang awam sebagai peserta serta pembantu latihan.

“Selain latihan lakonan dan mereka cipta, peserta turut diwajibkan belajar penulisan dan dendangan puisi warisan seperti pantun, syair, gurindam, nazam serta seloka.

“Kanak-kanak itu akan berlatih di dalam studio, tempat terbuka dan kebun berkonsepkan mesra alam, sekali gus membantu proses penghayatan lakonan dan mengembangkan minda kreatif mereka,” katanya dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ladin berkata, peserta yang cekal menjalani latihan akan ditawarkan mengikuti persembahan pentas dan rakaman album yang diatur sempena teater kanak-kanak ke-10 arahannya dan Fasal Ketiga yang bermula 2010 hingga 2014 Teater Kanak-kanak Bingkas Kebayan.

Bingkas Kebayan yang bergiat aktif dalam pembangunan kesenian teater kanak-kanak dan puisi sejak 1999 itu, sudah mementaskan sembilan teater kanak-kanak dan lebih 10 sketsa puisi.

Pada April tahun lalu, Bingkas Kebayan menerbitkan album karaoke kanak-kanak Gembira Sekali sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Maklumat lanjut hubungi talian 012-3721453/019-4510959 atau lawati laman web www.bingkaskebayanmalaysia.com.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI