Keburukan Kelebihan Facebook

Selasa, Disember 07, 2010

FACEBOOK kini menjadi fenomena serta trend komunikasi terbaru bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia. Diasaskan pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg, seorang bekas pelajar Universiti Harvard, ia muncul sebagai rangkaian sosial cukup inovatif serta begitu interaktif membenarkan sesiapa saja berkomunikasi dengan rakan dan bertukar maklumat, pandangan, kritikan dan sebagainya.

Zuckerberg kini muncul sebagai antara manusia terkaya serta cukup berpengaruh di dunia.

Setakat 2009 saja, jumlah mereka yang menggunakan perkhidmatan rangkaian sosial itu meningkat kepada lebih 250 juta orang, menjadikannya model perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian paling popular mengalahkan MySpace yang dimiliki News Corporation.

Peningkatan kepada lebih suku bilion pengguna ini bukan saja sebagai petunjuk angka yang mengagumkan, tetapi juga sebagai ukuran berapa banyaknya hubungan peribadi yang dilakukan masyarakat di seluruh dunia, termasuk di negara kita yang turut merasai tempias fenomena ini.



Namun, apa yang menyedihkan dan menakutkan ialah budaya 'berfacebook' yang begitu rancak ketika ini boleh dianggap bagaikan madu dan racun iaitu jika digunakan secara betul akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan masyarakat keseluruhannya.

Jika disalahgunakan akan memberi musibah serius kepada seseorang sehingga boleh memberi impak negatif kepada pembangunan serta pembinaan anggota dalam masyarakat dan generasi muda, kelompok terbesar di dalam rangkaian komunikasi maya ini.

Dulu konflik keluarga atau kes perceraian sering berlaku akibat isu kecil seperti kesan gincu di baju suami, salah faham suami isteri, campur tangan keluarga kedua-dua pihak atau impak lebih besar seperti SMS, e-mel dan sebagainya. Namun, dalam satu kajian terbaru di Barat yang boleh dijadikan panduan kita menunjukkan masalah itu kini turut disumbangkan oleh laman sosial seperti Facebook.

Berdasarkan kajian Akademi Peguam Perkahwinan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan satu daripada lima perceraian di negara berkenaan membabitkan laman sosial di samping beberapa punca tradisional lain. Malah, kira-kira 80 peratus peguam juga melaporkan jumlah ketara individu menggunakan media sosial sebagai bukti kecurangan pasangan masing-masing.

Situasi ini mungkin akan berlaku dan tidak jauh bezanya dengan pasangan di negara kita jika penggunaan laman sosial seperti Facebook dan medium komunikasi lain tidak diberi perhatian serius dan dipantau sewajarnya. Bibit-bibit berkenaan mungkin sudah berlaku di negara kita, cuma mungkin belum parah atau dilaporkan kepada media massa.

Apa yang sangat mengejutkan dilaporkan bahawa antara bahan digunakan ketika berkomunikasi adalah lambakan mesej yang tidak berfaedah atau bernada lucah dan gambar seksi yang menggoda di Facebook.

Ini mungkin untuk perhatian pengunjung supaya bertandang ke Facebook masing-masing. Aktiviti ini amat tidak beretika dan perlu dipantau agar tidak disalahgunakan. Tambahan pula kewujudan laman web itu juga didapati membolehkan seseorang berhubung semula dengan bekas kekasih selepas terpisah sekian lama.

Kajian itu menunjukkan Facebook adalah penyumbang terbesar masalah rumah tangga dengan 66 peratus peguam AS mendakwa ia dikemukakan sebagai bukti tuntutan perceraian di mahkamah.

Selanjutnya, menurut kajian berkenaan, penyumbang kedua terbesar adalah laman sosial MySpace (15 peratus) dan diikuti Twitter (5 peratus) serta selebihnya laman sosial lain.

Tahun lalu sebuah firma guaman Britain mendakwa, 20 peratus petisyen perceraian di negara itu mengaitkan Facebook sebagai punca. Menurut laman web Divorce-Online, kebanyakan pengguna laman sosial menggunakan kemudahan itu untuk berbual mengenai seks dengan seseorang yang tidak sepatutnya.

Realiti ini sangat bahaya dan oleh itu, pengguna Facebook perlu berhati-hati, beradab dan bertanggungjawab menggunanya.

Secara positifnya, di samping Facebook, Friendster, MySpace dan sebagainya kini turut menjadi medium yang popular, berkesan, mudah dan menarik untuk menjalinkan persahabatan dengan sesiapa saja di seluruh dunia.

Justeru, melihat kepada potensi besar kepada Islam dan dakwah serta tarbiyah, pemimpin Islam dan gerakan Islam disaran menyertai laman sosial ini sebagai satu cara menarik generasi muda umpamanya mendekati dan memahami agama Islam secara holistik.

Dengan laman paling digemari golongan muda, Facebook dan laman sosial lain boleh dijadikan portal untuk membimbing, memandu dan memperbetulkan kepincangan dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat yang kian menjadi-jadi ketika ini.

Umumnya umat Islam tidak dihalang menggunakan laman sosial ini untuk berhubung dengan rakan dan melakukan kerja berfaedah misalnya, tetapi perlu ditegaskan bahawa untuk bergosip, bermain cinta dan menyebarkan fitnah serta berkelakuan tidak beradab adalah dilarang.

Semua lapisan masyarakat Islam, terutama golongan ulama, pendakwah, pemimpin politik, pendidik, pemimpin pelajar dan lain-lain perlu memastikan agar budaya berfacebook tidak disalahgunakan, malah mengaplikasikannya sebagai medium memastikan masyarakat benar-benar memahami Islam secara syumul dan komprehensif di samping menjadi medan rujukan dalam segala hal.

Cabaran dan agenda terbesar umat Islam hari ini dalam berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam adalah bagi memastikan mereka memahami perspektif Islam secara tepat, efektif dan sebagai prasyarat misi memperbetulkan prasangka buruk masyarakat bukan Islam terhadap Islam.

Persepsi negatif dan anggapan buruk masyarakat bukan Islam perlu ditangani agar keadaan tidak menjadi lebih serius serta merugikan masa depan Islam dan ini boleh dilaksanakan melalui medium komunikasi maya seperti Facebook.

Oleh Mohamad Sofee Razak
* Penulis seorang peguam


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI