Arkeo-Pelancongan - Penemuan Tamadun Abad ke-3 Lembah Bujang,Kedah

Saturday, December 04, 2010

Pada tahun 1840, Kapten James Low telah melakukan penyelidikan arkeologi dan menemui lebih 20 candi di Kampung Bujang. Hasil penyelidikan dan ekskavasi selanjutnya mendapati bahawa kawasan Lembah Bujang yang berkeluasan kira-kira 224 kilometer persegi bermula dari Gunung Jerai hingga ke Sungai Muda di mana Seberang Prai merupakan pelabuhan utama di Asia Tenggara dari kurun ke-5 hingga 13 Masihi.

Terkini, sekumpulan ahli arkeologi yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin di Sungai Batu, Lembah Bujang telah menemui sebuah kompleks ketamadunan yang tinggi dan sangat penting bagi membolehkan sejarah awal ketamadunan Asia Tenggara ditulis semula. Data terdahulu mengatakan bahawa pembukaan kawasan Lembah Bujang dikaitkan dengan Kerajaan Kedah Tua yang diasaskan pada abad ke-5. “Penemuan artifak yang berada di dua kawasan berdekatan ladang kelapa sawit Jalan Lencongan Merbok membuktikan bahawa tamadun dan kehidupan sebuah komuniti manusia prasejarah di Lembah Bujang adalah lebih awal dari jangkaan sebelum ini,” jelas beliau.



Sementara itu, Mokhtar menjelaskan, hasil ujian OSL Dating, TL Dating dan juga Radiocarbon Dating mencatatkan bahawa artifak prasejarah berupa bangunan dan kilang melebur besi yang ditemui itu wujud pada abad ke-3 Masihi. Jelas beliau lagi, antara bahan peninggalan sejarah yang ditemui di tapak ekskavasi tersebut ialah batu-bata yang diperbuat daripada tanah liat di tapak ekskavasi Sungai Batu I serta peralatan memproses besi, relau dan peniup haba di tapak ekskavasi Sungai Batu II. “Sampel arang batu yang ditemui telah dihantar ke Beta Analytic Inc, Florida, Amerika Syarikat untuk menjalani ujian Radiocarbon Dating dan disahkan bahawa sampel tersebut berusia sekitar abad ke-3 hingga ke-4 Masihi,” ujar Mokhtar.

“Penemuan pertama bagi industri besi dalam tamadun Lembah Bujang ini mempunyai tarikh mutlak dan tidak dapat disangkal lagi serta merupakan penemuan penting bagi sejarah ketamadunan manusia di Malaysia,” tambah beliau. Tarikh yang telah disahkan itu menggambarkan permulaan bagi penggunaan besi dan aktiviti melebur bijih besi secara komersial yang paling awal di kawasan Lembah Bujang. Kajian yang lebih terperinci akan dijalankan bagi menentukan kaitan antara kawasan penempatan dan kilang besi ini dengan kawasan candi lain di sekitar Lembah Bujang.

“Penemuan ini menjadi bukti kukuh bagi tamadun manusia prasejarah berdasarkan pengetahuan asas, perdagangan dan juga penghasilan bahan industri berskala besar yang terdapat pada masa tersebut,” kata beliau. Menariknya, penemuan artifak di tapak ekskavasi Sungai Batu yang seluas 3 kilometer persegi ini jauh berbeza dengan artifak yang ditemui di tapak lain di Lembah Bujang. Hal ini disebabkan oleh penemuan terdahulu di tapak lain di Lembah Bujang hanya menemui struktur-struktur bangunan bercirikan candi purba.

Menurut beliau, projek ekskavasi ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Taman Warisan Lembah Bujang. Keseluruhan kawasan ekskavasi Sungai Batu akan diwartakan sebagai Taman Warisan Lembah Bujang oleh Kerajaan Malaysia pada 2010. “Jabatan Warisan Negara telah memberikan peruntukan sebanyak RM 10 juta bagi projek pembangunan Taman Warisan Lembah Bujang ini. Pembangunan Taman Warisan Lembah Bujang ini juga diharapkan dapat meningkatkan industri Arkeo-Pelancongan di Malaysia,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Mokhtar memberitahu, Taman Warisan Lembah Bujang yang dirangka itu akan menempatkan Galeri Pameran, Galeri Tulisan Dunia, Pusat Pentadbiran dan juga beberapa kemudahan asas yang lain. Beliau berpendapat bahawa industri Arkeo-Pelancongan di Malaysia masih tidak meluas dan tidak digunakan sepenuhnya jika dibandingkan dengan negara-negara lain, maka projek yang akan dijalankan itu adalah salah satu langkah untuk mengembangkan industri Arkeo-Pelancongan yang sedia ada di negara ini. “Industri Arkeo-Pelancongan di Malaysia mempunyai ruang untuk berkembang dengan lebih baik kerana kita mempunyai banyak data penting yang menyumbang kepada perkembangan dunia arkeologi,” kata beliau.

Beliau turut melihat potensi pembangunan industri Arkeo-Pelancongan di Lembah Bujang serta pembangunan ekonomi masyarakat setempat seperti Tanjung Dawai, Sungai Merbok dan juga Semeling sebagai suatu yang memberangsangkan apabila Taman Warisan Lembah Bujang dibangunkan kelak.

Oleh: Khairunnisak Azman, Wan Nur Hidayah Wan Hussin & Maizatul Akma Piramli


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI