Twitter Samy Vellu palsu

Thursday, December 09, 2010

Tiga hari selepas berundur dan menyerahkan jawatan yang dipegangnya selama 31 tahun, bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mendapati beliau diserang di alam siber disebabkan seorang penyamar twitter.

Samy Vellu berkata beliau menerima panggilan daripada rakan-rakan dan anggota parti bertanyakan mengenai satu akaun twitter di bawah nama 'ybsamyvellu' dan menyamar sebagai beliau.

"Individu yang menyamar sebagai saya menghantar mesej yang bersifat perkauman dan komen-komen yang menghina. Banyak orang menelefon dan bertanya jika saya ada satu akaun twitter. Saya tidak ada kena mengena dengan twitter ini," katanya di sini, hari ini.

Samy Vellu berkata beliau akan membuat satu laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara itu.

Bekas Menteri Kerja Raya itu, yang tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008 itu berharap SKMM akan mendedahkan identiti individu di sebalik usaha untuk memburuk-burukkan namanya dan membawa mereka ke mahkamah.

Satu tinjauan pada akaun twitter 'ybsamyvellu' menunjukkan bahawa ia mempunyai 559 pengikut manakala komen-komennya kebanyakannya menentang kerajaan Barisan Nasional.

Samy Vellu dilantik sebagai pemangku presiden parti itu berikutan kematian Tan Sri V Manickavasagam pada 13 September 1979, dan meletakkan jawatan Presiden parti itu, Isnin lalu.

Timbalannya Datuk G Palanivel mengambil alih jawatan itu. - Bernama


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI