Cari Kerja Di Internet

Thursday, December 09, 2010

Proses mencari pekerjaan mungkin agak mudah untuk sesetengah individu namun, ia juga boleh menjadi perkara sukar untuk orang lain walaupun mempunyai kelulusan tinggi, termasuk ijazah tetapi tidak semua graduan mudah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian dan keadaan menjadi lebih buruk jika mereka memilih kerja.

Pada zaman teknologi maklumat sekarang, proses mencari kerja lebih mudah kerana boleh melakukannya melalui Internet, sama ada meninjau kerja kosong atau mengiklankan diri sendiri.

Beberapa syarikat, termasuk konglomerat tidak lagi menggunakan media, termasuk akhbar bagi mengiklankan kerja kosong sebaliknya menggunakan internet yang diiklankan di laman web syarikat terbabit apabila memerlukan pekerja.

Banyak bank dan syarikat kerajaan, termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia menggunakan internet bagi mengiklankan jawatan kosong tertentu dan pemohon menghantar permohononan melalui e-mel beserta butir peribadi.

Pemohonan pekerjaan yang diterima TNB mencecah puluhan ribu setiap bulan dan kesemuanya melalui internet. Bagi jawatan eksekutif, TNB menapis permohonan yang dibuat melalui internet manakala jawatan bukan eksekutif masih menerima pakai permohonan melalui pos.

Sehubungan dengan itu, graduan perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan penggunaan internet, termasuk menghasilkan fail resume untuk dihantar bersama e-mel. Jadi, selain akhbar, graduan dan pencari kerja juga perlu rajin melayari internet, memeriksa laman web syarikat, bank dan agensi yang diminati bagi melihat kerja kosong ditawarkan.

Kini, bukan saja syarikat besar, banyak syarikat pemilik perniagaan kecil turut menggunakan internet bagi mengiklankan kerja kosong dan mencari pekerja kerana kosnya yang murah.

Selain itu, Kementerian Sumber Manusia turut menyediakan sistem melalui internet yang dikenali sebagai Sistem Penjodohan Pekerjaan (JCS) iaitu sistem penjodohan pekerjaan automatik atas talian. Sistem ini memberi kemudahan kepada pencari kerja mencari peluang pekerjaan yang sesuai.

Melalui sistem ini juga, majikan boleh mendapatkan calon untuk mengisi kekosongan jawatan di syarikat mereka. Pencari kerja boleh membuat permohonan kerja dan majikan menguruskan permohonan pekerjaan yang diterima.

Semua kemudahan yang disediakan ini tidak dikenakan sebarang bayaran.

Sistem ini diwujudkan untuk meningkatkan kemudahan tenaga kerja negara dan memastikan penggunaan tenaga kerja secara berkesan melalui penjodohan pencari kerja dan kekosongan jawatan yang lebih sistematik.

Ia juga menjadi pusat maklumat pasaran buruh yang boleh dicapai orang ramai sama ada dari dalam atau luar negeri termasuk pelajar Malaysia di luar negeri dan pelabur asing.

Melalui laman web Jabatan Tenaga Kerja, terdapat beberapa kategori jawatan kosong yang boleh dirujuk pemohon, antaranya kekosongan terbanyak serta jawatan popular.

Antara jawatan popular yang sering dipilih pencari kerja adalah jenis profesional dengan kekosongan sebanyak 4,663, bahagian perkhidmatan dan jualan (894), perkeranian (1,400) serta bahagian teknikal.

Manakala jawatan yang banyak ditawarkan majikan adalah jenis profesional dengan 2,088 tempat, pegawai kanan dan pengurus (2,983), pekerjaan asas (2,200) serta bahagian teknikal (500).

Selain itu, jabatan itu melalui laman web rasminya turut menyediakan jawatan yang sesuai untuk orang kurang upaya (OKU) menggunakan sistem dikenali sebagai Sistem Penempatan OKU (SPOku).

OKU yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja lebih mudah mencari pekerjaan kerana majikan turut mengiklankan jawatan kosong yang sesuai untuk golongan ini.

Oleh Syarifah Dayana

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI