Jenayah melampau: Kerat mayat sebelum bakar

Friday, August 31, 2012 0 Komen

Kepulan asap di sebuah lorong kecil berhampiran ladang kelapa sawit membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki terbakar dalam keadaan tanpa kepala, kedua-dua tangan dikerat pada paras siku dan kaki dipotong di bahagian paha.

Mayat lelaki dipercayai mangsa pembunuhan kejam itu ditemui orang awam yang curiga selepas melihat kepulan asap dekat ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil, di sini, jam 9.45 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mat Nasir Salleh berkata, ketika ditemui sebahagian mayat masih terbakar itu dan mangsa hanya berseluar dalam.

Menurutnya, siasatan anggota forensik yang bergegas ke tempat kejadian gagal menemui dokumen pengenalan diri pada mayat terbabit dan menganggarkan usia mangsa dalam 30-an.

"Mangsa dikenal pasti lelaki berdasarkan kemaluannya yang tidak terbakar dan polis menemui tiga tin minyak dipercayai digunakan untuk membakar mangsa tidak jauh dari tempat kejadian.

"Polis turut menemui dua jari mangsa yang masih elok dan ia penting untuk membantu siasatan kami bagi mengenali identiti mangsa," katanya.

Mat Nasir berkata, pakar Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa meninggal dunia tujuh jam sebelum ditemui.


"Ini bermakna mangsa mati jam 4 pagi dan polis percaya dia dibunuh tempat lain sebelum anggota badannya dikerat dan dikumpulkan di kawasan ladang sawit berkenaan untuk dilupuskan," katanya.

Menurutnya, mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mat Nasir turut meminta saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di talian 04-5824222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. ~ HM

Bayi Merdeka 2012 seramai 53 bayi

Friday, August 31, 2012 0 Komen

53 bayi merdeka, 24 perempuan dan 29 lelaki, lahir di 8 hospital kerajaan serta swasta di sekitar Lembah Klang bermula selepas detik 12 tengah malam tadi hingga tengah hari ini.

Bayi merdeka pertama ialah bayi lelaki yang dilahirkan sebaik selepas detik 12 tengah malam tadi.

Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan di Hospital Kajang dan bayi itu adalah antara enam kelahiran yang direkod di hospital berkenaan, termasuk sepasang bayi kembar perempuan, kata jurucakap hospital itu.

Hospital Sungai Buloh pula mencatat kelahiran paling tinggi iaitu 13 bayi dengan kelahiran pertama, seorang bayi lelaki pada 12.14 pagi, kata jurucakap hospital itu.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula, seramai lapan bayi dilahirkan sehingga 9.02 pagi ini dengan bayi pertama seberat 2.73 kg dilahirkan pada 12.20 pagi.

Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) masing-masing mencatat tujuh kelahiran dengan bayi pertama masing-masing dilahirkan pada 1.02 pagi dan 12.55 pagi.

Hospital Kuala Lumpur mencatat kelahiran lima bayi dengan seorang daripadanya rakyat Indonesia seberat 4.25 kg yang dilahir pada 4.11 pagi, manakala Hospital Tawakal merekodkan kelahiran dua bayi lelaki.

Di Hospital Pantai Kuala Lumpur pula, lima kelahiran direkod termasuk seorang bayi lelaki rakyat Perancis, kata jurucakap hospital itu.

Daripada 53 bayi yang dilahirkan itu, 18 kelahiran adalah melalui pembedahan iaitu masing-masing satu di PPUM dan HKL, Hospital Tawakal Kuala Lumpur (dua), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pantai Kuala Lumpur (tiga) dan masing-masing empat di Hospital Serdang dan SJMC.

DI KUALA TERENGGANU, 28 bayi dilahirkan di beberapa hospital di negeri itu sehingga 12 tengah hari iaitu 12 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan kelahiran pertama ialah pada 12.14 pagi.

DI GEORGETOWN, seramai tiga bayi dilahirkan di Hospital Pulau Pinang termasuk dua bayi rakyat Indonesia.

DI SEREMBAN, seramai 17 bayi merdeka dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini bermula tengah malam sehingga 12 tengah hari, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Zailan Adnan. – BERNAMA

Blogger Hamzah Lan, Terbang Tinggi Tinggi

Sunday, August 26, 2012 0 Komen

Temubual bersama blogger Hamzah Lan, Utusan Malaysia

Blogger Hamzah Lan, Terbang Tinggi Tinggi

.COM: Bagaimana boleh mendapat inspirasi menulis blog?

HAMZAH LAN: Saya masih ingat lagi sekitar tahun 2009, saya terbaca artikel mengenai penulis blog Red Mummy di akhbar tentang blog yang dihasilkannya. Uniknya mengenai blog itu, dia hanya menulis mengenai kehidupannya sahaja dan ia benar-benar membuatkan saya terfikir untuk melakukan perkara yang sama. Maka terhasil blog Terbang Tinggi Tinggi yang menceritakan mengenai kehidupan seharian saya pada peringkat awalnya. Bagaimanapun, lama-kelamaan penceritaan saya bukan lagi tertumpu kepada diri sendiri sahaja tetapi kepada orang lain juga. Saya mula menulis tentang cerita lucu, event dan reviu tempat makan yang menarik untuk dikongsikan bersama pengikut-pengikut di blog.

Apa treadmark blog Terbang Tinggi Tinggi?

Saya selalu melukis watak orang lidi dalam kebanyakan post yang bertujuan untuk memperjelaskan mengenai cerita yang ingin disampaikan. Bagi saya, ia juga menjadi satu tarikan untuk orang ramai mengikuti perkembangan blog saya dari semasa ke semasa. Walaupun kebanyakan jalan cerita orang lidi tersebut berunsur jenaka, sebenarnya ada mesej yang ingin saya sampaikan di sebaliknya. Jika dihayati, saya sering menyelitkan mesej-mesej mengenai kekeluargaan, persahabatan dan kasih sayang. Kalau nak tahu, sebenarnya saya hanya menggunakan software paint sahaja untuk melukis orang tersebut sebab saya tak berapa pandai nak menggunakan software lain.

5 perkara yang patut diketahui mengenai Hamzah Ian.

1. Personaliti Hamzah Ian di dunia realiti dan maya adalah berbeza sama sekali. Mungkin ramai beranggapan saya seorang yang ganas, gila-gila dan suka mencuba benda baru apabila membaca blog Terbang Tinggi Tinggi tetapi realitinya, saya seorang yang pemalu dan jarang menyertai mana-mana perjumpaan blogger-blogger kerana sifat saya yang satu ini.

2. Jika ada masalah untuk dikongsikan, saya lagi selesa share di blog dan jika terlalu personal saya akan mencari rakan-rakan blogger yang rapat. Realitinya, kebanyakan rakan-rakan saya adalah di kalangan blogger sendiri berbanding kawan-kawan sekuliah.

3. Saya tidak makan tiram. Tak kisah lah masak apa-apa pun, jika ada pilihan lain saya tidak akan memakan makanan tersebut disebabkan fobia. Disebabkan terlalu banyak makan tiram ketika baru nak berjinak-jinak dengan makanan laut tersebut saya mengalami sakit perut. Sejak itu, saya akan mengelakkan daripada memakannya.

4. Disebabkan saya mempunyai lidah kampung, saya tidak berapa gemar mencuba makanan yang ‘pelik-pelik’.

5. Perkara yang paling perlu diketahui pengikut-pengikut blog ialah nama sebenar saya bukan Hamzah Ian tapi Mohd. Faez Mat Rudin. Jadi siapa Hamzah Ian? Hamzah Ian itu memang tidak wujud. Entah bagaimana nama itu boleh terlintas di kepala semasa saya mencari nama untuk digunakan di blog.

Sempena bulan kemerdekaan ini, apa kenangan merdeka Hamzah Ian?

Saya masih ingat lagi semasa baru-baru mendapat lesen motosikal ketika berada di tingkatan empat, menjelang malam merdeka saya turut menyertai konvoi mengelilingi satu kampung sambil mengibarkan bendera Malaysia. Walaupun hanya membawa motosikal kapcai sahaja, saya tetap berasa bangga kerana dapat mengibarkan jalur gemilang.

Saya sayang Malaysia kerana...

Saya bebas melakukan macam-macam perkara tanpa sebarang halangan selagi ia tidak menyalahi ajaran Islam dan juga undang-undang negara.

Ucapan untuk pengikut-pengikut blog...

Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada pengikut-pengikut setia blog Terbang Tinggi Tinggi yang tidak pernah jemu-jemu mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa. Selagi ada yang menyokong, saya akan terus menulis. =)

Perpustakaan Komuniti AEON Jusco Station 18

Sunday, August 26, 2012 0 Komen

Perpustakaan Komuniti AEON Jusco Station 18

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah membuka perkhidmatan cawangan yang terbaru di AEON Jusco Station 18.

Perpustakaan yang dinamakan sebagai Perpustakaan Komuniti terletak diaras bumi bangunan AEON Jusco Station 18 dan dilengkapi dengan bahan-bahan bacaan dari berbagai kategori dan subjek untuk rujukan.



Perkhidmatan telah mula dibuka pada 29 Mac 2012 sempena pembukaan rasmi AEON Jusco Station 18. Waktu perkhidmatan bermula dari jam 10.00 pagi - 10.00 malam setiap hari.

Adalah diharapkan dengan pembukaan cawangan yang terbaru ini , PPANPk akan lebih dekat dengan masyarakat dan komuniti seterusnya menjadi tumpuan masyarakat sebagai gedung ilmu di pusat membeli belah.

Tikam uncle hingga mati kerana internet

Saturday, August 25, 2012 0 Komen

Gadis tikam bapa saudara kerana Internet
Seorang remaja perempuan didakwa menikam bapa saudaranya sehingga mati setelah bapa saudaranya itu menegurnya supaya berhenti melayari Internet pada lewat malam.

Menurut laporan berita tempatan, gadis tersebut yang berusia 19 tahun dan dikenali dengan nama keluarga Lin, ditahan di bandar Miaoli di barat laut negara ini selepas dia disyaki menikam bapa saudaranya di perut menggunakan sebilah pisau sepanjang 29 sentimeter.

Berdasarkan siasatan awal, polis berkata, gadis tersebut dikatakan sedang melayari Internet pada kira-kira pukul 2 pagi dan bapa saudaranya meminta dia berhenti melayari Internet, menyebabkan berlaku pergaduhan kecil sebelum gadis tersebut mengeluarkan pisau.

Bapa saudaranya yang berusia 37 tahun itu meninggal dunia di hospital tempatan.

Menurut nenek suspek yang turut tinggal di rumah tersebut, mangsa yang merupakan seorang yang panas baran bertindak memutuskan bekalan elektrik di rumah itu ketika Lin sedang melayari Internet kerana berang dengan tindakan anak saudaranya itu tidak mengendahkan arahannya.

Gadis itu berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 tahun atau hukuman mati jika didapati bersalah. - DPA

Zeti Akhtar, Ahli Perbankan Pusat Terbaik di Dunia

Saturday, August 25, 2012 0 Komen

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mengekalkan kedudukannya di kalangan ketua-ketua bank pusat yang dinamakan oleh majalah Global Finance sebagai Ahli Perbankan Pusat Terbaik di Dunia sejak beberapa tahun lepas.


Dr. Zeti adalah salah seorang daripada enam ketua bank pusat yang mencapai mata "A" di dalam Kad Laporan Ahli Perbankan Pusat yang diterbitkan oleh Global Finance.

Beliau juga mencapai mata "A" pada tahun lepas dan 2010.

Ketua bank pusat yang lain yang mengekalkan mata "A" termasuk Amando Tetangco Jr. dari Filipina, Fai-Nan Perng dari Taiwan, Gabenor Reserve Bank of Australia, Glenn Stevens dan Gabenor Bank of Israel, Stanley Fischer.

Nama baru yang menyertai senarai itu ialah Mark Carney dari Kanada, yang pada tahun lepas mendapat mata "B+". Sementara itu, Pengerusi Rezab Persekutuan AS, Ben Bernanke menambah pencapaiannya kepada "B" daripada "C" pada tahun lepas.

Rencana Central Banker Report Card itu, yang diterbitkan setiap tahun oleh Global Finance sejak 1994, menggred para Gabenor Bank Pusat 50 negara utama (dan Bank Pusat Eropah) pada skala "A" hingga "F" bagi kejayaan dalam bidang seperti kawalan inflasi, matlamat pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang dan pengurusan kadar faedah.

"A" mewakili prestasi cemerlang dan turun sehingga "F" bagi kegagalan mutlak. Kriteria subjektif juga boleh digunakan.

Penerbit Global Finance, Joseph Giarraputo berkata: "Ahli-ahli perbankan pusat di dunia kini diuji melalui tahun-tahun yang sangat mencabar pernah dicatatkan."

"Setiap tahun, kami menilai kecekalan ahli-ahli perbankan pusat untuk menghadapi campur tangan politik dan usaha mereka mempengaruhi kerajaan masing-masing menghadapi isu-isu seperti perbelanjaan dan keterbukaan ekonomi yang berhadapan dengan pelaburan asing dan perkhidmatan kewangan. - BERNAMA

Menabung lepas raya

Saturday, August 25, 2012 0 Komen

Kalau mahu meriah, biarlah semuanya baru. Itu antara ungkapan yang biasa didengar pada musim perayaan. Paling memeningkan apabila semua barangan dan pakaian baru juga memerlukan perbelanjaan besar apatah lagi jika memiliki bilangan ahli keluarga yang ramai.

Statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan bahawa selepas musim perayaan tidak kira Syawal, Tahun Baru Cina atau Deepavali, terdapat peningkatan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat di agensi terbabit.

Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Azman Hasim, masalah ini menjadi trend bermusim yang dapat dilihat selepas berakhirnya musim perayaan.

Situasi berkenaan menunjukkan pelanggan mula berasa tertekan daripada segi kewangan selepas menyambut musim perayaan kerana terpaksa menanggung beban hutang atau bermasalah `poket kosong'.

"Mengikut pengalaman di agensi ini, kebanyakan mereka yang tidak dapat membuat perancangan kewangan berisiko tinggi untuk menghadapi hutang.

"Bagi mengelakkan ia berlaku, ambil tindakan bijak membuat simpanan khas menyambut raya dengan keseronokan tanpa gangguan fikiran untuk membayar hutang selepas itu.

"Sikap suka berlumba-lumba tanpa mengambil kira kedudukan kewangan boleh memberi keburukan kepada diri. Sepatutnya, kita harus memikirkan perkara lain yang lebih penting seperti persaraan dan kesihatan yang memerlukan persediaan sewajarnya," katanya.

Tambahnya, jika tidak diri, pasti ada orang lain yang rapat dengan kita akan mengalami masalah kerana tiada persediaan menghadapi sebarang musibah misalnya kos yang membabitkan kesihatan.

Justeru, cukup sekadar hidup secara sederhana dan mengikut kemampuan ketika berbelanja menyambut musim perayaan.

"Sepatutnya, kita harus membuat perancangan seawal mungkin bagi mengelakkan perbelanjaan melebihi bajet ketika ingin berbelanja pada musim perayaan agar tidak berlaku pembaziran.

"Misalnya selepas raya berakhir, kita harus tanamkan semangat membuat tabungan untuk perbelanjaan pada musim perayaan tahun depan. Namun, bagi mereka yang sudah terlewat, berbelanjalah ikut kemampuan kewangan diri.

"Jangan fikirkan apa orang lain kata mengenai diri. Lebih penting, bebaskan diri daripada dibelenggu hutang selepas musim perayaan tamat," nasihatnya kepada mereka yang gemar berbelanja sesuka hati.

Perkara terbaik adalah elakkan sikap suka berbelanja pada saat akhir kerana ia akan membuatkan kita membeli barangan yang tidak sepatutnya dan berlebihan.

Ini akan menyebabkan sesetengah orang menggunakan kad kredit disebabkan tunai tidak mencukupi kerana melebihi bajet yang dirancang.

"Jika kita mahu menyambut musim perayaan penuh meriah, tidak salah membuat perancangan awal dengan membuka simpanan khas. Tetapi kini, seolah-olah jadi kelaziman berbelanja pada luar kebiasaan semata-mata mahu raya `lebih meriah'.

"Apa pun, kita perlu mengikut kemampuan dalam membuat persiapan bagi menyambut kemeriahan. Ambil pengalaman berbelanja pada persediaan musim perayaan lalu untuk mengelak pembaziran," katanya.

Bagi mereka yang beranggapan berbelanja di saat akhir lebih murah dan dapat berjimat, tidak salah untuk meneruskannya. Apapun bagi mengelak tekanan, berbelanjalah mengikut kemampuan.

"Menerusi ibadah puasa yang dilalui selama sebulan, ia sebenarnya mendidik kita untuk membantu dan mengambil iktibar daripada mereka yang kurang berkemampuan.

"Tidak semestinya jika sudah berjaya dan mendapat apa yang diidamkan, kita boleh berbelanja besar sesuka hati.

"Sepatutnya, sikap sederhana dalam perbelanjaan harus diamalkan dan fikirkan mengenai masa depan untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Sikap memerap di rumah di Aidilfitri

Saturday, August 25, 2012 0 Komen

Pakar psikologi K&A Applied Psychology Consultancy (KAPC), Khairol Anuar Masuan, berkata sikap memerap saja di rumah ketika sambutan Aidilfitri memang tidak sepatutnya diamalkan.

Ibu bapa seharusnya menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka bagi menyemai rasa gembira untuk menyambut Syawal. Sikap enggan keluar beraya dan ada anak muda yang lebih suka terperap di rumah sambil menonton rancangan televisyen atau bermain permainan video, menyebabkan mereka terlepas makna sambutan raya sekali gus memudarkan kemeriahan raya itu sendiri.

"Antara faktor setiap kali Aidilfitri adalah rancangan televisyen yang menayangkan program menarik pada hari raya pertama hingga ketiga membuatkan ada orang yang lebih suka duduk di rumah untuk menonton televisyen.

"Malah mereka sudah merancang untuk menonton program yang disediakan sebab semuanya menarik sehinggakan sama ada disedari atau tidak, mereka kurang berinteraksi sesama keluarga sendiri.

"Ini sememangnya sikap yang tidak sihat. Pada pendapat saya, penyiar juga tidak sepatutnya meletakkan rancangan televisyen yang menarik sebaliknya mungkin boleh digantikan dengan lagu raya saja," katanya.

Ketaksuban kanak-kanak sekarang yang suka bermain permainan video atau menggunakan komputer juga menyebabkan mereka sudah terbiasa dengan komunikasi satu hala hingga tiada kemahiran bersosial.

Menurutnya, keadaan itu sudah pasti membuatkan golongan muda lebih suka duduk di rumah saja walaupun pada hari raya kerana mereka tidak selesa bertemu ramai orang dan lebih gemar menghabiskan masa bersama permainan komputer.

"Antara usaha yang boleh dilakukan bagi membuatkan golongan muda lebih menghargai Aidilfitri serta saudara-mara mereka adalah ibu bapa menunjukkan contoh dengan keluar beraya dan mengajak anak mereka sekali.

"Ibu bapa perlu memperkenalkan anak-anak dengan saudara-mara sendiri dan menggalakkan anak-anak berkawan dengan sepupu serta saudara-mara yang lain, bukan hanya rakan di kawasan kejiranan atau rakan dari sekolah," katanya.

Selain itu, tradisi memohon kemaafan pada hari raya seperti yang diamalkan suatu ketika dulu juga dilihat semakin pupus kerana ia lebih kepada salam yang tiada makna.

Jika dulu, orang akan duduk bersimpuh menghadap ibu bapa memohon maaf bersungguh-sungguh termasuk menyebut setiap kesalahan yang pernah dilakukan, namun ketika ini ia lebih bersifat `asal buat'.

"Kini aktiviti meminta maaf lebih bersifat `mekanikal' kerana penyataan maaf bukan saja dibuat bersahaja walaupun dengan ibu bapa, malah tidak menyatakan kesalahan yang pernah dilakukan.

"Maaf yang dibuat tidak disertakan perasaan, menjadikan ia tidak bermakna serta tiada nilai dan tidak melambangkan tujuan sebenar kemaafan itu dilakukan," katanya.

Nilai yang disertakan dalam menyambut Aidilfitri dilihat semakin kurang terutama di kalangan generasi baru dan sekiranya ia tidak dipupuk, sememangnya bimbang ia akan hilang ditelan zaman.

Dia akui pernah didatangi seorang warga emas yang mengadu betapa sikap orang muda sekarang yang `kurang ajar' kerana tidak menyambut tetamu yang datang ke rumah mereka pada Aidilfitri.

Menurutnya, orang muda lebih suka memerap di dalam bilik apabila tetamu sampai dan ibu bapa juga tidak memanggil anak-anak mereka untuk bertemu dan bersalaman dengan tetamu. Keadaan ini sebenarnya secara tidak langsung mendidik anak masing-masing tidak menghargai orang yang lebih tua.

"Penghijrahan yang banyak berlaku seperti orang kampung keluar ke bandar untuk mencari kerja menjadikan hubungan kekeluargaan terpisah tetapi Aidilfitri sepatutnya menjadi acara yang menghubungkan kembali semua hubungan yang jauh.

"Keadaan kini berbeza apabila pulang ke kampung dan berjumpa sepupu, ia seperti tiada makna kerana sepupu macam orang luar sedangkan sepatutnya ia adalah pertemuan yang menggembirakan," katanya.

Semangat menyambut Aidilfitri juga sepatutnya disemai dari usia kecil kerana kanak-kanak akan mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa masing-masing, sama ada positif atau negatif.

Menurutnya, ibu bapa perlu mengajak anakanak keluar beraya dan memperkenalkan mereka dengan setiap saudara-mara. Ia boleh dijadikan kebiasaan serta tradisi dalam keluarga supaya anak dapat merasa kemeriahan raya dan tahu makna berhari raya.

"Ketika ini di kawasan perumahan, sudah mula ada tradisi saling kunjung-mengunjung dalam usaha menghidupkan kembali tradisi beraya dan ia sesuatu yang sangat positif," katanya.

Jalan Yang Di tutup Sempena Merdeka 2012

Saturday, August 25, 2012 0 Komen

Beberapa jalan di ibu kota akan ditutup secara berperingkat sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka.

Ia bermula dari 27 Ogos sehingga 31 Ogos ini bagi bertujuan melakukan persiapan, latihan dan sambutan sebenar untuk meraikan hari yang penuh bersejarah ini.

Penutupan jalan akan dilaksanakan bermula pada jam 6.00 pagi dan akan dibuka semula setelah acara selesai.

Antara jalan yang ditutup adalah:

- Jalan Travers / Jalan Damansara
- Jalan Mahameru / Jalan Damansara (Carcosa Seri Negara)
- Jalan Lembah / Jalan Perdana (Masjid Negara)
- Bulatan Hishamuddin / Jalan Lembah
- Jalan Tembusu / Jalan Lembah
- Jalan Cenderasari / Jalan Perdana
- Jalan Kinabalu / Susur Bukit Aman
- Jalan Kinabalu / Bulatan Hishamuddin
- Jalan Raja / Jalan Hishamuddin
- Jalan Leboh Pasar Besar / Jalan Hishamuddin
- Jalan Leboh Ampang / Jalan Tun Perak
- Bulatan Dato Onn / Jalan Parlimen
- Jalan parlimen / Jalan Raja Laut
- Jalan Sultan Ismail / Jalan T.A Rahman
- Jalan Munshi Abdullah / Jalan Dang Wangi
- Jalan Dang Wangi / Jalan T.A Rahman
- Jalan Leboh Pasar Besar / Jalan Mahkamah Persekutuan
- Jalan T.A Rahman / Jalan Raja

Manakala bagi acara Perhimpunan 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Ogos bermula jam 4.00 petang sehingga 12.30 malam, tiada penutupan jalan dibuat tetapi dijangka akan berlaku kesesakan di kawasan sekitar.

Semua pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati semasa memandu dan penggunaan pengangkutan awam amat digalakkan.

Laluan tol percuma Hari Raya pertama di lebuh raya Mex

Sunday, August 19, 2012 0 Komen

Maju Expressway Sdn. Bhd., pengendali lebuh raya Maju Expressway (MEX) mengumumkan laluan tol percuma esok sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengguna lebuh raya tersebut.

Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed berkata, laluan tol percuma di lebuh raya Kuala Lumpur-Putrajaya itu akan bermula tengah malam ini sehingga 11.59 malam esok.

Katanya, pemberian laluan tol percuma itu bertujuan menghargai para pengguna lebuh raya Mex agar mereka dapat menyambut perayaan Aidilfitri ini dengan lancar dan selesa menuju ke destinasi masing-masing.

``Kami berharap, para pengguna sentiasa mengikut peraturan jalan raya dan memastikan kereta masing-masing sentiasa berada didalam keadaan baik,’’ katanya melalui kenyataan akhbar di sini hari ini.

Rugi lebih RM100,000 diperdaya tukang tilik nasib

Friday, August 17, 2012 0 Komen

Seorang wanita mengalami kerugian wang tunai dan barangan kemas berjumlah RM107,000 selepas diperdaya untuk mengubah nasib anaknya yang kononnya akan mengalami kemalangan, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt Soh Hock Sing berkata dalam kejadian di medan selera Malim itu, wanita berusia 50-an berkenaan diminta menyerahkan barang kemas oleh tukang tilik nasib sebelum membalutnya dalam surat khabar dan plastik hitam dengan alasan untuk disembahyangkan bagi membuang bala.

Beliau berkata pada masa sama suspek menukar bungkusan plastik itu dengan bungkusan yang diisi jagung dan dua botol air mineral serta menyarankan mangsa membuka bungkusan itu selepas tiga hari.

"Mangsa turut diugut supaya tidak memberitahu pihak ketiga agar upacara membuang bala itu berkesan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya kes itu dipercayai didalangi tiga wanita rakyat China berusia antara 40 hingga 50 tahun.

Soh berkata ahli kumpulan terbabit pada mulanya akan bergerak secara berseorangan di kawasan sasaran seperti pasar, medan selera, tokong dan bank untuk mencari mangsa sebelum disertai dua lagi rakan subahat mereka dengan seorang berpura-pura menjadi 'tok guru'.

Beliau berkata pihaknya menerima lapan laporan berhubung kes penipuan itu di kawasan Melaka Tengah dan Jasin dengan kerugian berjumlah RM607,470 dalam tempoh lapan bulan ini.

Dalam perkembangan lain, polis menahan empat lelaki berusia antara 18 dan 30 tahun dipercayai terlibat dalam 14 kes penipuan gores dan menang melibatkan kerugian lebih RM59,800 sejak Januari lepas.

Soh berkata kesemua mereka ditahan ketika sedang memperdaya seorang wanita berusia 20-an untuk menggores kad cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan termasuk tilam pengurut elektrik dan ketuhar di sebuah rumah kedai di Malim di sini pada pukul 11 pagi semalam.

Beliau berkata serbuan itu berjaya menyelamatkan mangsa daripada mengalami kerugian berjumlah RM1,000 dan ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Kumpulan terbabit, katanya menjadikan wanita dari golongan profesional dan berkemampuan dari segi kewangan seperti guru, jururawat, pensyarah, pelajar serta penjawat awam sebagai mangsa. - Bernama

Ramalan Cuaca 1 Syawal diramal baik

Friday, August 17, 2012 0 Komen

Cuaca diramal baik di kebanyakan negeri sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut Ahad ini, menurut Jabatan Meteorologi hari ini.

Jurucakap jabatan itu berkata berdasarkan analisis yang dilakukan, jabatan itu merumuskan tidak ada tanda menunjukkan berlaku hujan lebat di kebanyakan tempat sepanjang Aidilfitri.

"Cuaca dijangka baik di kebanyakan negeri pada sebelah pagi, petang dan malam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, katanya hujan di satu dua tempat di sebelah petang mungkin berlaku di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

"Ribut petir di satu dua tempat juga dijangka berlaku pada sebelah petang di bahagian barat Sarawak seperti Kuching dan Samarahan serta semua bahagian di Sabah," katanya.- Bernama

Kisah gadis Malaysia yang dilarikan ke Lombok

Friday, August 17, 2012 0 Komen

"Tak nak ceritalah. Saya nak lupakan semua, saya dah putus dengan dia," kata bekas pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) Nur Shahira Samsuri, 22, yang terpedaya dan dilarikan kekasihnya ke Lombok, Indonesia pada 11 Jun lalu.

Katanya, dia enggan mengingati kembali peristiwa itu kerana mahu membina hidup baru termasuk menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana bakal menyambung pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bulan depan.

"Saya tak berapa nak ingat. Saya kenal dia di sini pun ketika dia bekerja di kantin sebagai pembancuh air. Dia janji nak berkahwin dengan saya.

"Hidup di Lombok sederhana dan saya tinggal di rumah keluarganya sepanjang berada di sana," katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) atas bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), kira-kira jam 10.45 malam, kelmarin.


Kepulangannya disambut Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim serta ibu bapa gadis terbabit, Hafilah Man, 49, dan Samsuri Husin, 51.

Jun lalu, Nur Shahira disedari hilang dari rumah selepas mengikuti seorang lelaki berasal dari Lombok, dikenali sebagai Nasib.

Difahamkan, dia mengenali lelaki yang bekerja sebagai pembancuh air itu ketika membantu neneknya di sebuah kantin di Seberang Prai, Pulau Pinang.

Ketika ditanya sama ada dia sudah berkahwin atau tidak, Nur Shahira enggan menceritakan perkara itu selain tidak mahu mengulas layanan diterima sepanjang bersama keluarga kekasihnya di Lombok.

Malah, sepanjang pertemuan dengan keluarganya, Nur Shahira kelihatan biasa dan tidak menitiskan air mata serta tidak banyak bercakap sepanjang temu bual bersama wartawan.

Bapanya, Samsuri yang juga seorang pensyarah berkata, mereka sekeluarga bersyukur dapat menyambut Aidilfitri bersama anaknya dan mahu Nur Shahira menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Pada masa sama, KP1M turut membawa pulang Ismadani, berusia tiga tahun, iaitu anak kepada seorang ibu muda, Suriani Abdul Wahab, 21. Kepulangan kanak-kanak itu bersama bapanya yang juga suami wanita terbabit, Madon Aban, 32, berasal dari Lombok.

Kisah Suriani yang mahu pulang bertemu keluarganya di Baling, Kedah selepas empat tahun berkahwin dan menetap di Lombok pernah dilaporkan di dalam Harian Metro pada Mei lalu.

Ibu muda itu kemudian pulang ke tanah air pada 29 Mei lalu hasil bantuan KP1M, tetapi pada masa berkenaan anaknya tidak dapat pulang bersama kerana masalah dokumentasi.

Suriani berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan termasuk KP1M kerana membawa pulang insan kesayangannya, sekali gus membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama.

"Saya sangat bersyukur dapat bertemu kembali dengan suami dan anak kerana sangat merindui mereka selepas kira-kira dua bulan tidak bertemu," katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau berharap perkara berkenaan menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia terutama anak gadis supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan janji manis lelaki.

"Perkara ini sepatutnya menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia. Saya tak tahu jumlah sebenar anak gadis Malaysia yang berada di Lombok kerana kita hanya bantu sekiranya ada ibu bapa melaporkan kepada KP1M," katanya.

Wanita dan gadis Malaysia masih ramai di Lombok

Friday, August 17, 2012 0 Komen

Masih terdapat ramai gadis negara ini berada di Lombok, Indonesia berdasarkan siasatan yang dijalankan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bagaimana pun tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar gadis Malaysia yang berada di sana kerana dalam proses mengumpulkan maklumat.

Menurutnya, kesemua mereka jatuh cinta dengan lelaki Lombok sewaktu bekerja di negara ini dan mengikut mereka pulang.

“Perkara ini amat menyedihkan kerana gadis yang mengikut lelaki Lombok itu, berpotensi untuk memajukan diri dalam bidang pelajaran.

“KP1M akan memulakan kempen kesedaran terhadap wanita tempatan dalam semua sektor pekerjaan terutama pertanian dan perladangan, agar tidak terpedaya dengan pujukan lelaki asing yang bekerja di negara ini dan mengikut mereka ke negara asal mereka,” katanya.

Abdul Azeez berkata, setakat ini KP1M telah berjaya membawa pulang seramai 50 gadis rakyat negara ini atas permintaan keluarga.

Sementara itu, Nur Shahira Samsuri, 22, berkata, dia menyesal dengan apa yang dilakukan dengan mengikut jejaka Lombok.

Menurutnya, dia ingin melupakan kisah yang menimpa dirinya dan memulakan hidup baru.

“Saya menyesal. Saya mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran dan akan melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara, di Johor.


“Perkara ini telah selesai dan tidak perlu diungkitkan lagi, biarlah ia menjadi sejarah,” katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik.

Ayahnya, Samsuri Husin, 51, amat berterima kasih dengan KP1M yang membawa pulang anaknya itu.

“Saya amat bersyukur kerana kami dapat bersatu kembali di Aidilfitri ini.

“Kami sekeluarga amat berharap agar beliau memberikan tumpuan dalam pelajarannya kerana ia penting demi masa depanya,” katanya dengan linangan air mata kegembiraan.

Kenyataan penuh Nasharudin Mat Isa

Friday, August 17, 2012 0 Komen

Berikut kenyataan penuh Nasharudin Mat Isa:

Laporan media cetak dan elektronik pada 14 dan 15 Ogos 2012, dan beberapa ulasan dari pelbagai pihak sehubungan dengan kenyataan saya di Makkah Al Mukaramah adalah dirujuk.

Hudud

Saya kekal dengan pandangan saya bahawa Karpal Singh bukan hanya sekadar anti hudud tetapi anti Islam.

Sebagai seorang peguam yang lama, dia tahu apa itu substantive law dan apa itu procedural law. Pelaksanaan hudud memerlukan kepada standard of proof yang cukup tinggi untuk boleh dilaksanakan, ada kesalahan yang memerlukan tahap pembuktian ke taraf 'beyond any shadow of doubt' iaitu tahaf pembuktian yang maksimum, sebelum boleh ia dilaksanakan tetapi dia menolak semua itu hanya kerana ia adalah undang undang Islam.

Berapa kali sudah dia mengungkapkan bahawa pelaksanaan sistem perundangan Islam 'is over my dead body' menunjukan dia sanggup mati untuk pertahankan pendiriannya, maka saya juga sanggup melakukan apa saja 'at whatever cost' untuk mempertahankan agama saya. Terpulanglah kepada mana pihak yang mungkin kerana percaturan politik akan mendiamkan diri seperti syaitan-syaitan bisu yang sering diungkap oleh pimpinan, insya-Allah saya tidak akan biarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya menghina agama saya.

Pas harus lebih tegas menyatakan pendiriannya dalam hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum kepada Pas adalah kerana perjuangannya untuk menegakkan Syariah ALLAH SWT, namun dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal Singh ini, masih ramai yang tertunggu apa sikap Pas terhadap Karpal Singh. Adakah tahaluf siyasi yang sedang diamalkan oleh Pas turut membolehkan kesepakatan dengan mereka yang menolak dan memerangi Islam. Harapan saya adalah apabila penjelasan dibuat oleh pimpinan tertinggi Pas kepada masyarakat umum, maka akan terjawablah kekaburan yang ada pada masyarakat umum. Pemimpin Pas mungkin sudah faham, ahli Pas juga mungkin sudah mengerti tetapi masyarakat umum masih menanti penjelasan. Pas tidak akan menang hanya dengan undi dari ahlinya sahaja.

Isu Pertemuan Di Makkah

Kepada mereka yang membuat andaian, tuduhan dan suu' dzan, nasihat saya adalah ittaqillah, ittaqillah, ittaqillah dan bersitghfarlah khasnya pada hari-hari terakhir Ramadan ini. Kasihan saya melihat mereka yang menghukum tanpa tahu hujung pangkal. Berbaik sangkalah sesama Muslim. Hampir sebulan sepanjang Ramadan ini, doa qunut yang dibacakan di hadapan Kaabah ketika solat witir, menyeru kepada merapatkan saf dan menyatupadukan orang orang Islam. Imam solat saban malam memohon dengan doa Ya ALLAH satukanlah suara umat Islam.

Saya telah mengaturkan pertemuan di Makkah antara beberapa orang ulama di Makkah bersama dengan YAB Perdana Menteri bersempena dengan persidangan OIC. Saya dijemput ke Makkah dengan visa khas selepas YAB Perdana Menteri bersetuju untuk bertemu dengan ulama-ulama tersebut. Perbincangan telah diadakan di sebuah villa kenalan bersebelahan dengan Masjidilharam. Yang dibincang antara lain adalah isu di Syria dan Rohingya. Para ulama tersebut menyebut tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia. Perbincangan juga menyentuh beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh Malaysia. Mereka juga telah meninggalkan beberapa pesanan kepada Perdana Menteri seperti memastikan Malaysia terus mengangkat pegangan ahli sunah wal jamaah dalam memelihara kesucian Islam.

Pertemuan itu sedikit pun tidak berbincang tentang Pas atau Umno sebab isu yang dibincangkan adalah jauh lebih besar dari Pas atau Umno. Kami berbincang tentang keadaan semasa ummah. Rasullullah menyebut, man lam yahtamma biamril muslimin falaisa minhum.

Adakah berbincang tentang ummah satu jenayah?

Tiba-tiba dikaitan dengan saya akan masuk Umno. Untuk kesekian kalinya saya sebutkan secara terbuka, saya tidak ada niat untuk masuk Umno, cuma saya menganggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai saudara saya seiman termasuklah pemimpin dan ahli Umno, dan mereka yang bukan Islam sebagai saudara saya seinsan. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan sebab untuk kita tidak memikirkan maslahat ummah.

Aidilfitri: Plus beri rebat tol 30 peratus

Thursday, August 16, 2012 0 Komen

Plus Expressways Bhd (Plus) memberi rebat tol 30 peratus kepada pengguna yang membayar tol menggunakan sistem elektronik sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan, tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Plus, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, rebat tol itu diberikan kepada orang ramai pada 15, 16, 22, 23 dan 31 Ogos ini.

"Rebat tol itu diberikan kepada orang ramai yang menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go atau SmartTAG ketika membayar tol di lebuh raya kendalian Plus.

"Ia satu langkah Plus bagi menyemarakkan sambutan hari raya dan hari merdeka selain strategi Plus menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran elektronik yang lebih mudah dan pantas," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Noorizah berkata, pemberian rebat tol itu juga langkah Plus untuk mengagihkan trafik dan menggalakkan orang ramai bergerak pada hari di luar waktu puncak.

Katanya, rebat berkenaan boleh dituntut di pusat khidmat pelanggan Plus apabila pengguna menambah nilai kad elektronik mereka bermula 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

Amerika Syarikat (AS) johan Sukan Olimpik 2012

Monday, August 13, 2012 0 Komen

Sukan Olimpik 2012, temasya kali ke-30, melabuhkan tirai di Stadium Olimpik di sini, dengan Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai johan.

Temasya seterusnya akan berlangsung di Brazil pada 2016.

Putera Harry menghadiri majlis penutup bagi mewakili Ratu Elizabeth II. Britain menjadi tuan rumah buat kali ketiga, sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri dari segi prestasi atlet dan juga persembahan majlis penutup dan perasmian,

Sebagaimana majlis perasmian yang menyaksikan sajian persembahan hiburan dengan kemunculan pelakon dan selebriti James Bond dan Mr Bean, majlis penutup hampir tiga jam, yang direka oleh Kim Gavin, menyatukan semula kumpulan Spice Girls.

Pada jam 11.27 malam (waktu London), bendera rasmi Sukan Olimpik diturunkan dan diserahkan kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson.

Satu minit kemudian bendera Brazil dan Greek dinaikkan di stadium menandakan dunia akan 'menuju' ke benua Latin Amerika dalam empat tahun lagi.

Pada temasya kali ini, AS memperoleh 46 pingat emas untuk muncul johan. Johan Sukan Olimpik Beijing 2008, China berada di tangga kedua dengan 38 pingat.

Pasukan tuan rumah mengutip 29 pingat emas.

Malaysia yang memperoleh dua pingat masing-masing satu perak dan satu gangsa menduduki tempat ke-63.

Cina Kelantan bukan hasil kahwin campur

Sunday, August 12, 2012 0 Komen

Tak ada bukti sejarah yang jelas mengaitkan kewujudan Cina Kampung atau Peranakan di Kelantan. Pelbagai cerita sejarah hanya menghuraikan kebanyakan masyarakat Cina berada di Kelantan kerana peluang perdagangan selain mencari kehidupan lebih selesa selepas berlaku pelbagai kemelut di China.

Namun, Kebanyakan kisah kemasukan mereka ke Kelantan lebih 600 tahun dulu sedikit sebanyak merujuk kewujudan Cina Peranakan di tebing sungai yang kini menjadi tempat bermaustatin Cina Kampung.

Menurut penulis sejarah Kelantan, Saad Shukri Muda, pada awal abad kelima (500 Masihi), wujud Kerajaan Srivijaya pertama di Kelantan yang banyak mengeluarkan emas dan berpusat di Kuala Krai (Kilu Kirai). Kerajaan itu turut dikenali sebagai San Fo Tsi oleh orang Tionghua, khususnya pedagang kerana urusan perdagangan di antara Tiongkak (negeri di China) dan San Fo Tsi sudah lama wujud.

Kilu Kirai atau Kuala Krai kini terletak di Ulu Sungai Kelantan. Sumber emas dipercayai terdapat sehingga Sungai Galas di bahagian paling ulu sungai berkenaan. Atas sebab itu jugalah yang menguatkan hujah mengapa Pulai di Gua Musang menjadi penempatan pertama orang Cina di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Kebanyakan penempatan orang Cina, khususnya peranakan (yang mungkin juga serpihan daripada pedagang Tiongkok) berada di sepanjang Sungai Kelantan seperti di Sungai Pinang, Tendong, Kasar dan Panji, sekali gus menguatkan tanggapan urusan perdagangan dulu melalui laluan air.

Dalam versi lain, penulis buku Sepintas Lalu Sejarah Kelantan dan Asal Usul Masyarakat Cina Kelantan, T E Tan turut menjelaskan kurangnya rekod mengenai kedatangan orang Cina di Kelantan meskipun nama seperti 'Tan-tan', Kuo-la-tan', 'Ho-lo-tan' dan 'Chih-tu' yang dilafazkan pedagang Cina sejak 700 tahun dulu adalah nama Kelantan sebenarnya.

Menurutnya, ketika pemerintahan Sultan Long Yunus, Kelantan diduduki beribu orang Tiongkok di merata tempat terutama di sepanjang Sungai Kelantan termasuk Kampung Pasir Parit.

Pada akhir Dinasti Ching, proses migrasi di kalangan orang China semakin hangat akibat tercetusnya huru-hara di tanah besar itu. Rakyat melarikan diri menyeberang Lautan China dengan tongkang menuju ke selatan. Dalam pelayaran itu, mereka membawa bersama tokong seperti Kuan Tir, Kuan Yin, Hock Teck dan Ma Chor supaya perjalanan selamat daripada kecelakaan.

Sebagai mengenang jasa, mereka mendirikan tempat ibadat seperti Tokong Kuan Ying di Pulai berusia 400 tahun, Tokong Ma Chor di Kampung Tok Kong dan Kampung Cina berusia lebih 200 tahun.

Kedatangan kaum Cina ke pedalaman Kelantan mengikut laluan air iaitu Sungai Kemasin, Sungai Pasir Tumbuh dan Sungai Kelantan. Banyak perkampungan asal Cina bertaburan di Sungai Kemasin seperti Kampung Pulau Gajah, Sering, Pulau Belanga dan Pulau Lohol.

Di sekitar Sungai Pasir Tumbuh pula, wujud perkampungan Cina Peranakan seperti Kampung Chepa, Pasir Ara dan Peringat manakala di Sungai Kelantan ada berpuluh kampung seperti Kampung China, Kota Bharu, Kampung Kutan, Salor, Gaung, Tendong, Kasar, Pasir Mas, Aur Duri, Keladang, Chetok, Tok Kong, Kemubu, Pasir Parit, Kampung Salak, Mata Ayer, Kampung Joh, Pulau Raya, Maka, Tanah Merah, Kusial, Panji, Temangan, Pasir Besar, Pasir Sena, Kuala Krai, Gua Musang dan Kampung Pulai.

Dalam semua perkampungan Cina Peranakan itu, Kampung Pasir Parit adalah penempatan terbesar dengan anggaran 145 rumah. Orang yang bertanggungjawab membawa tiga patung tokong (Kuan Tir Kun, Hock Teck dan Ngor Kok) sejak 180 tahun dulu ke Pasir Parit dari wilayah Fukien ialah Pek Ang Kor.

Sebelum itu, Pasir Parit hanya didiami 15 keluarga masyarakat Cina. Mereka dipercayai berkahwin dengan wanita Thai tempatan dan hidup sebagai petani selain menternak di kawasan tepi sungai.

Kedatangan Pek Ang Kor bersama tiga tokong itu dipercayai berjaya mengurangkan gangguan makhluk halus, sekali gus membolehkan lebih ramai orang Cina meneroka ke kawasan lebih dalam untuk menanam getah, kopi, ubi, tebu, durian dan kelapa.

Pengerusi Persatuan Sejarah dan Kebudayaan Cina Kelantan, Wee Chong Joi, 80, berkata Cina Peranakan dapat dikaitkan dengan orang Hokkien dan Canton di China dan berhijrah ke negeri itu lebih 300 tahun dulu.

"Penghijrahan ini kerana mahu membina kehidupan lebih selesa akibat perang dan bencana alam yang kerap berlaku di China. Ketika itu, sudah berlaku aktiviti perdagangan di Kelantan. Ia menarik minat ramai orang China ke sini dan selepas menyedari Kelantan sesuai dijadikan stesen jualan barang, ramai terus tinggal di sini.

"Ketika mereka menetap di Kelantan, sebenarnya sudah ramai orang Siam di sini. Perkahwinan campur dengan orang Siam punca awal wujudnya Cina Kampung. Difahamkan sebelum kedatangan Islam di sini, ada juga yang berkahwin dengan orang Melayu.

"Namun, bukan semua yang berkahwin dengan orang tempatan dikenali Cina Peranakan. Ada juga yang membawa isteri dari China turut dikenali Cina Peranakan. Sebenarnya, istilah peranakan di sini tidak sama dengan di Pulau Pinang atau Singapura. Di Kelantan lebih kepada percampuran budaya dan sosial, bukan darah keturunan.

"Cina di Kelantan, jika ayah dia lahir di Kelantan, layak digelar Cina Peranakan. Dia mesti mengamalkan budaya Cina Kampung, bukan sebab perkahwinan dengan orang Siam atau Melayu," katanya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Tanah Perkuburan Cina Kelantan, Wee Pock Soon, 50, berkata jika merujuk definisi Cina Peranakan iaitu berkebudayaan Cina Kampung, boleh dikatakan masyarakat ini semakin kecil dan terancam. Generasi baru sukar dikaitkan sebagai Cina Peranakan kerana bukan darah keturunan yang mendefinisikan mereka tetapi budaya dan cara hidup.

"Dulu memang semua Cina Peranakan bertutur dialek Kelantan, tidak seperti sekarang. Justeru, susah untuk mengaitkan mereka dengan Cina Peranakan. Namun, tidak dapat ditolak kemungkinan perkahwinan juga boleh dikaitkan sebagai kewujudan masyarakat ini kerana wajah Cina Kampung berbeza dengan Cina Pekan," tambahnya.

Beliau berkata, meskipun perkahwinan campur bukan ciri utama kewujudan Cina Peranakan, majoriti masyarakat yang ada kini terbentuk melalui perkahwinan antara orang Cina dengan Siam.

Meskipun kebanyakan Cina Peranakan boleh berbahasa Hokkien, nahunya tidak sama dengan Hokkien lain, sekali gus menyebabkan mereka lebih selesa berbahasa Melayu Kelantan, tidak kira dengan orang Melayu atau sesama sendiri.

Dirumuskan, cara hidup dan budaya mereka lebih dekat dengan orang Siam dan Melayu manakala cara beragama saja yang mengikut ajaran Buddha atau Cina. Malah, kepercayaan juga nampak lebih dekat dengan Melayu termasuk perubatan tradisional.

Palu geduk diraja isyarat mula upacara

SEMEMANGNYA ada bukti jelas wujud hubungan rapat antara orang Melayu dengan Cina di Kelantan terbina sejak ratusan tahun dulu, malah peninggalan sejarahnya masih gah terpamer di sebuah kuil lama di perkampungan Cina Peranakan, Kota Bharu.

Sejak 1834 dan mungkin lebih awal lagi, Cina Peranakan diberi hak memimpin di sesetengah kawasan atas lantikan Sultan Kelantan dan diberi gelaran Kapitan. Namun, hanya Kapitan Wee Chai dapat dikenal pasti memimpin pada 1834 meskipun ada lagi yang lebih awal daripada itu.

"Sama era dengan Wee Chai, Kapitan Gan Chu Li turut menguruskan pentadbiran kaum Cina di Kelantan sejak 1833. Seorang berkuasa di bahagian atas Kelantan dan seorang lagi di bahagian bawah. Tugasnya lebih kepada mengutip cukai dan berkuasa mewakili orang Cina," kata Wee Chong Joi.

Berbalik kepada sejarah perhubungan erat orang Melayu dengan Cina Peranakan, ia bermula daripada kisah Sultan Kelantan menghantar ufti (bunga emas) kepada kerajaan Siam setiap tiga tahun.

"Pada 1877, ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad Kedua, berlaku malapetaka apabila sejurus rombongan yang menghantar ufti meninggalkan Kelantan, ribut dan taufan melanda dengan dahsyat. Selepas sebulan, tiada khabar berita daripada rombongan itu.

"Baginda risau memikirkan nasib rombongan itu dan adakah ufti sudah diserahkan kepada Raja Siam. Akhirnya, baginda mendapatkan bantuan tukang tilik raja iaitu Tok Ubi, seorang Cina yang juga mempunyai hubungan rapat dengan istana.

"Tok Ubi menemui Tokong Mek untuk mendapatkan isyarat sama ada rombongan itu masih selamat. Selepas tilikan, satu petanda baik diperoleh iaitu rombongan itu akan pulang dengan selamat, lantas berita itu disampaikan kepada Sultan.

"Namun, selepas sekian lama, rombongan itu belum tiba dan dua kali juga Tok Ubi berjumpa Tokong Mek untuk mendapatkan kepastian. Setiap kali berjumpa, isyaratnya tetap sama iaitu rombongan itu pasti tiba," katanya.

Selepas tiga kali bertemu Tokong Mek, beliau menemui sultan dan menyampaikan berita gembira iaitu rombongan itu sudah sampai di kuala. Sebagai tanda terima kasih, sultan bertanya sama ada masyarakat Cina di situ perlukan sesuatu sebagai hadiah kepada usaha Tok Ubi dan mereka sepakat meminta geduk untuk dibunyikan sebagai isyarat sembahyang dan majlis tertentu tokong di situ. Permintaan mereka ditunaikan dengan Sultan mengarahkan satu beduk khas ditempah untuk dihadiahkan kepada komuniti di Kampung Cina.

"Kapten yang mengetuai rombongan menghantar ufti itu pun orang Cina, dikenali sebagai Awang. Ia menunjukkan betapa eratnya hubungan orang Melayu dengan Cina ketika itu. Malah, boleh dikatakan ketika peristiwa 13 Mei 1969, tidak ada langsung masalah di kalangan Melayu dan Cina di sini. Mereka saling membantu dan tidak berbalah," tambah beliau.

Oleh Azrul Affandi Sobry

SPESIFIKASI Audi Q3

Saturday, August 11, 2012

SPESIFIKASI  Audi Q3

- Enjin: Empat silinder petrol pengecas turbo, TFSI 1,984cc

- Transmisi: S-Tronic tujuh kelajuan, pacuan empat roda Quattro

- Kuasa maksimum: 170hp @ 4,300 - 6,200rpm

- Tork maksimum: 280Nm @ 1,700 - 4,200rpm

- Harga: RM258,000 (standard), RM279,000 (S-Line).

Harga tidak termasuk insurans.



Kalau melihat pada penampilan kenderaan ini, ia mungkin nampak biasa. Memang pun, kerana gayanya tidak banyak perbezaan dengan Q5 dan Q7 yang sudah berada di pasaran lebih awal. Tetapi ahli keluarga Q yang dibawa masuk oleh Euromobil ini lebih kompak dan mudah dikendali di bandar.

Meskipun lebih kecil, Q3 tidak kekurangan dalam ciri-ciri yang ada padanya. Padanan enjin 2.0 TFSI dan transmisi S-Tronic tujuh kelajuan Quattro (4WD) berkuasa 170hp dan 280Nm menjadikan kenderaan ini selesa dipandu dalam sebarang keadaan. Terutama sekali dengan adanya empat pilihan pemanduan: Efficiency, Comfort, Auto dan Dynamic.

Dalam mod Efficiency, transmisi S-Tronic melaraskan kuasa supaya penggunaan bahan api lebih jimat dengan mematikan enjin semasa berhenti (seperti di lampu isyarat) dan meluncur tanpa gear.

Untuk pemanduan lebih agresif, mod tersebut boleh ditukar kepada Dynamic dengan sentuhan butang yang terdapat pada konsol tengah.

Unit yang dipandu uji ini adalah varian S Line yang dijual pada harga RM279,000 tanpa insurans. Ia mendapat peningkatan dari segi kosmetik termasuk kit badan, stereng S-Line, rim 18 inci dan balutan kulit Alcantara. Memandu kereta ini membuatkan penulis menghargai kulit Alcantara yang lebih selesa dan tidak merimaskan.

Sebenarnya, Q3 ini berkongsi kejuruteraan dengan sebuah lagi model jenama lain dari Eropah tetapi berdasarkan pengalaman penulis, jika kemewahan dan ciri premium yang dicari, Q3 mempunyai kelebihan.


Ciri Skim Persaraan Swasta

Saturday, August 11, 2012

Ciri Skim Persaraan Swasta

- Dibentuk bagi menyediakan pilihan dan fleksibiliti

- Menggalakkan ahli untuk mengawal simpanan persaraan mereka

* SPS ditakrifkan sebagai skim caruman dengan faedah kepada ahli ditentukan daripada jumlah caruman serta pulangan pelaburannya selepas itu. Matlamat adalah untuk menjadikan simpanan ahli berkembang untuk jangka masa panjang.

* Ahli mempunyai pilihan untuk mencarum kepada satu atau lebih dana di bawah SPS yang ditawarkan oleh pelbagai penyedia SPS.

* Skim ini adalah sukarela, tiada jumlah ditetapkan atau selangan tetap untuk membuat caruman kepada SPS.

* Pilihan yang sudah ditetapkan juga tersedia kepada ahli yang memilih penyedia SPS tetapi tidak menetapkan dana pilihan. Pilihan tetap ini memenuhi keperluan kumpulan yang berbeza. Penyedia SPS perlu memastikan bahawa ahli berkaitan ditukarkan kepada pilihan dana yang ditetapkan mengikut kumpulan umur seperti berikut (grafik bawah):

* Ahli diberikan pilihan untuk menukar dana di antara SPS pada bila-bila masa atau menukar kepada penyedia SPS yang berbeza sekali setahun, tertakluk kepada syarat dikenakan penyedia SPS. Pemindahan pertama hanya boleh dipohon ahli setahun selepas caruman pertama kepada mana-mana dana di bawah skim itu.

* Semua caruman dibuat kepada SPS akan terpisah dan akan diuruskan dalam akaun A dan B seperti berikut (grafik bawah):

* Nilai akaun A dan B boleh bertambah atau berkurangan bergantung kepada harga semasa unit. Harga unit adalah nilai setiap unit yang dipegang ahli dari hari ke hari dan harga unit ditetapkan setiap hari

* Dalam memberikan keselesaan dan keberkesanan kepada ahli Pentadbir Persaraan Swasta (PPA) tunggal dibentuk bagi memantau caruman SPS yang juga mengekalkan rekod semua transaksi berkaitan SPS yang dibuat ahli. Ia tidak berperanan mengurus dana atau menerima caruman tetapi memudahkan urusan dan arahan ahli.

* Pelabur individu hanya dibenarkan mempunyai satu akaun saja bagi membolehkan pengurusan yang lebih baik terhadap simpanan persaraan di mana makluman daripada pelbagai sumber akan disatukan dalam satu akaun.

* Carta berikut menunjukkan contoh bagaimana caruman individu disalurkan kepada beberapa dana di bawah SPS yang ditawarkan pelbagai penyedia SPS (grafik kiri) :

- Insentif cukai disediakan baik kepada majikan mahupun pekerja dan individu untuk 10 tahun pertama bermula tahun taksiran 2012, dengan tambahan kepada tolakan cukai dibenarkan kepada caruman KWSP, iaitu:

Individu - pelepasan cukai sehingga RM3,000

Majikan - tolakan cukai terhadap caruman kepada SPS yang dibuat bagi pihak pekerja berkanun pada kadar 19 peratus daripada imbuhan pekerja untuk tempoh 10 tahun

Pengecualian cukai juga diberikan atas pendapatan diterima daripada dana di bawah skim ini.

* Individu - Ahli memilih penyedia SPS dan dana mengikut risiko dan profil pelaburan atau pilihan tetap untuk ahli yang memilih penyedia SPS mereka tetapi tidak menetapkan pilihan dana.

* Majikan - Majikan boleh menyalurkan caruman kepada penyedia SPS tertentu dengan pekerja memilih jenis dana yang ditawarkan oleh penyedia atau Majikan boleh menyalurkan caruman kepada penyedia SPS tertentu dan bila pekerja tidak memilih pilihan dana, caruman boleh disalurkan kepada pilihan tetap penyedia SPS.

Kempen My Sayang: Menangi RM5,000 #MySyg

Friday, August 10, 2012

Menangi RM5,000 #MySyg 

Rakyat berpeluang memenangi wang tunai RM5,000 dengan menyertai kempen My Sayang (#MySyg) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia tahun ini.

Kempen julung kali anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu bertujuan menggalakkan rakyat berkongsi kisah menarik mengenai negara ini kepada seluruh dunia menerusi format video, gambar dan teks.

Pengurus Besar Kumpulan, Media Baru dan Pemasaran Bersepadu, MPB, Lam Swee Kim berkata, hingga ini, lebih 500 penyertaan diterima sejak program itu dilancarkan bulan lalu.

Penyertaan 3 kategori

Lebih menarik, katanya setiap penyertaan diterima, membabitkan tiga kategori iaitu menerusi teks, video dan gambar mempunyai cerita dan nilai estetika tersendiri serta kreatif.

"Penyertaan yang kami sifatkan sebagai satu inspirasi kepada rakyat Malaysia ternyata menggalakkan. Kempen ini juga secara tidak langsung mampu memupuk rasa cinta rakyat kepada negara.

Kongsi cerita

"Bahkan peserta bukan saja dapat berkongsi cerita, malah turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM5,000 bagi setiap kategori dipertandingkan," katanya.

Lam Swee berkata, banyak penyertaan yang diterima juga daripada kategori foto dan teks berbanding video.

"Jadi kita galakkan lebih banyak penyertaan kategori video, peserta tidak perlu merakamkan video itu secara profesional, sebaliknya cukup dengan menggunakan telefon bimbit atau kamera video," katanya.

Penyertaan rakaman

Penyertaan secara rakaman video, teks dan gambar boleh dihantar melalui laman web www.mysyg.com.my.

Bagi penyertaan kategori video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit manakala teks pula tidak melebihi 150 perkataan.

Bagi penyertaan bergambar pula, peserta boleh menghantar ekspresi wajah unik atau gambar kreatif.

Sebanyak lima penyertaan terbaik bagi setiap kategori dipilih melalui 70 peratus undian awam dan 30 peratus undian juri profesional.

Penyertaan boleh dihantar sebelum atau pada 15 Ogos ini dan keputusan pemenang kempen #MYSyg akan diumumkan 15 September depan.

Hantu terima BR1M

Friday, August 10, 2012

Satu lagi kes `hantu bernyawa' atau individu masih hidup, tetapi direkodkan sebagai sudah mati oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikesan di sini, namun agak aneh apabila Wahid Bashah, 54, yang mengalami masalah itu hanya berdepan kesukaran ketika berurusan di jabatan imigresen, pada 5 Ogos lalu.

Namun, sepanjang tempoh dia diisytiharkan mati sejak 12 tahun lalu, dia masih boleh membuat perjalanan ke luar negara dan permohonannya mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada awal tahun ini, turut diluluskan.

"Masalah hanya timbul apabila saya tidak dibenarkan memperbaharui dokumen perjalanan ketika berurusan di pejabat jabatan imigresen pada 5 Ogos lalu," katanya yang mula mengesan dia diisytiharkan meninggal dunia pada 2000.

Menurut penyelia kilang itu, ketika mengambil sijil kelahiran yang diperbaharui pada 2007 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, dia menyedari ada tarikh kematiannya tercatat sijil itu, tetapi dimaklumkan perkara itu tidak akan menimbulkan masalah.

"Saya beranggapan tarikh kematian ini merujuk kepada individu yang mendaftarkan kelahiran saya dulu dan tidak mengendahkannya. Bagaimanapun, kini semua urusan membabitkan penggunaan MyKad sudah terganggu berikutan data diri saya sudah tiada dalam rekod di JPN.

"Apabila ke pejabat imigresen, saya tidak dapat memperbaharui pasport selain gagal memperbaharui visa milik isteri saya (Kartini Zulkifli, 36), seorang warga Indonesia," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Wahid berkata, dia difahamkan ada pihak tidak bertanggungjawab yang membuat laporan kononnya saya sudah meninggal dunia akibat kemalangan di Butterworth, Pulau Pinang.

Wahid dari Taiping, Perak, pelik kerana menurutnya sebelum ini dia masih lagi boleh ke luar negara termasuk membuat permohonan pasport untuk anak tunggalnya, Abu Bakar, 7.

Menurutnya, rayuannya untuk mendapatkan BR1M juga diluluskan pada awal tahun ini, namun dia dinasihatkan untuk menukar kad pengenalan ketika itu kerana MyKad miliknya bermasalah.

"Selepas menerima duit BR1M, saya ke pejabat JPN cawangan Sungai Petani untuk menukar MyKad, tetapi dimaklumkan data saya sudah tiada dalam rekod.

"Malah, saya pernah didakwa sengaja memalsukan kematian kerana ingin mengelak daripada membayar cukai pendapatan," katanya.

Menurutnya, apa yang merunsingkan apabila memikirkan visa isterinya yang akan tamat tempoh pada Oktober depan.

Katanya, jika masalah itu berlarutan dan visa isterinya tidak boleh diperbaharui, kemungkinan isterinya akan dihantar pulang ke negara asal serta terpaksa meninggalkannya dan anak selepas berkahwin hampir 10 tahun lalu.

"Saya berharap ada pihak boleh membantu menyelesaikan masalah ini kerana fikiran semakin buntu," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPN Kedah, Muhammad Pauzi Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima aduan pengadu pada 30 Julai lalu.

"Pegawai kita juga sudah membuat siasatan. Saya juga difahamkan, pengadu pernah dua kali kehilangan MyKad dan kemungkinan individu yang menjumpai dokumen itu sudah menyalahgunakannya.

"Kes ini masih dalam semakan atau tindakan penyelesaian dan JPN akan cuba menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.

Menurutnya, kes penyalahgunaan MyKad jarang berlaku di negeri ini dan kebanyakan kes disebabkan pemilik dokumen terbabit tidak membuat laporan polis selepas kehilangan sebelum disalahgunakan pihak ketiga.

Harian Metro pada 4 Ogos lalu menyiarkan berita mengenai Siti Salbiah Kasmori, 45, dari Johor Bahru yang mengalami pelbagai kesukaran dalam kehidupan kerana di dalam rekod JPN, dia sudah meninggal dunia 11 tahun lalu.

Permohonan masuk politeknik sesi Disember 2012 dibuka 13 Ogos

Friday, August 10, 2012

Borang permohonan memasuki politeknik Kementerian Pengajian Tinggi bagi sesi Disember tahun ini akan mula dijual pada 13 Ogos ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar (K) Md Nor Yusof berkata sebanyak 20,500 tempat ditawarkan di 30 politeknik seluruh negara bagi pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sijil politeknik kementerian itu.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 23 Sept, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata para pelajar boleh memperoleh nombor pin di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional dengan harga RM10.60 dan membuat permohonan secara online di www.politeknik.edu.my.

"Pelajar yang telah membeli nombor pin untuk kemasukan sesi Jun 2012 tetapi gagal untuk mendapat tempat di politeknik, boleh menggunakan nombor pin yang sama untuk memohon semula bagi sesi Disember ini," katanya.

Jenis kursus yang ditawarkan terdiri daripada 24 kursus peringkat sijil dan 24 kursus peringkat diploma bagi lulusan SPM atau STPM, dan 13 jenis kursus peringkat diploma bagi lulusan Sijil Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, katanya.

Keputusan permohonan dijangka diketahui pada 3 Nov dan pelajar yang berjaya akan mula mendaftar pada 17 Dis.

Md Nor berkata sebarang pertanyaan berhubung kemasukan ke politeknik berkenaan boleh diajukan ke Bahagian Pengambilan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik, Aras 4, Galeria PjH, Jalan P4W, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya atau telefon 03-8891 9240/9255. - Bernama

Tarikh lihat anak bulan Syawal 18 Ogos 2012

Friday, August 10, 2012

Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ialah pada petang Sabtu, 18 Ogos bersamaan 29 Ramadan ini, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, hari ini.

Menurut kenyataan itu Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

"Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen," kata kenyataan itu.

Jawatankuasa berkenaan akan melihat anak bulan Syawal di Pontian Kecil; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara; Telok Kemang, Port Dickson; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang).

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Star; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu; Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu.

Tempat lain ialah di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan; Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). - Bernama

Suami didakwa bunuh Nur Syaleza Jaffar, eksektutif TV9

Friday, August 10, 2012

Suami didakwa bunuh eksektutif TV9
Suami eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Nur Syaleza Jaffar, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya itu, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna ungu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Norazman Bashah, didakwa membunuh Syaleza, 31, di kediamannya di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai lepas.

Norazman Bashah yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 Sept untuk tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Akhbar sebelum ini melaporkan  seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 ditemui mati di kediamannya di Damansara Damai.- Bernama

Ops Sikap diubah jadi Ops Selamat

Friday, August 10, 2012

Bermula tahun ini, Ops Sikap yang begitu sinonim setiap kali tibanya musim perayaan untuk mengurangkan kadar kemalangan, akan diberi nafas baru dan dikenali Ops Selamat.

Ketika mengumumkan nama baru itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata Ops Selamat akan menggunakan beberapa pendekatan baru yang lebih berkesan untuk menurunkan kadar kemalangan.

TAN SRI ISMAIL OMAR/KETUA POLIS NEGARA
"Inisiatif kita, kita beri sikit pembaharuan yang mana tunggulah esok kita akan masukkan sikit pembaharuan kepada usaha-usaha kita nak menentukan semasa perayaan hari raya ini semua rakyat Malaysia orang ramai kerana kita tau semasa hari raya Aidilfitri, Gong Xi Fa Cai semua malaysian celebrate."

Pelancaran Ops Selamat akan disempurnakan Tan Sri Ismail di Dataran Shah Alam, esok.

Selain Polis Di-Raja Malaysia, Ops Selamat akan mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, serta Bulan Sabit Merah Malaysia.

Ops Sikap telah mula digunakan sejak tahun 2001 bagi memantau aliran trafik sepanjang perayaan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.

Yayasan 1MDB salur bantuan RM100,000 kpd keluarga mendiang A.Loganathan

Thursday, August 09, 2012

Yayasan 1MDB akan menyalurkan bantuan kewangan RM100,000 kepada keluarga penyanyi kumpulan Alleycats, mendiang Datuk A. Loganathan, yang rumah mereka terlibat dalam kebakaran Isnin lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sumbangan itu adalah sebagai menghargai jasa mendiang dalam memartabatkan bidang seni di negara ini.

Beliau berkata sumbangan itu juga sebagai satu tanda kepada mereka yang banyak berjasa kepada negara yang bukan sahaja sebagai penghibur tapi mampu menyumbang kepada perpaduan nasional.

"Isteri mendiang tentunya berada dalam keadaan sedih dan hilang harta benda.

"Sebagai menghargai jasa beliau, YMDB akan beri sumbangan RM100,000 kepada Datin Susan Loganathan dan anak-anak mereka," katanya ketika berucap pada majlis Karisma Ramadan 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tingkat atas rumah dua tingkat milik mendiang Loganathan di Jalan Azyze Tanjung Bungah, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran Isnin lepas.

Turut musnah dijilat api adalah koleksi piring hitam nyanyian mendiang Loganathan sejak tahun 1980-an dan pelbagai barangan berharga seperti barang kemas serta wang tunai yang dianggarkan RM250,000.

Pada majlis malam ini, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan duit Hari Raya kepada 1,300 kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas dari institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Najib, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyampaikan sepersalinan baju raya kepada 280 kanak-kanak.

Dalam ucapannya, Najib mengajak rakyat di negara ini bersyukur dengan keadaan ekonomi negara yang mengalami pertumbuhan meskipun negara luar berdepan konflik dan krisis.

Katanya pencapaian ini bukan secara kebetulan tetapi berpunca daripada iltizam pimpinan kerajaan sejak dulu lagi untuk mentadbir negara dengan baik.

"Apabila kita dapat mewujudkan suasana yang aman dan tenteram, maka kerajaan dapat merancang agenda transformasi yang dipegang oleh kita.

"Jika tidak dapat mengurus tadbir ekonomi negara dengan baik, maka ianya adalah sukar untuk kita teruskan program membantu rakyat," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.- Bernama

Pajak gadai Islam , ArRahnu@POS

Thursday, August 09, 2012

Pos Malaysia Berhad hari ini melancarkan satu lagi perkhidmatan iaitu pajak gadai Islam di bawah jenama ArRahnu@POS, yang merupakan pilihan perkhidmatan mudah, mematuhi aspek Syariah dan bagi menukar barang kemas kepada bentuk wang tunai. Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D"Cruz yang melancarkan perkhidmatan itu di sini hari ini berkata, ia bakal memberi faedah terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang memerlukan sumber pembiayaan segera, mudah dan pada kadar yang berpatutan. "Pos Malaysia merupakan sebuah agensi di bawah kementerian, jadi orang ramai lebih yakin kerana kerajaan secara tidak langsung terlibat dalam menjamin keselamatan barang kemas yang disimpan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan itu di cawangan Pos Malaysia Bandar Baru Bangi. Maglin berkata, buat masa ini dua cawangan menawarkan perkhidmatan tersebut iaitu di sini serta di Kuala Terengganu yang telah memberi pinjaman wang berjumlah lebih RM600,000 sejak beroperasi Julai lalu.

Remaja lelaki putus cinta telan 80 biji pil

Sunday, August 05, 2012

Hanya kerana tidak dapat menerima hakikat cinta pertamanya terputus di tengah jalan, seorang remaja nekad menelan 80 pil darah tinggi milik ibunya di sebuah kampung dekat sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, remaja berusia 18 tahun itu ditemui dengan mulut berbuih dan tidak bermaya oleh ibunya sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan bantuan.

Menurut sumber, remaja lelaki itu yang tinggal dengan ibu selepas kematian bapa sejak setahun lalu dipercayai menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis berusia 19 tahun.

"Anak bongsu dua beradik itu dikatakan meminta wang belanja daripada ibunya setiap hari bagi menyara teman wanitanya itu.

"Malah, remaja lelaki itu dipercayai pernah mengherdik ibunya yang enggan memberi wang," katanya, di sini, semalam.

Kata sumber itu, pada hari kejadian remaja lelaki terbabit berada seorang diri di rumah kerana ibunya berada di Pekan Alor Gajah atas urusan tertentu.

Menurutnya, dia dipercayai menelan kira-kira 80 biji pil sakit darah tinggi milik ibunya sebelum ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin, berkata siasatan awal mendapati, remaja itu dipercayai gagal dalam percintaan.

"Lelaki itu dipercayai menelan sekali gus kira-kira 80 biji pil darah tinggi milik ibunya sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih oleh ibunya sendiri.

"Remaja itu dikejarkan ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tema Merdeka : '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' Kekal

Sunday, August 05, 2012

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) tetap teguh dan tidak akan berganjak dengan tema "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati" bagi sambutan Hari Kemerdekaan kali ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian itu bertanggungjawab menterjemahkan kejayaan negara selama 55 tahun kebelakangan ini, lantas menjiwainya dengan isian setimpal.

Menurutnya, "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati" adalah keputusan Jemaah Menteri.

Pembangkang dan sekutunya, tambahnya, memang rasa terhimpit dengan slogan tema ini kerana mereka kini ketara sangat tidak ada rekod pencapaian.

Aiskrim Baskin-Robbins percuma jika Malaysia kutip emas Olimpik

Saturday, August 04, 2012

Sekiranya Malaysia memenangi pingat emas pertamanya di kejohanan Olimpik London 2012, Baskin-Robbins, yang menyokong inisiatif "Impian Emas" Media Prima Bhd akan memberikan aiskrim percuma di seluruh negara.

Aiskrim itu akan tersedia pada 8 Ogos di semua 61 kedai aiskrim Baskin-Robbins di seluruh negara (tidak termasuk dua kiosk di Pantai Hospital di Bangsar dan Taman Tema Genting) bermula 8 malam hingga 10 malam.

Setiap orang layak mendapat satu skup aiskrim.

"Menjadi hasrat Media Prima untuk menyatukan rakyat Malaysia dalam satu suara bagi menyorak jagoan Olimpik kita," kata Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Media Prima.

"Sekiranya Malaysia meraih pingat emas Olimpik pertama kita, cara terbaik untuk meraikannya adalah dengan menjamu semua rakyat Malaysia dengan aiskrim percuma. Bukan sebarang aiskrim, tetapi antara aiskrim yang paling sedap di dunia.

"Kami mahu berkongsi visi yang sama dengan Baskin-Robbins dan kami mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas perkongsian hebat mereka dalam inisiatif ini di bawah Impian Emas Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini merupakan kali pertama Baskin-Robbins menyertai aktiviti sedemikian di Malaysia bagi meraikan saat bersejarah seumpama itu di negara ini.

"Kami mahu kegembiraan sentiasa berterusan. Pengunjung awal yang datang ke acara kami itu bukan sahaja mendapat skup aiskrim percuma tetapi juga baucar eksklusif menawarkan tawaran paling menarik," kata Cheah See Yeong, Presiden Golden Scoop Sdn Bhd, rakan kongsi Baskin-Robbins di Malaysia.

"Ini akan menjadi satu daripada sumbangan terbesar kami setakat ini kerana ia melibatkan hampir semua kedai aiskrim Baskin-Robbins di seluruh Malaysia.

Pelanggan boleh memilih daripada mana-mana 31 perisa kami yang tersedia di kedai kami.

"Pilihan terbaik yang melambangkan detik penting ini ialah perisa Gold Medal Ribbon dan World Class Chocolate kami.

"Kami mahu semua rakyat Malaysia menikmati kejayaan manis ini dan cara yang terbaik adalah berkongsi peristiwa bersejarah ini bersama-sama menerusi skup aiskrim Baskin-Robbins pilihan Malaysia.

"Ini merupakan saat yang menggembirakan dan kami mahu setiap orang dan setiap rakyat Malaysia meraikannya," kata Cheah. – Bernama

Olimpik: Jadual aksi atlet Malaysia (4 Ogos 2012)

Saturday, August 04, 2012

Olimpik: Jadual aksi atlet Malaysia

Jadual acara Sukan Olimpik melibatkan atlet Malaysia hari ini.

     Hari Kelapan:
   
     Badminton.
     Beregu lelaki separuh akhir - KOO KIEN KEAT/TAN BOON HEONG (MAS) mln Cai Yun/Fu Haifeng (CHN) (9 pagi waktu London; 4 petang waktu Malaysia)
   
    Terjun.
    3m Springboard Wanita separuh akhir - Cheong Jun Hoong, Ng Yan Yee (2.30 petang waktu London. 9.30 malam waktu Malaysia)
   
     Berbasikal.
     Sprint Lelaki kelayakan ke final - Mohd Azizulhasni Awang (10 pagi waktu London; 5 petang waktu Malaysia)
   
    Perahu Layar.
    Dinghy Lelaki (Laser) - Khairulnizam Mohd Afendy - (12 tengah hari waktu London; 7 malam waktu Malaysia)

20 jenis barangan kawalan raya

Saturday, August 04, 2012

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga maksimum bagi 20 jenis barangan kawalan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata harga barangan terkawal tahun ini menyaksikan penurunan bagi beberapa barangan berbanding tahun lalu.

Contoh barangan harga terkawal yang mengalami penurunan harga berbanding tahun lalu termasuk ayam dari RM7.20 kepada RM6.80 sekilogram (kg), telur gred A dari 36 sen kepada 35 sen sebiji, cili merah dari RM11 kepada RM10 sekg dan bawang besar dari RM3 ke RM2.50 sekg.

"Secara keseluruhannya, walaupun persepsi ramai mengatakan harga barangan naik, jelas banyak barangan yang mengalami penurunan harga dan ada yang jauh lebih rendah.

"Barangan seperti produk pertanian dan ternakan ini bergantung kepada faktor penawaran. Contohnya, saya difahamkan oleh Persatuan Penternak Ayam bahawa bekalannya sekarang banyak, jadi harganya turun.

"Sementara itu, bekalan bawang putih berkurangan disebabkan masalah cuaca di China, menyebabkan harganya naik. Ini yang kita nak pengguna faham," katanya pada sidang media mengumumkan harga siling barangan harga terkawal, Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2012 di sini, semalam.

Ismail Sabri turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan melebihi harga siling yang ditetapkan.

Barangan harga terkawal (berserta harga siling bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya)

- Ayam hidup - RM5.70 sekg

- Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan pedal) - RM6.80 sekg

- Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan pedal) - RM7.60 sekg

- Daging lembu tempatan - RM22 sekg

- Daging lembu import - tiada

- Daging kerbau tempatan - RM21 sekg

- Daging kerbau import (India) - RM13.50 sekg

- Telur ayam gred A - 35 sen sebiji

- Telur ayam gred B - 34 sen sebiji

- Telur ayam gred C - 33 sen sebiji

- Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing) - RM3.20 sekg

- Cili merah - RM10 sekg

- Tomato - RM4.50 sekg

- Kelapa parut - RM6 sekg

- Kacang tanah import - RM6.50 sekg

- Bawang merah kecil (India) - RM5 sekg

- Bawang besar import - RM2.50 sekg

- Bawang putih (China) - RM7.50 sekg

- Ubi kentang import (China) - RM3 sekg

- Ikan kembung - RM12 sekg




Skim Latihan 1Malaysia - peluang kerja untuk belia

Friday, August 03, 2012

Skim Latihan 1Malaysia Skim Latihan 1Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran belia di negara ini telah berjaya membuahkan hasil dan menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, belia Malaysia kini mudah mendapat pekerjaan berbanding belia di Eropah khususnya negara yang menghadapi krisis ekonomi seperti Itali, Sepanyol dan Greece yang kadar penganggurannya adalah tinggi. Skim latihan itu yang dilancarkan 1 Jun tahun lalu, berjaya melatih sebahagian daripada 20,000 lepasan universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak berjaya mendapat pekerjaan sebaik sahaja habis pengajian, katanya. "Setiap tahun kita ada 90,000 pelajar yang keluar daripada universiti dan IPT dan kita lihat 70,000 pelajar daripada 90,000 pelajar itu tiada masalah untuk mencari pekerjaan tetapi yang 20,000 itu sukar mendapat kerja," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Ikan Temalian (Probarbus jullieni)

Friday, August 03, 2012

Ikan Temalian

Ikan Temalian (Probarbus jullieni) sejenis ikan lasak serta ganas dan dikelaskan sebagai ikan sukan. Ikan sungai ini dikelaskan kedudukan pertama sebaris dengan kelah, jelawat, patin muncung dan buah.

Isinya berurat halus serta lembut sekali gus berjaya menambat selera penggemar ikan air tawar.

Ikan ini bergerak berkumpulan dan sering menjadi buruan ramai terutama nelayan sungai menjelang musim banjir.

1. Sifat: Berbadan bulat, bersisik tebal berwarna perak serta ada garisan gelap di tengah badan. Mempunyai sepasang mata dengan selaput merah menampakkan ciri perkasa terutama ketika memburu mangsa.

Pergerakan amat laju dan mendiami di bahagian dasar sungai berbatu berarus sederhana deras.

2. Pemakanan: Ia menjadikan anak-anak ikan kecil sebagai makanan utama. Selain itu, ia turut menjadikan etak dan moluska yang banyak terdapat di dasar Sungai Pahang sebagai makanannya.

Kehadiranya boleh dilihat dengan jelas jika terdapat kumpulan anak-anak ikan tiba-tiba bertempiaran lari.

Situasi itu menandakan ikan temalian mega muncul untuk memburunya.

3. Habitat: Ia banyak mendiami di kawasan hulu sungai yang bebas cemar khususnya di kawasan lubuk dalam yang berarus sederhana deras serta dasar berbatu dan berpasir.

Menjelang banjir, ia akan bergerak mengikut arus sambil memburu mangsa.

4. Lokasi: Ia banyak ditemui di kawasan hulu Sungai Pahang terutama di sekitar Kuala Tembeling serta di lubuk sekitar Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.

Selain itu, ia juga mendiami lubuk Sungai Jelai dan Serau di Kuala Lipis, dan juga di beberapa lubuk di daerah Maran.

5. Pembiakan: Ikan ini terkenal dengan aksi "tomoi" ketika mengawan dan ia adalah sifat unik yang tidak terdapat pada spesies ikan lain.

Lazimnya, aksi ini banyak berlaku bermula pada September hingga Oktober yang semuanya membawa maksud bermulanya musim membiak dan menghempas telur.

Sekali imbas, ia bagaikan bergaduh. Ia akan menyondol antara satu sama lain. Ikan jantan akan mengejar, menolak serta menjulang ikan betina di bahagian perut agar telurnya terkeluar untuk proses persenyawaan.

Proses persenyawaan berlaku di habitat asal, khususnya di kawasan berair cetek hingga ke tebing sungai berpasir.

Di Sungai Pahang, kawasan yang sering menjadi gelanggang pertarungan ialah di sungai sekitar hulu Tembeling, Jerantut dan Lubuk Paku, Maran.

Setakat ini tiada mana-mana pihak yang mampu mengeluarkan benih temelian berskala besar, walaupun ia mempunyai permintaan tinggi. Jabatan Perikanan Malaysia melalui Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jerantut dan PPA Banding, Perak perlu menggalas kepentingan pengeluaran sumber ini untuk dikomersilkan.

6. Menangkap: Penggunaan jaring hanyut bersaiz enam hingga 10 inci paling berkesan menangkap temalian bersaiz mega.

Selain itu, penggunaan tajul berumpan sawit peram atau buah ara juga dikatakan amat berkesan. Tetapi, penggunaannya bergantung kepada musim. Lazimnya, ia digunakan pada waktu paras air sungai naik dan juga permulaan surut.

7. Pemuliharaan: Kegagalan penguatkuasaan anggota Jabatan Perikanan memantau serta bertindak tegas terhadap penangkap ikan haram adalah faktor penentu zuriat hidupan ini terus berkekalan.

Kaedah menangkap ikan menggunakan racun, tuba dan arus letrik perlu dibenteras bersungguh-sungguh.

Musibah "pesta menuba" yang berlaku di Sungai Semantan yang didedahkan media perlu diambil iktibar.

Sudah tiba masanya sungai berkenaan diwartakan segera sebagai zon bebas aktiviti manakala Jabatan Perikanan dicadangkan mengadakan jadual `menuba' bagi mengelak kejadian ikan penternak dalam sangkar menjadi mangsa tuba.

Perkara ini wajar dilaksanakan segera bagi mengelak mala petaka kepupusan sumber berlaku di Sungai Semantan. Jika tidak dikawal, perbuatan menuba ikan ini akan merebak ke sungai selruh negara.

8. Resepi: Temalian memang sedap jika dimasak tempoyak bersama cili api. Aroma tempoyak asli pasti membuka selera penggemar masakan tradisional Melayu itu.

Selain itu, ia juga sedap jika dimasak lemak cili api. Pastikan ia dimakan bersama nasi panas bersama ulaman.


Ikan asal Sungai Pahang
Oleh Mat Semail

13 tahun anak koma, ibu tak berhenti berharap

Thursday, August 02, 2012

"Bangunlah Along, emak teringin beraya dengan Along," rintih seorang ibu, Maziah Jusoh, 48, yang terus menaruh harapan supaya anaknya yang terlantar koma akibat dirempuh kereta 13 tahun lalu, kembali sedar untuk menyambut Aidilfitri.

Siti Suzaini Jailani yang kini berusia 20 tahun, koma selepas ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat mengaji al-Quran ketika berusia tujuh tahun.

Sejak kejadian itu, zaman kanak-kanak Siti Suzaini atau lebih mesra dengan panggilan Along terus hilang kerana tubuhnya tidak lagi dapat bergerak dan hanya terlantar di tempat tidur.

Maziah berkata, Along hanya menggerakkan mata memerhatikan ahli keluarganya dan setiap kali tiba 1 Syawal sejak 13 tahun lalu, dia sebak melihat nasib anak sulungnya itu.

Menurutnya, sebelum kemalangan menimpanya, Along amat ceria pada Aidilfitri terutama apabila menjamah sate ayam dengan kuah kacang serta air laici kegemarannya.

"Setiap kali teringat gelagatnya itu, saya tidak dapat menahan sebak kerana merindui keadaannya yang normal. Sekarang dia hanya boleh menggerakkan mata kerana koma," katanya.

Mengimbas kemalangan yang menimpanya pada Julai 1999, Along ketika itu bersama seorang rakan sebaya berjalan ke tempat mengaji al-Quran di hadapan rumahnya di Kampung Daramain, di sini.

Mereka sepatutnya melintas jalan bersama, namun Siti Suzaini tertinggal di belakang menyebabkannya cuba mengikut rakannya dengan segera meluru ke seberang jalan, namun dirempuh kereta sehingga melambung.

Akibat kemalangan itu, Along yang anak sulung daripada tiga beradik parah di kepala dan menerima rawatan selama tiga bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.

Maziah berkata, sejurus selepas kemalangan, dia dimaklumkan doktor bahawa peluang untuk anaknya hidup amat tipis, namun bersyukur apabila Along dipanjangkan usia sehingga kini.

"Walaupun Along mungkin terlantar kaku sepanjang hayat, saya tidak patah semangat dan melakukan apa saja untuk membantunya pulih. Dia kini menjalani fisioterapi di hospital selain berubat secara tradisional termasuk akupuntur dan air penawar.

"Along mula menggerakkan mata, batuk dan bersin sejak tujuh tahun lalu. Itu perubahan positif yang boleh dilihat setakat ini," katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

Menurutnya, Along perlu diberi perhatian rapi kerana makan, minum serta pakaiannya perlu diuruskan selain memastikan dia sentiasa berada dalam keadaan bersih.

"Makanan Along hanya susu tepung khas yang perlu diberikan setiap tiga jam dan disalurkan menerusi tiub yang dipasang melalui mulutnya. Selain itu, saya perlu memastikan dia diberi tujuh jenis ubat setiap hari.

"Along juga tak dapat membuang air besar seperti biasa dan terpaksa menggunakan sejenis ubat. Saya tidak kisah walaupun mengeluarkan sendiri najisnya," katanya.

Maziah berkata, doktor pernah mencadangkan supaya perut anaknya ditebuk supaya dia boleh membuang air besar melalui perut, tetapi keluarga tidak setuju kerana yakin Along sembuh satu hari nanti.

"Sedaya upaya saya akan pastikan Along berada dalam keadaan baik dan setiap lima hari sekali saya mandikan dan bersihkan tubuhnya. Jika mula-mula dulu, memang ada masalah kerana banyak yang saya tidak tahu.

"Kalau dia mengalami kekejangan, saya terpaksa membawanya ke hospital biarpun di tengah malam. Tetapi, sekarang saya sudah belajar menjaganya dan tiub makanan juga dipasang sendiri. Saya tidak boleh berpisah dengannya kerana dia memerlukan perhatian setiap masa," katanya.

Menurutnya, lebih RM1,000 diperlukannya setiap bulan untuk membeli lampin pakai buang, susu tepung dan tiub untuk Along.

Hasil perkahwinan dengan Mohd Hamzan Mohd, 47, Maziah dikurniakan dua anak Mohd Shahrizan, 8, dan Mohd Shahrulnizam, 6, manakala Along dan dua adiknya, Siti Suzaini iaitu Siti Suhaini, 19, dan Mohd Safuan, 17, adalah hasil perkahwinannya sebelum ini.

Chong Wei ke suku akhir : Sukan Olimpik London

Thursday, August 02, 2012

Datuk Lee Chong Wei tewaskan Indonesia

Hanya 2 kemenangan saja lagi akan meletakkan pemain nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei di posisi membalas dendam ke atas juara bertahan Lin Dan dari China, sekali gus membawa pulang pingat emas pertama negara di Olimpik London.

Di suku akhir semalam, Chong Wei langsung tidak menunjukkan tanda-tanda bermasalah apabila mudah menundukkan pemain terbaik Indonesia, Simon Santoso dalam dua set berturut-turut.

Dalam set pertama, Chong Wei menunjukkan penguasaan gelanggang dengan baik apabila sekadar memberikan 12 mata kepada Simon, untuk menang 21-12 dalam masa 17 minit.

Ketika Simon cuba memburu kemenangan menebus kehampaan Taufik Hidayat, pemenang emas Olimpik Athens 2004 yang tewas kepada Lin Dan (China) di peringkat sama, Chong Wei sebaliknya meningkatkan lagi intensiti permainan.

Chong Wei nyata enggan mengeluarkan banyak peluh bukan sekadar menguasai gelanggang tapi bijak memukul bulu tangkis ke arah ruang kosong yang ditinggalkan Simon.

Permainan pantas Chong Wei tidak dapat ditandingi pemain muda Indonesia itu sekali gus, pemain harapan negara menang 21-8, dengan keseluruhan aksi selama 33 minit.

Kemenangan itu membolehkan Chong Wei ke suku akhir dan menantinya bintang India Kashyap Parupali yang menewaskan pemain tidak ternama dari Sri Lanka, Niluka Karunaratne 21-14, 15-21, 21-9.

 

MyDistress ditambah nilai dengan aplikasi tambahan

Wednesday, August 01, 2012

MyDistress telah ditambah nilai dengan aplikasi tambahan aplikasi antaranya pilihan bahasa, pendaftaran kenderaan awam, SOS test stimulation, share to friends (FB, Twitter, sms email) dan panggilan kecemasan.

Dalam sidang media yang dijalankan, Ketua Polis Selangor, DCP Dato Hj. Tun Hisan bin Dato Hj. Tun Hamzah berkata pengguna MyDistress boleh merekod atau mengambil gambar suspek atau lokasi semasa berada dalam situasi jenayah. Selain itu, mereka juga boleh mengisi nombor pendaftaran kenderaan awam yang dinaiki bagi tujuan pengesanan yang lebih efektif.

DCP Dato Hj Tun Hisan telah melancarkan aplikasi MyDistress versi 2 dihadapan lebih kurang 1400 para guru di Selangor yang hadir dalam perjumpaan bersama-sama Ketua Polis Selangor di Dewan Utama Ibu pejabat Polis kontinjen Selangor hari ini.

Dalam program yang dijalankan, para guru telah diberi taklimat keselamatan oleh Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Sofian bin Md Makinuddin dan taklimat Sun Tzus Art of War oleh Professor Dato Khoo Kheng Hor.

Selain itu, Polis Selangor turut memperkenalkan jaket keselamatan yang baharu bagi kegunaan pegawai dan anggota yang menjalankan sekatan jalan raya. Setakat ini 80 jaket keselamatan telah diedarkan kepada daerah dan jumlah tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.

 

ZONFINITI