Indonesia Twitter Popular

Monday, December 27, 2010

Ahmad Mustofa Bisri,66, ulama dihormati di Indonesia digelar Ulama ‘Trendy’ kerana mempunyai lebih kurang 7,000 pengikut di Twitter.Dia juga dianggap ‘Kyai Gaul’ yang menaip salamnya di iPad dan Blackberry setiap hari.

Ahmad Mustofa Bisri adalah antara sebilangan pemimpin Islam - konservatif dan liberal - yang beralih ke Internet untuk menyelami hati dan fikiran pengikutnya di negara yang mempunyai bilangan penduduk umat Islam paling ramai di dunia itu.


“Saya membuka satu akaun bulan lalu kerana saya gemar berkawan dengan sesiapa saja. Saya tidak letakkan diri saya sebagai seorang mufti atau pihak berkuasa agama. Saya hanya berkongsi apa yang saya tahu,” kata Bisri yang lebih dikenali sebagai Gus Mus atau ‘Brother Mus’ - kependekan namanya, Mustofa.

“Ia sesuatu yang penting bagi mereka yang memahami kepercayaan ini untuk menyebarkannya. Mereka yang tidak tahu, tetapi mengaku tahu, mungkin terkeliru,” tambah-nya.

Di samping Twitter, beliau memberi ceramah mengenai tolak ansur dan kesederhanaan agama di laman sosial Facebook yang mana beliau mempunyai 2,600 ‘rakan’ dan 62,000 ‘peminat’.

Golongan Islam daripada kumpulan yang lebih tegas seperti Hizbut Tahrir Indonesia dan Front Pembela Islam (FPI) juga menunjukkan kehadiran mereka di laman web menggunakan medium moden untuk membicarakan hukuman seperti merejam batu untuk penzina.

Pertarungan untuk meraih identiti Islam di Indonesia adalah salah satu cara Internet membentuk dan mengubah perdebatan umum di negara yang mempunyai penduduk berjumlah 240 juta orang manakala penggunaan laman web mula meledak sejak lima tahun lalu.

Dengan ekonominya yang kian berkembang dan golo-ngan kelas pertengahan pula semakin ramai, kepulauan itu menjadi salah sebuah negara yang mempunyai pengguna Twitter paling ramai, menurut firma penyelidikan dalam talian, comScore.

Daripada kajian membabitkan 41 negara, ia mempunyai peratusan pengguna Internet paling ramai di rumah dan tempat kerja yang menggunakan Twitter pada Jun 2010 atau lebih daripada 20 peratus daripada 45 juta penduduknya menggunakan khidmat dalam talian, lapor comScore.

Mereka yang fanatik dalam bab agama sekalipun pasti mahu memiliki akaun Twitter dan laman Facebook di Indonesia.

Malah, tidak dapat dielakkan di sebuah negara yang begitu pelbagai seperti Indonesia, persoalan mengenai kepercayaan menerajui senarai topik perdebatan.

‘Perang’ Twitter dilancarkan setiap hari antara kumpulan liberal yang menggalakkan pluralisme dan tolak ansur dalam agama manakala kumpulan konservatif pula membicarakan terjemahan yang tegas mengenai Islam dan nilai moral.

Sesetengah daripada golongan elit yang sudah berusia tidak selesa dengan dunia baru yang mengetengahkan komunikasi segera berkenaan.

Mengulas skandal video seks bintang rock tempatan dalam talian awal tahun ini, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memberi amaran bahawa kegilaan Internet adalah satu ancaman kepada moral sesebuah negara.

Tetapi penulis blog, Purwaka, yang dikenali dalam talian sebagai Blontank Poer, berkata aliran maklumat dan pendapat yang lebih terbuka adalah baik untuk negara yang hanya bebas daripada cengkaman ketenteraan Suharto pada 1998 itu.

“Perang Twitter adalah perang yang baik,” kata penulis blog berusia 42 tahun itu.

“Pemenangnya adalah orang ramai. Mereka memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai Islam dan boleh membuat kesimpulan mereka sendiri selepas mendengar pelbagai pendapat daripada pakar mengenai akidah,” tambahnya.

Daripada homoseks kepada ateisme dan layanan kepada kumpulan minoriti, warga Indonesia mendapati mereka boleh bercakap mengenai sesuatu subjek secara dalam talian sedangkan subjek itu sukar dibincangkan di pejabat, bilik darjah atau di meja makan mereka sendiri.

Menteri Komunikasi, Tifatul Sembiring, yang juga seorang Muslim yang konservatif, adalah salah seorang daripada pengguna Twitter paling prolifik dan kontroversi di negara terbabit.

Beliau mempunyai kira-kira 120,000 ‘pengikut’ atau pengguna lain yang memberikan komen.

Beliau mengundang cemuhan di peringkat antarabangsa berhubung kontroversi bersalaman dengan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama pada satu majlis keraian di Jakarta bulan lalu.

Salah satu daripada kritikan, ulama Islam liberal, Ulil Abshar Abdalla menyatakan dalam Twitternya kepada 35,000 pengikutnya: “Cukup, cukup, mulai sekarang, bersalaman dengan bukan muhram adalah dibenarkan.

“Ia halal (dibolehkan) jika ia pada peringkat Michelle Obama.”

Gus Mus pula menasihatkan menteri berkenaan supaya bertenang. Sembiring kemudian menjelaskan kedudukannya dalam beberapa siri dalam Twitter.

“Saya tidak kisah asalkan ada perdebatan secara terbuka dan orang ramai boleh menyampaikan mesej mereka secara sopan tanpa maki hamun dan penghinaan.

“Biasanya saya bercakap dengan mereka, tetapi jika mereka terus menghina saya dan enggan untuk menunjukkan perangai sopan, selepas dua atau tiga kali, saya akan sekat mereka,” kata menteri berkenaan.

Penyelidik teknologi maklumat dan penasihat pengucapan umum, Donny Budi Utoyo, berkata ketika pemimpin Muslim mempunyai pandangan berbeza, mereka yang terbabit dalam rangkaian sosial pula mempunyai keupayaan untuk menangani kritikan dan kepercayaan terhadap media baru.

“Kedua-dua pemimpin liberal dan konservatif yang baru saja menyertai Twitter setakat ini bersifat terbuka yang tahu bagaimana untuk senyum. Jika mereka diserang, mereka membalas dengan cara positif.

“Ini menggambarkan kematangan fikiran yang diperlukan untuk keberkesanan sebarang proses dialog,” katanya - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI