Golongan kufur tentang kebenaran

Friday, February 28, 2014 0 Komen

Golongan kufur tentang kebenaran

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang yang berjaya. Sesungguhnya orang kafir (yang tidak akan beriman), sama saja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar." (Surah al-Baqarah, ayat 5-7)

Pada ayat kelima surah al-Baqarah ini, Allah SWT menjelaskan, orang yang mempunyai sifat takwa seperti beriman dengan perkara ghaib, mendirikan solat, menafkahkan harta ke jalan-Nya, beriman dengan apa yang diturunkan ke atas rasul, percaya hari akhirat, mereka sentiasa mendapat petunjuk atau cahaya daripada Allah SWT dan termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.

Dalam tafsir Jalallain, maksud orang yang berjaya itu ialah orang yang berjaya mendapatkan syurga dan terlepas daripada seksaan api neraka. Ungkapan `mereka itulah' disebut dua kali dalam ayat bermaksud sama iaitu merangkumi orang Mukmin daripada golongan ahli kitab dan bukan ahli kitab.

Gambaran orang kafir

Pengulangan itu menunjukkan orang beriman yang berasal daripada kedua-dua golongan itu sama-sama memperoleh petunjuk di sisi Allah SWT. Setelah Allah SWT menceritakan sifat orang Mukmin dan pembalasan bakal diperoleh di akhirat, ayat berikutnya memberi gambaran sebaliknya bagi orang kafir.

Ungkapan orang kafir dalam ayat itu bermaksud orang yang mempunyai sifat kafir yang sebati dalam dirinya sehingga tidak mahu menerima keimanan. Justeru, mereka mengingkari segala ajaran dibawa oleh Nabi SAW meskipun mereka telah diberi penjelasan berdasarkan dalil yang rasional.

Malah, mereka menghadapi semua perdebatan itu dengan keingkaran dan penghinaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah pada hal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)." (Surah al-Baqarah, ayat 28)

Begitulah persoalan yang dilontarkan Allah SWT dan mereka tidak mampu memberi jawapan kerana Dialah Allah yang mencipta dan menjadikan manusia. Tiada manusia yang boleh mendakwa dia boleh mencipta dirinya dan mencipta orang lain.

Dua golongan kafir

Mereka yang dikatakan kafir ini terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang kufur kepada Allah, tetapi apabila datang petunjuk, dia menggunakan pemikirannya dan mengetahui itu adalah kebenaran, lalu dia beriman.

Golongan kedua pula ialah yang mendapat faedah keduniaan daripada kekufurannya. Justeru, apa saja peringatan, dalil dan bukti yang jelas nyata, dia tetap berdegil untuk terus mengingkarinya kerana ingin menjaga kuasa, kedudukan serta pengaruh yang dibina atas kezaliman dan keangkuhan.

Mereka kufur bukan kerana dakwah tidak sampai atau rasul dan nabi tidak memimpin mereka ke jalan yang lurus, tetapi mereka menjadikan kekufuran sebagai manhaj kehidupan. Mereka inilah yang mendapat faedah daripada kekufuran yang menjadikan mereka pemimpin.

Bagi orang kufur, jika mereka menerima dakwah Rasul, sudah tentu mereka akan menjadi manusia biasa kerana Islam tidak membezakan manusia melainkan dengan takwa dan amal soleh. Lantaran itu, sama ada Rasulullah SAW mengingatkan ancaman seksa atau tidak, ia sama saja.

Sudah menjadi Sunnatullah, mereka yang terjebak dalam kekafiran, pasti hati, penglihatan dan pendengaran akan tertutup mati, sehingga tidak lagi mahu menerima keimanan. Justeru, Allah SWT telah menetapkan seksaan yang pedih bagi mereka pada hari pembalasan.

Sementara itu, di dunia ini pula mereka menerima penghinaan dan kelemahan seperti disebut dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar." (Surah al-Baqarah, ayat 114)

Apabila hati seseorang sudah menjadi buta untuk melihat keperluan beriman kepada Allah dan Rasul, maka tidak ada lagi mata yang boleh melihat ayat-ayat keimanan, tidak ada lagi telinga yang mampu mendengar ayat-ayat Allah SWT.

Antara faktor menyebabkan mereka kufur ialah menentang kebenaran walaupun mereka mengetahui.

Golongan dikategorikan dalam golongan ini ialah orang musyrik dan Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah SAW seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Alwalid Ibnu Al-Mughirah dan pendeta Yahudi.

Bersikap sombong, abai kebenaran

Mereka bersikap sombong serta mengabaikan kebenaran, golongan ini sebenarnya terdapat di setiap tempat dan zaman. Antara keagungan Allah SWT ialah Dia Maha Mengetahui siapa yang beriman dan siapa sebaliknya tanpa Allah SWT masuk campur dalam pilihan mereka.

Ketika Allah SWT mengutus Nabi Nuh selama 950 tahun, sebelum datangnya taufan dan banjir besar, Allah SWT mengetahui tidak ramai akan beriman. Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh untuk membina bahtera bagi menyelamatkan orang Mukmin daripada banjir besar itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita mengenai apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (mengenai cara membuatnya)." (Surah Hud, ayat 36-37)

Allah SWT Maha Mengetahui siapa yang akan mati dalam keadaan kekufuran, tetapi mengapa Allah SWT meminta daripada Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan Islam kepada mereka?

Jawapannya ialah supaya manusia yang enggan beriman itu tidak boleh berhujah di akhirat bahawa sewaktu mereka di dunia dulu, mereka tidak didatangi oleh Rasul untuk menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka.

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
* Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources
(BH)

Chef Zam nafi maki kualiti makanan MAS

Friday, February 28, 2014 0 Komen

Chef Zam nafi maki kualiti makanan MAS

"Saya sudah 43 tahun, bukan (remaja) 14 atau 15 tahun nak maki-maki begitu," luah chef selebriti terkenal, Chef Zam berhubung kontroversi yang mendakwa dia menggunakan bahasa kesat dalam akaun Instagram miliknya ketika menegur kualiti makanan dihidangkan dalam pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

Salah faham itu timbul apabila sebuah blog hiburan melaporkan Chef Zam atau nama sebenarnya Zamzani Abdul Wahab mengkritik kualiti makanan berkenaan dengan kata-kata makian.

Walhal, kritikan pedas itu bukan kenyataan dikeluarkan Chef Zam, tetapi sebaliknya ia adalah komen daripada penumpang MAS lain yang dimuat naik semula (repost) olehnya menerusi Instagram.

Sebaliknya, menerusi akaun sama Chef Zam hanya mengulas semula komen berkenaan dan menyuarakan pendapatnya dalam bahasa Inggeris secara berhemah dan sopan, tidak seperti yang dilaporkan blog terbabit.

Chef Zam berkata, dia terkilan dengan kecuaian laporan blog itu sehingga menyebabkan gambar kritikan itu tersebar luas di Internet dan mengelirukan orang ramai.

"Cubalah fikir secara logik, takkanlah saya nak kritik dengan bahasa kesat, caci maki begitu untuk kritik sesuatu perkara.

"Blog itu tidak teliti betul-betul apa yang saya kongsi di Instagram. Kemudian suka-suka melaporkan isu tanpa bertanya kesahihan daripada saya dulu.

"Saya seorang profesional, selebriti dan ahli akademik pula, takkan saya nak maki dan mencarut perkataan 'sial' tak tentu pasal," katanya.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila segelintir pihak menghentamnya kerana menyangka dia mengeluarkan kata-kata kesat itu tanpa memahami komen itu bukan datang daripada dirinya.

"Inilah masalah orang kita. Tak faham dan baca betul-betul tapi nak jatuh hukum dengan mudah. Padahal komen saya dalam bahasa Inggeris bagi mengulas komen awal individu yang saya kongsi di Instagram.

"Bayangkan, ada pihak MAS yang marah kenapa saya cakap perkataan begitu pada makanannya sedangkan bukan saya yang cakap macam itu.

"Perkara jadi buruk bila blog itu lapor benda tak betul dan saya tak akan teragak-agak untuk saman mereka," katanya.~ HM

Siasatan insiden `Terowong Larkin' selesai

Friday, February 28, 2014 0 Komen

Siasatan insiden `Terowong Larkin' selesai

Polis sudah menyelesaikan siasatan berhubung insiden `Terowong Larkin' selepas mengambil keterangan lebih 20 individu termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kertas siasatan insiden itu sedang dikemaskini sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Polis merekodkan keterangan lebih 20 individu yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung insiden itu.

Serah kertas siasatan

"Kita sedang kemas kini kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat ini untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui selepas Majlis Beramah Mesra bersama Pesara Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam.

Insiden `Terowong Larkin' pada 1 Februari lalu itu menarik perhatian banyak pihak terutama peminat bola sepak tempatan selepas pemain import TTeam, Evaldo Rodrigues mendakwa ditumbuk seorang pegawai tinggi PBNJ ketika masa rehat aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Dalam kejadian itu, jurulatih kecergasan TTeam, Stefano Impagliazzo turut dikasari di dalam terowong stadium ketika menuju ke bilik persalinan.

Berikutan kejadian itu, TTeam menarik diri pada babak kedua kerana faktor keselamatan sehingga menyebabkan perlawanan antara JDT dan The Titans terpaksa ditangguhkan.

Susulan kejadian itu, pemain dan jurulatih kecergasan terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Rodrigues dan Impagliazzo juga dikatakan membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). ~ BH

Paksa adik hidu gam sebelum rogol

Friday, February 28, 2014 0 Komen

Paksa adik hidu gam sebelum rogol

Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun layak digelar 'setan' apabila bukan saja memaksa adiknya berusia 12 tahun menghidu gam sebaliknya turut merogol kanak-kanak itu.

Ketika kejadian di rumah mereka di Ampang kira-kira jam 11 pagi kelmarin, hanya dua beradik berkenaan berada di rumah kerana ibu bapa mereka berusia lewat 40-an keluar bekerja.

Menurut sumber, mangsa yang sedang bersendirian di ruang tamu menonton televisyen mendakwa didatangi abangnya itu.

"Abang mangsa kemudian menunjukkan kemaluannya menyebabkan adiknya itu ketakutan dan cuba melarikan diri namun berjaya dihalang abangnya itu.

"Mangsa dipaksa menghidu gam sebelum dirogol," katanya.

Sumber itu berkata, selesai dirogol, mangsa diarah mandi sebelum bersiap untuk ke sekolah.

"Abang mangsa dilapor meninggalkan rumah sejurus kejadian manakala kesempatan itu digunakan mangsa untuk menghubungi ibunya mengadu mengenai kejadian yang menimpanya," katanya.

Sehubungan itu, mangsa ditemani ibunya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Katanya, abang mangsa yang menyedari keluarganya membuat laporan polis dikatakan sudah menghilangkan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan pihak berkuasa.

Berbogel depan kekasih kemudian diugut

Friday, February 28, 2014 0 Komen

Termakan pujukan rayu kenalan wanita menyebabkan seorang lelaki sanggup menanggalkan pakaian dan berbogel untuk tatapan temannya itu yang dikenali melalui laman sosial Skype.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila aksinya itu dirakam kenalannya yang baru dikenali sebelum mengugut ingin menyebarkan video itu jika mangsa berusia 33 tahun enggan membayar wang RM5,000.

Bimbang dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, mangsa pada mulanya mengenali wanita terbabit melalui Facebook (FB) beberapa bulan lalu sebelum wanita itu mula menggodanya, namun ditolak mangsa dengan alasan sudah berkahwin.

"Bagaimanapun, wanita itu licik dan tidak berputus asa serta sentiasa berusaha agar mangsa menjadi kekasihnya.

"Malah, dalam kejadian terbaru kelmarin jam 12 tengah malam, mereka sekali lagi berhubung melalui FB sebelum wanita itu meminta mangsa menggunakan Skype kerana dia ingin melihat wajah mangsa," katanya.

Sumber berkata, termakan pujuk rayu itu, mangsa akhirnya membuka laman sosial itu sebelum mereka mula berhubung.

"Lebih teruk mangsa yang tergoda mula menanggalkan pakaian dan berbogel tanpa mengetahui gambarnya itu dirakam.

"Selepas beberapa minit, wanita itu memutuskan talian dan membiarkan mangsa terpinga-pinga malah cubaan mangsa menghubungi wanita itu juga gagal," katanya.

Menurutnya, selang beberapa jam kemudian, mangsa menerima mesej di FB dan meminta dia membayar wang RM5,000 jika tidak mahu video mangsa berbogel disebarkan.

"Terkejut dengan tindakan itu, mangsa meminta menunjukkan bukti sebelum wanita terbabit menghantar rakaman videonya berbogel dan memberitahu sudah membuat banyak salinan.

"Bimbang dengan ugutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis," katanya.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Hati-hati dengan sindiket `Penipuan Macau'

Friday, February 28, 2014 0 Komen

Hati-hati dengan sindiket `Penipuan Macau'

Sindiket penipuan 'sedut duit' melalui panggilan telefon dikesan menggunakan taktik menawarkan iklan kerja kosong kepada orang ramai bagi membolehkan mereka memperoleh akaun bank tempatan.

Akaun bank dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik pemohon pekerjaan itu bagaimanapun digunakan pihak sindiket untuk menyimpan duit haram yang dipindahkan daripada mangsa lain ke dalam akaun berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak Superintendan Maszley Minhad yang mendedahkan perkara itu berkata, sindiket akan menawarkan pekerjaan palsu melalui iklan di akhbar sebelum mengarahkan pemohon membuka akaun bank dengan alasan untuk memudahkan pembayaran gaji.

Menurutnya, pada masa sama sindiket akan menjalankan kegiatan penipuan dengan menghubungi orang ramai dan mendakwa kad kredit mereka digunakan penjenayah di luar negara.

"Sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) mendakwa akaun bank mangsa sedang disiasat.

"Mangsa kemudian diminta memindahkan semua wang ke dalam akaun khas dengan alasan bagi mengelakkan wang itu dilarikan penjenayah yang memalsukan identiti mereka," katanya.

Maszley berkata, mangsa diminta memindahkan semua wang ke dalam akaun pemohon yang meminta pekerjaan sebelum wang berkenaan dikeluarkan oleh sindiket.

"Taktik ini menyebabkan pihak sindiket sukar dijejaki, malah memudahkan mereka mengeluarkan wang milik mangsa.

"Setakat ini sindiket yang terkenal dengan gelaran `Penipuan Macau masih berleluasa dan berjaya menipu ramai mangsa.

"Berdasarkan statistik, seramai 80 mangsa ditipu sepanjang 2013 membabitkan kerugian lebih RM3 juta. Selain itu, sebanyak 25 kes dilaporkan berlaku antara Januari lalu hingga semalam yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta," katanya.

Menurutnya, polis memandang serius kes penipuan itu dan seramai 11 individu berjaya diberkas di beberapa daerah di negeri ini sejak Januari lalu.

"Ahli sindiket ini yang didalangi warga tempatan dan warga asing menggunakan alat penyamaran suara dan alatan khas yang membolehkan nombor telefon BNM atau Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tertera pada skrin telefon bimbit mangsa.

"Ini menyebabkan kebanyakan mangsa mudah percaya dan ditipu tanpa melakukan siasatan," katanya.

Pelajar mangsa buli siber

Wednesday, February 26, 2014 0 Komen

Pelajar mangsa buli siber

Sikap keterbukaan pengguna laman sosial yang berkongsi kata laluan antara faktor menyebabkan peningkatan jumlah pelajar sekolah menjadi mangsa buli siber.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, berdasarkan kajian oleh CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd tahun lalu membabitkan 9,651 pelajar dari 459 sekolah rendah dan menengah seluruh negara mendapati 13 peratus atau 1,255 pelajar menjadi mangsa buli siber.

"Selain itu, 26 peratus atau 2,509 pelajar mengaku pernah menjadi mangsa buli siber yang menunjukkan gejala ini semakin meningkat dan serius. Situasi itu disokong dengan bertambahnya insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet melalui Pusat Bantuan Cyber999.

"Pada 2012 sebanyak 250 kes buli siber dilaporkan namun jumlah itu meningkat sebanyak 55.6 peratus pada 2013 dengan 389 kes. Rata-ratanya masalah ini disebabkan sikap mangsa yang terlalu terbuka terutamanya membabitkan penggunaan laman sosial dengan berkongsi kata laluan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Safer Internet Day 2014 dan Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Siber di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong, Tanjong Kling dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi CyberSecurity Malaysia Tan Sri Jeneral (B) Mohd Azumi Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Amirudin Abdul Wahab.

Abu Bakar berkata, disebabkan peningkatan kes itu, pihak CyberSecurity Malaysia mengambil langkah proaktif bagi melaksanakan kempen membanteras gejala buli siber dalam kalangan pelajar.

"Pada tahun ini, mereka menyasarkan lebih 20,000 pelajar di seluruh negara akan menyertai kempen ini yang mana mampu membantu memberi kesedaran kepada mereka supaya tidak menjadi pembuli siber atau mendedahkan diri kepada ruang untuk menjadi mangsa buli siber.

"Saya berharap dengan kempen dan program dilakukan ini akan membantu orang ramai supaya lebih berhati-hati kerana disebabkan kecuaian mereka itu secara tidak langsung mengakibatkan individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan maklumat diketahui bagi menjatuhkan maruah mangsa dan sebagainya," katanya ~HM

Krisis air Selangor: 3 juta pengguna bakal terjejas

Wednesday, February 26, 2014 0 Komen

Krisis air Selangor: 3 juta pengguna bakal terjejas

Cadangan kerajaan Selangor untuk mengurangkan bekalan air berskala besar sehingga 500 juta liter sehari (JLH) akan mengakibatkan kira-kira 3 juta pengguna terputus bekalan air dan membabit lebih satu pertiga kawasan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Pengarah Eksekutif, Pembangunan Teknikal SYABAS V Subramaniam berkata, pihaknya bukan saja tidak boleh melaksanakan arahan berkenaan tanpa kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) malah turut akan menjejaskan 750,000 kediaman.

"Cadangan kerajaan Selangor juga tidak mengambil kira kawasan pengguna yang sensitif seperti hospital, pusat dialisis, pejabat pentadbiran kerajaan, premis perniagaan dan kilang yang perlu perhatian semua.

"SYABAS hanya diberikan dua hari oleh kerajaan Selangor untuk menyediakan pelan pengagihan air berjadual bagi kawasan yang terbabit berskala besar ini walaupun cadangan berkenaan masih belum mendapat kelulusan SPAN," katanya.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan cadangan mengurangkan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 600 JLH dan pengurangan air terawat sebanyak 500 JLH dari lima loji rawatan air.

Subramaniam berkata, adalah tidak wajar sebagai Menteri Besar beliau tidak memaklumkan kesan dari cadangannya itu untuk mengurangkan bekalan air sebanyak 500 JLH dari ke lima-lima loji rawatan air berkenaan supaya pengguna dan rakyat tahu apa yang akan mereka tempuhi apabila catuan dilakukan.

"Sedangkan sebelum ini beliau bersungguh-sungguh menyatakan air atau bekalan air cukup untuk pengguna dan rakyat Selangor," katanya. ~HM

Balasan tunai cabar Tuhan: Perompak mati ditembak polis

Wednesday, February 26, 2014 0 Komen

Balasan tunai cabar Tuhan: Perompak mati ditembak polis

"Mereka menjerit mencabar kuasa Tuhan sambil mencekik isteri saya sekuat hati. Akhirnya dosa mereka dibalas apabila ketiga-tiga mereka mati ditembak polis Ahad lalu," kata seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang enggan namanya didedahkan.

Dalam kejadian jam 4 pagi pada 4 Januari lalu, sekumpulan tiga perompak dipercayai warga Indonesia memecah masuk rumah mangsa di Kampung Dendang, Beruas.

Penjenayah turut bertindak kejam apabila mengacukan parang ke arah leher anak lelaki mangsa berusia empat tahun selain mengugut mahu menikam mati bayinya yang baru berusia lima bulan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia tidak berada di rumah ibunya itu susulan mempunyai urusan perniagaan di Kuala Lumpur.

"Perompak memecah masuk melalui pintu belakang rumah sebelum menyerbu bilik tidur ibu saya terlebih dulu. Mereka kemudian mengugut supaya ibu saya menyerahkan wang.

"Isteri saya yang sedang tidur bersama dua anak berusia lima bulan dan empat tahun terjaga daripada tidur apabila terdengar suara ibu saya sedang bercakap dengan beberapa lelaki," katanya.

Beliau berkata, isterinya yang berusia 28 tahun terkejut apabila penjenayah bertindak memecah pintu bilik tidur mereka sebelum menghunuskan pisau ke arahnya.

"Penjenayah mengugut isteri saya supaya tidak melawan sebelum menggeledah dan merampas telefon bimbit serta dua jam tangan mewah milik kami.

"Tangan isteri saya kemudian diikat dengan kain selendang oleh suspek. Mereka turut merampas golok milik saya yang disimpan di dalam bilik tidur itu," katanya.

Menurutnya, semua penjenayah yang menutup muka dengan topeng ski itu turut mengugut mahu menikam bayinya dengan golok berkenaan sekiranya gagal memperoleh wang dan barang kemas.

"Malah mereka turut mengacukan parang ke arah leher anak lelaki saya berusia empat tahun dalam usaha memaksa isteri saya menyerahkan lebih banyak barang berharga.

"Lebih menyedihkan apabila ibu saya yang berusia 77 tahun turut ditumbuk penjenayah walaupun ketika itu sudah memperoleh wang RM1,000 dan jam tangan mewah," katanya.

Beliau berkata, salah seorang penjenayah kemudian bertindak mencekik leher isterinya dan mahu memukulnya dengan alat pemotong besi serta besi pengumpil.

"Bagaimanapun isteri saya merayu dan dia hanya dilepaskan selepas isteri saya menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin keselamatan kad itu kepada mereka," katanya.

Sebelum melarikan diri, suspek dipercayai warga Indonesia itu sempat mengugut untuk datang semula membunuh isterinya jika kejadian itu dilaporkan kepada polis.

Menurutnya, isterinya kemudian menghubunginya sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung.

"Kami mendapat tahu sekumpulan tiga perompak ditembak mati polis di Kampung Buruk Bakul, Beruas, pada jam 5.40 pagi, Ahad lalu.

"Isteri saya yakin penjenayah yang ditembak mati itu adalah suspek yang merompak rumah kami sebelum ini," katanya.

~ HM

Ibnu Sina bapa perubatan dunia

Monday, February 24, 2014 0 Komen

Ibnu Sina bapa perubatan dunia

Ibnu Sina atau nama sebenarnya Ali Husain ibn Abdillah Ibn Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan tahun 980 Masihi di Afsyanah, Bukhara, Turkistan merupakan seorang ilmuwan Islam terulung dalam bidang perubatan yang diiktiraf seluruh dunia.

Beliau yang turut dikenali sebagai Avicenna di negara barat ini sebenarnya telah memberi sumbangan besar dalam bidang perubatan dunia antaranya menemui sekitar 760 jenis penyakit serta kaedah merawatnya selain mencipta alatan perubatan seperti picagari, ubat bius dan benang khusus untuk menjahit luka pembedahan dan sebagainya.

Memanfaatkan masa dengan menimba ilmu

`Al Qanun fit Thibb' adalah antara kitab perubatan karangannya yang diterjemah ke beberapa bahasa dan ketekunannya melakukan kajian dalam bidang itu sejak menceburkan diri pada usia 16 tahun telah menggilap kembali bidang perubatan yang kian malap pada waktu itu.

Menyingkap keperibadiannya ketika menuntut ilmu, Ibnu Sina seorang yang sangat tekun menimba pengetahuan yang tidak terbatas kepada kitab atau buku semata-mata tetapi juga mengambil inisiatif merawat pesakit serta menemukan teknik rawatan baharu ketika beliau masih bergelar seorang pelajar.

Berbeza daripada rakan sebaya yang gemar bermain, Ibnu Sina m eng habiskan masa dengan mendalami al-Quran seawal usia lima tahun yang membentuk keperibadiannya sehingga menjadi seorang ilmuwan yang disegani.

Seperkara yang menarik untuk diketahui, di sebalik kehebatannya menguasai pelbagai bidang beliau juga pernah diduga apabila berdepan kesulitan untuk memahami isi kandungan buku yang ditulis oleh Aristoteles mengenai falsafah dan metafizik walaupun sudah membacanya lebih 40 kali.

Kesulitan itu dihadapi dengan memohon pertolongan daripada Allah SWT sehingga beliau menemui sebuah buku yang ditulis oleh Ibnu Farabi yang menjelaskan segala perkara yang tidak difahaminya dalam buku karangan Aristoteles itu.

Mahir dalam pelbagai bidang

Lantaran sikap tidak mudah berputus asa, tidak menghairankan jika beliau menguasai banyak disiplin ilmu dan mengarang lebih 400 buah buku sepanjang hidupnya dengan 116 daripada karyanya mengenai falsafah, mantik, matematik, astronomi, kimia, fizik, biologi, dan sains politik.

Ibnu Sina juga dikenali sebagai seorang yang tekun bekerja serta berpegang teguh pada ajaran Islam hingga diberi gelaran `The Prince of the Phisicians' dan meninggal dunia pada 1037 Masihi di Hamazan akibat penyakit ulser.

Beliau yang turut dikenali sebagai Avicenna di negara barat ini sebenarnya telah memberi sumbangan besar dalam bidang perubatan dunia antaranya menemui sekitar 760 jenis penyakit serta kaedah merawatnya selain mencipta alatan perubatan seperti picagari, ubat bius dan benang khusus untuk menjahit luka pembedahan dan sebagainya.

Memanfaatkan masa dengan menimba ilmu

`Al Qanun fit Thibb' adalah antara kitab perubatan karangannya yang diterjemah ke beberapa bahasa dan ketekunannya melakukan kajian dalam bidang itu sejak menceburkan diri pada usia 16 tahun telah menggilap kembali bidang perubatan yang kian malap pada waktu itu.

Menyingkap keperibadiannya ketika menuntut ilmu, Ibnu Sina seorang yang sangat tekun menimba pengetahuan yang tidak terbatas kepada kitab atau buku semata-mata tetapi juga mengambil inisiatif merawat pesakit serta menemukan teknik rawatan baharu ketika beliau masih bergelar seorang pelajar.

Berbeza daripada rakan sebaya yang gemar bermain, Ibnu Sina m eng habiskan masa dengan mendalami al-Quran seawal usia lima tahun yang membentuk keperibadiannya sehingga menjadi seorang ilmuwan yang disegani.

Seperkara yang menarik untuk diketahui, di sebalik kehebatannya menguasai pelbagai bidang beliau juga pernah diduga apabila berdepan kesulitan untuk memahami isi kandungan buku yang ditulis oleh Aristoteles mengenai falsafah dan metafizik walaupun sudah membacanya lebih 40 kali.

Kesulitan itu dihadapi dengan memohon pertolongan daripada Allah SWT sehingga beliau menemui sebuah buku yang ditulis oleh Ibnu Farabi yang menjelaskan segala perkara yang tidak difahaminya dalam buku karangan Aristoteles itu.

Mahir dalam pelbagai bidang

Lantaran sikap tidak mudah berputus asa, tidak menghairankan jika beliau menguasai banyak disiplin ilmu dan mengarang lebih 400 buah buku sepanjang hidupnya dengan 116 daripada karyanya mengenai falsafah, mantik, matematik, astronomi, kimia, fizik, biologi, dan sains politik.

Ibnu Sina juga dikenali sebagai seorang yang tekun bekerja serta berpegang teguh pada ajaran Islam hingga diberi gelaran `The Prince of the Phisicians' dan meninggal dunia pada 1037 Masihi di Hamazan akibat penyakit ulser.


PruBSN perkenal dua aplikasi baru

Thursday, February 20, 2014 0 Komen

PruBSN perkenal dua aplikasi baharu

Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) memperkenalkan penyelesaian jualan automatik tablet, PruBSN Mobility dan aplikasi mudah alih, PruBSN Navigator bagi kemudahan pengedar serta pelanggannya.

PruBSN Mobility ialah aplikasi tablet sehenti yang direka bentuk untuk pengedar PruBSN dan mula diperkenalkan kepada kumpulan tertentu pada Disember tahun lalu.

Penyelesaian itu direka bentuk untuk peralatan dan berfungsi bagi iOS dan Android.

PruBSN berkata, penyelesaian jualan itu menawarkan pengalaman baharu untuk pelanggan, sambil menyediakan kemudahan serta keupayaan fleksibel kepada ejen serta pengedarnya.

Katanya, aplikasi itu membolehkan mereka menyelesaikan penghantaran jualan dalam cara mudah, cekap dan tepat, sekali gus memudahkan ejen serta perantara lain mempromosikan produk serta perkhidmatan syarikat kepada lebih ramai orang.

Jimat masa isi borang

"Bagi pelanggan pula, mereka tidak perlu lagi menghabiskan masa mengisi borang, selain memainkan peranan dalam mengurangkan pelepasan karbon tanpa kehadiran dokumen fizikal," katanya dalam kenyataan, semalam.

Aplikasi baharu itu adalah perkakasan sangat automasi yang membolehkan pengedar menawarkan penyelesaian takaful PruBSN pada bila-bila masa dan di mana saja.

Ketua Eksekutif PruBSN, Azim Mithani, berkata PruBSN Mobility adalah contoh bagaimana syarikat menggunakan teknologi yang secara tulen menempatkan pelanggan di tempat pertama bagi segala-galanya, sambil menggandakan impak perniagaan kumpulan merangkumi pelbagai aspek.

Selain menjadikan perniagaan lebih cekap, katanya fungsi automasi itu juga akan mengurangkan kesan alam sekitar kerana syarikat mengurangkan kebergantungan terhadap kertas.

"Aplikasi ini adalah perkakas berkuasa yang secara asasnya akan mentransformasi dan memudahkan cara perniagaan dilaksanakan, namun paling mustahak ialah menyediakan perkhidmatan yang berhak diperoleh pelanggan," katanya.

Sementara itu, PruBSN Navigator ialah aplikasi telefon pintar yang menyediakan maklumat mengenai rangkaian hospital panel syarikat dan perkhidmatan berkaitan seperti maklumat telefon hospital, pengkhususan, kemudahan disediakan, doktor serta anggaran kadar bilik.

Fungsi GPS

Sebagai perkhidmatan nilai tambah kepada ramai, ia juga menggunakan fungsi GPS telefon pintar untuk memandu pengguna ke hospital pilihan masing-masing, serta dilengkapi peringatan kalendar untuk mengingatkan pengguna.

Fungsi satu sentuh akan membolehkan pengguna membuat panggilan terus ke hospital dan ia berguna ketika berlaku kecemasan.

PruBSN Navigator disediakan percuma kepada orang ramai dan boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play.

CIMB selesai pasang sistem teras baharu

Thursday, February 20, 2014 0 Komen

CIMB Group selesai melaksanakan pemasangan sistem perbankan teras baharunya di negara ini yang membabitkan pemindahan data sejumlah lapan juta pelanggannya.

Pemasangan sistem berkenaan adalah antara usaha bank kedua terbesar Malaysia itu untuk meningkatkan lagi kapasiti, tahap perkhidmatan dan penyeragaman sistem operasinya di peringkat serantau.

Proses pemasangan besar-besaran itu dilaksanakan semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini dan menggunakan kira-kira khidmat 12,000 kakitangan pada waktu puncak.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Nazir Razak, berkata proses pemindahan sistem itu dibuat tepat pada waktunya.

Projek baharu serantau
"Kami memilih melaksanakannya semasa cuti Tahun Baharu Cina kerana perangkaan menunjukkan jumlah transaksi pada masa itu adalah yang terendah dan tidak membebankan terlalu ramai pengguna.

"Justeru, kami berterima kasih kepada semua pelanggan di atas kesabaran mereka kerana perkhidmatan ATM dan CIMB Clicks tidak dapat di-gunakan selama dua hari," katanya dalam satu kenyata-an di Kuala Lumpur, semalam.

Tiga tahun lalu, CIMB Group mengumumkan pelan jangka panjangnya untuk melaksanakan projek sistem perbankan teras baharu bernilai RM1.1 bilion untuk banknya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand selepas proses memilih sistem serta mereka bentuk projek berlangsung selama setahun.

Projek yang dinamakan '1Platform' itu disasar untuk memasang rangka kerja operasi dan teknologi maklumat (IT) serantau tunggal bagi semua entiti CIMB.

Memandangkan CIMB Malaysia dan Thailand beroperasi menggunakan sistem warisan yang menghampiri siling kapasitinya, kumpulan membuat keputusan melaksanakan projek sistem baharu serantau bagi menikmati skala ekonomi pemerolehan. ~BH

KWSP catat rekod bayaran dividen tertinggi

Monday, February 17, 2014 0 Komen

KWSP catat rekod bayaran dividen tertinggi

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 6.35 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, bayaran dividen paling tinggi pernah dicatatkan dengan peruntukan sebanyak RM31.20 bilion kepada ahli nya, meningkat 13.66 peratus daripada RM27.45 bilion pada 2012.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, dengan strategi pelaburan berhemah dan mantap, prestasi KWSP adalah konsisten dan stabil, terutamanya untuk lima tahun sebelumnya.

Katanya, sejak tahun kebelakangan ini, KWSP sudah mempelbagaikan portfolio dengan memperluaskan skop aset pelaburan bagi menguruskan risiko pasaran dan menjana pulangan yang konsisten.

"Prestasi pelaburan ini membolehkan KWSP memperoleh 6.97 peratus pulangan pelaburan tahunan (ROI), meningkat 10 mata asas daripada 2012. Ini adalah manifestasi prinsip pelaburan KWSP yang kukuh dan hasil daripada mempelbagaikan portfolio merentasi pasaran dan sektor yang berbeza.

"Pencapaian KWSP mencerminkan keberkesanan dana yang seimbang dan pelbagai dan 2013 adalah tahun yang sangat baik untuk pelaburan ekuiti manakala portfolio pendapatan tetap menunjukkan prestasi lebih baik pada tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sejak krisis kewangan global 2008, KWSP mengisytiharkan dividen dikompaun melebihi RM120 bilion kepada ahlinya. Saiz aset pelaburan KWSP termasuk caruman tahunan bersih telah mencatatkan peningkatan kukuh daripada RM342.01 bilion pada 2008 kepada RM586.66 bilion pada akhir 2013.

Kadar dividen ini diisytiharkan hasil pendapatan pelaburan kasar yang mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM35 bilion, meningkat 12.81 peratus daripada RM31.02 bilion yang dicatatkan pada 2012.

Dengan jumlah ahli KWSP meningkat kepada lebih daripada 13 juta, sebanyak RM4.91 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2013 dan ia 10.06 peratus lebih tinggi berbanding RM4.46 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2012.

Jumlah yang diperlukan untuk membayar satu peratus kadar dividen akan terus meningkat antara lapan dan sembilan peratus setahun. Pembayaran dividen 2013 diperoleh selepas ditolak peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen untuk pengeluaran.

Manakala jumlah pendedahan KWSP di luar negara ialah 20.97 peratus daripada jumlah aset pelaburan berdasarkan nilai buku setakat akhir Disember 2013, meningkat daripada 16.98 peratus pada tahun sebelumnya.

Pada tahun yang dikaji, KWSP telah menyumber luar USD2.20 bilion (RM7.26 bilion) kepada pengurus dana luaran untuk mandat ekuiti global manakala RM2.25 bilion dan RM850 juta masing-masing sudah disuntik ke mandat pendapatan tetap dan ekuiti domestik

Maklumat dividen 2013 boleh diperoleh menerusi laman Facebook KWSP di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Twitter di KWSPBuzz dan YouTube. Penyata akaun KWSP yang telah dikreditkan dividen 2013 boleh disemak mulai sekarang secara online melalui i-Akaun di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my).







Pesara disaran daftar dengan KUPEKMAS

Monday, February 17, 2014 0 Komen

Pesara disaran daftar dengan KUPEKMAS

Semua pesara dan bakal pesara kerajaan diminta mendaftar dengan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) bagi memperkasakan agenda membela nasib mereka.

Presiden KUPEKMAS, Datuk Omar Osman, berkata setakat ini ada lebih 600,000 golongan pesara di negara ini dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Katanya, kelab itu berfungsi sebagai badan menyuarakan sebarang permasalahan yang dihadapi golongan pesara meliputi pelbagai aspek seperti kos sara hidup dan perubatan.

Bawa semua isu

"KUPEKMAS akan membawa semua isu berbangkit seperti meminta kerajaan supaya menimbangkan penyelarasan skim pencen dan pemberian bantuan lain kepada semua golongan pesara," katanya.

Penipuan kutipan derma Children's Joy Foundation

Monday, February 17, 2014 0 Komen

Children's Joy Foundation, pertubuhan sukarela yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Filipina, tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mengutip derma bagi pihak yayasan itu.

Ketua Unitnya di Quezon City dekat Manila, Ma Angeles Lazaro ketika dihubungi Metro Ahad mengesahkan kegiatan kumpulan gadis Filipina mengutip derma di Malaysia kononnya untuk menambah dana yayasan itu, adalah penipu.

"Kami tidak mempunyai wakil di luar Filipina untuk mengutip sumbangan atau derma. Malah, setakat ini tiada sesiapa pun (dari luar Filipina) menyalurkan sumbangan kepada yayasan ini biarpun dalam jumlah kecil.

"Kami juga tidak pernah menugaskan mana-mana pihak untuk mengutip derma melalui apa cara sekalipun, termasuk bermain muzik di jalanan," katanya.

Lazaro berkata, sumbangan kepada yayasan itu hanya dikutip melalui pelbagai program kebajikan yang dijalankan di Filipina membabitkan pihak swasta dan kerajaan.

"Antara sebab kami tidak buat kutipan derma di luar Filipina ialah kerana kami tiada cawangan di negara lain, selain tahu ia membabitkan pelbagai urusan dan kebenaran kerajaan negara yang ingin dilawati.

"Jadi, buat masa ini kutipan atau sumbangan yang kami terima semuanya dari Filipina," katanya.

Lazaro berkata, pihaknya yakin individu yang mengutip sumbangan di negara ini mempergunakan nama yayasan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga menerima banyak laporan mengenai kegiatan individu dan kumpulan di luar Filipina yang menggunakan nama yayasan itu untuk memungut derma.

"Ini bukan kali pertama kami ditanya mengenai perkara ini. Sebelum ini kami menerima laporan sama membabitkan penipuan seumpama itu di Kanada, Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan Australia.

"Dengan penjelasan ini, saya berharap orang ramai tidak lagi terpedaya dengan taktik kumpulan penipu terbabit. Jangan beri derma lagi kepada mereka yang menggunakan nama yayasan ini, terutama kumpulan yang bermain gitar di jalanan. Mereka secara terang-terangan menipu dan memperdayakan orang ramai untuk kepentingan sendiri," katanya.

Kumpulan seumpama itu aktif menjalankan penipuan sama di Kanada dan Amerika Syarikat.

Beberapa akhbar dan media online melaporkan, kumpulan berkenaan biasanya menjadikan stesen minyak dan kedai runcit untuk bermain gitar sebelum meminta orang ramai menghulurkan derma, kononnya untuk dana Children's Joy Foundation.

Lebih berani, ada pelajar kolej warga Filipina di Kanada menggunakan taktik sama untuk mengutip derma di kampus masing-masing yang kemudian dibuktikan penipuan terancang.

Pengambilan dadah buatan berbahaya

Monday, February 17, 2014 0 Komen

"Dalam perubatan, heroin digunakan sebagai ubat penahan sakit dan penenang kepada pesakit yang mendapat serangan jantung, sakit akibat kemalangan parah atau luka terbakar.

"Pengambilan tidak terkawal dadah jenis ini boleh merosakkan organ penting, termasuk hati, buah pinggang, jantung dan otak," kata Pegawai Perubatan, Jabatan Kecemasan dan Rawatan Am, Hospital Columbia Asia, Dr Hanafiah Bashirun.

Jelasnya, dadah tulen melalui kajian terperinci mengenai bahan kimia dan kesan penggunaan kepada badan manusia di makmal hanya digunakan untuk tujuan perubatan tertentu. Ia diberi kepada pesakit yang benar-benar memerlukan oleh pakar perubatan.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad bertajuk `Ramuan Maut' bertarikh 23 April 2000 memaparkan tindakan penagih dadah kelas bawahan melepaskan gian dengan menyuntik dadah mengandungi bahan berbahaya iaitu heroin bersama racun tikus, serbuk lingkaran ubat nyamuk dan kaca mentol lampu.

"Kombinasi bahan asing yang juga beracun tanpa melalui proses ujian makmal semestinya memberi kesan buruk kepada pengguna.

"Setiap bahan dimasukkan ke dalam badan akan diproses. Ia bermula di hati dan dibawa ke buah pinggang untuk tapisan. Bahan ini berupaya merosakkan dan memecahkan sel organ berkenaan, sekali gus mengakibatkan kegagalan organ berfungsi.

"Lebih teruk lagi, sel otak turut mengalami kerosakan disebabkan bahan asing berkenaan," katanya.

Katanya, pengambilan dadah ini melalui suntikan membuka ruang risiko tinggi jangkitan seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV, selain bernanah di kawasan suntikan.

Menurutnya, kematian penagih berlaku disebabkan kegagalan organ berfungsi atau jangkitan hepatitis dan HIV.

Menafikan dadah buatan memberi kesan khayal lebih lama, Dr Hanafiah berkata, dadah buatan juga boleh mengakibatkan ketagihan.

"Individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah dinasihatkan berhenti dan mendapatkan bantuan pusat pemuliharaan disediakan kerajaan untuk menghentikan ketagihan.

"Manakala `pencipta' dadah buatan pula perlu bertanggungjawab dan berhenti merosakkan anak bangsa dan kematian yang sia-sia di usia muda," katanya.

Fakta Dadah

* Polis mengesahkan sebahagian besar penagih dadah terdedah kepada maut akibat 95 peratus kandungan heroin di pasaran tempatan dicampur pelbagai racun berbahaya.

* Dadah buatan itu boleh menyebabkan keadaan penagih dadah lebih kronik seperti mayat hidup. * Kandungan bahan asing terlalu banyak seperti tepung dalam heroin membuatkan kesan khayal tidak seperti diharapkan penagih.

* Heroin palsu yang mempunyai 95 peratus bahan asing berharga antara RM15 hingga RM20 satu tiub, namun tempoh khayal sekadar 15 minit.

* Faktor pengedar memalsukan heroin adalah kesukaran mendapat bekalan heroin tulen dan harga jauh lebih mahal, selain sikap tamak pengedar ingin mendapatkan keuntungan berlipat ganda.

* Serbuk kaca dicampur heroin akan diproses terlebih dulu hingga menjadi halus dan boleh sebati dengan heroin, ia selalunya digunakan untuk membuat racun.

Wanita pelik ketagih makan kemenyan (Pelik tapi benar)

Monday, February 17, 2014 0 Komen

Wanita pelik ketagih makan kemenyan

Apabila menyebut kemenyan, ramai menganggap ia hanya digunakan pengamal perubatan tradisional atau bomoh sebagai alat untuk upacara pengubatan, pemujaan mahupun jika ada kematian, bahkan kemenyan turut dianggap sesuatu yang menyeramkan.

Kemenyan dikatakan berasal daripada damar atau getah kering pokok kemenyan dan digunakan sebagai wangian pada zaman dahulu yang dianggap terbaik serta bernilai tinggi.

Walaupun pelbagai anggapan diberikan, berbeza pula bagi seorang wanita yang menetap di Taman Permai, di sini, apabila kemenyan menjadi makanan hariannya sejak lebih 25 tahun lalu.

Maimunah Hitam, 49, mempunyai keinginan pelik itu sejak 1988 dan seolah-olah ketagih untuk memakannya setiap hari kerana sekiranya tidak berbuat demikian ia didakwa memudaratkan kesihatannya.

Katanya, jika tidak memakan kemenyan, timbul lebam kebiruan pada beberapa bahagian badan selain tubuhnya menjadi lemah dan hilang ingatan menyebabkan dia terpaksa mengunyah dan menelan kemenyan setiap hari.

Pada mulanya, Maimunah berkata, suami dan keluarga tidak mengetahui sehinggalah awal tahun ini, perbuatan peliknya terbongkar lalu dia menceritakan perkara sebenar dan merayu suami membawanya berubat.

Menceritakan permulaan tabiat itu, Maimunah memberitahu ia bermula ketika mengandungkan anak sulung pada 1988 dan perbuatan memakan kemenyan itu berlarutan hingga kini, malah semakin teruk.

"Kebiasaannya wanita mengidam ketika kandungan baru berusia sebulan dua, namun keinginan itu datang ketika usia kandungan sudah pun mencecah tujuh bulan. Pada peringkat awal, saya sangkakan keinginan itu akan hilang sebaik bersalin tetapi tidak.

"Saya akan makan kemenyan ketika suami tiada di rumah dan berseorangan. Apabila kemenyan sudah habis saya akan beritahu suami untuk keluar beli barang dan menyembunyikan kemenyan dalam laci," katanya, ketika ditemui di rumahnya di Taman Permai, di sini.

Maimunah berkata, pernah juga dia cuba menahan diri untuk tidak memakan kemenyan dengan hanya menghidu asapnya.

"Saya akan mengambil ubat nyamuk dan membakarnya lalu kemenyan itu ditaburkan untuk ambil baunya.

Bagaimanapun, cara itu jarang dilakukan kerana keinginan untuk makan kemenyan itu lebih membuak-buak.

"Saya juga pernah tidak mahu memakannya tetapi lain pula yang terjadi apabila badan mula timbul lebam seolah-olah dipukul. Lebih teruk lagi, saya seperti hilang ingatan dan pernah membuang wang ke dalam tong sampah," katanya.

~ HM

Alat muzik kompang

Wednesday, February 12, 2014 0 Komen

Alat muzik kompang

Kompang yang tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang adalah sejenis alat muzik tradisional paling popular bagi masyarakat Melayu.

Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina tetapi ada juga yang diperbuat daripada kulit lembu, kerbau malah getah sintetik.

Kebiasaannya, seurat rotan diselitkan dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu untuk menegangkan permukaan kompang bagi menguatkan bunyinya. Kini, gelung plastik turut digunakan.

Kompang

Terdapat dua bahagian kompang iaitu bahagian muka (ada kulit) dipanggil belulang manakala bahagian badan (kayu) dipanggil baluh.

Kompang perlu diletakkan penegang atau dipanggil sedak iaitu sejenis rotan yang diletakkan antara belulang dan baluh untuk menyedapkan bunyinya.

Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.

Adenan Satem Ketua Menteri Sarawak baru

Wednesday, February 12, 2014 0 Komen

Ketua Menteri Sarawak baru Tan Sri Adenan Satem

Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Februari dan akan digantikan oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng hari ini.

"Apabila saya memaklumkan kepada beliau (Tun Abang Muhammad Salahuddin) mengenai niat saya (untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri), beliau tiada bantahan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak itu di Astana Negeri.

Beliau berkata nama Adenan yang juga anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dicadangkan kepada Tun Abang Muhammad Salahuddin dan beliau bersetuju dan majlis angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu akan diadakan pada 28 Februari.

"Adenan mewakili satu bentuk perjanjian antara tiga calon (yang disebut-sebut mengantikan Taib sebagai Ketua Menteri)," katanya.

Dua lagi calon ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Opengdan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Latar Belakang Adenan Satem

Bapa kepada lima orang anak ini mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik - memenangi kesemua kerusi negeri dan parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu dengan majoriti 4,218 undi pada pilihan raya negeri 16 Mei 2011.

Pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Kerajaan Pusat dari Mac 2004 hingga Februari 2006.

Adenan, 68, juga pernah bertugas sebagai wartawan, guru, majistret dan penasihat perundangan sebelum bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak di kerusi Muara Tuang pada Januari 1979.

Beliau yang menerima pendidikan undang-undang di Australia dan pernah menjadi naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Adenan kini adalah ketua penerangan PBB.

Tokoh politik veteran itu pertama kali dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran negeri sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah pada 1985.

Dua tahun kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negeri di Kementerian yang sama.

Pada 1992 beliau berpindah ke Kementerian Pembangunan Sosial Negeri dan pada 1998, sebagai Menteri di Kementerian yang baru diwujudkan iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri.

Sebagai seorang pentadbir dan pengamal undang-undang, beliau pernah dilantik sebagai pendakwa raya seawal tahun 1969 di Pejabat Pendakwa Raya Adelaide dan pernah berkhidmat sebagai majistret dari 1971 hingga 1972.

Adenan menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1975 dan dilantik sebagai pengerusi Yayasan Sarawak pada 1 Februari 1999 selepas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan itu.

Dan pelantikan Adenan selaku ketua menteri yang baru juga bakal mencatatkan satu sejarah baru untuk negeri Sarawak.

Ini kerana beliau bakal menjadi etnik Melayu yang pertama yang bakal menerajui negeri itu selaku ketua menteri.

Dua ketua menteri sebelum ini iaitu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Datuk Tawi Sli adalah dari etnik Iban manakala Tan Sri Abdul Taib adalah dari etnik Melanau dan begitu juga Tun Abdul Rahman Yakub iaitu bapa saudara Taib.

Dengan pelantikan itu juga, adalah dijangkakan yang Adenan bakal mengambil alih jawatan presiden PBB daripada Taib.

Pendidikan seksual, reproduktif penting

Wednesday, February 12, 2014 0 Komen

Remaja masa kini kekurangan maklumat dan pendidikan berkaitan isu seksual dan reproduktif sehingga berlaku kes kehamilan luar perkahwinan.

Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah pendidikan itu bukan bertujuan menggalakkan remaja mengadakan hubungan seks rambang, sebaliknya ilmu diperoleh dapat digunakan untuk membuat keputusan bijak.

"Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa pendidikan seksual dan reproduktif sangat penting," titah baginda ketika berkenan merasmikan Seminar Generasiku Sayang di Persada Johor di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Raja Zarith Sofiah bertitah, dunia masa kini mementingkan penguasaan ilmu yang perlu ditimba sejak usia muda yang akan menjadi bekalan dan pedoman pada masa hadapan.

Titah baginda, daripada maklumat yang diterima, kehamilan luar nikah agak ketara sama ada di Johor atau negeri lain.

"Sering kita baca di media mengenai kes pembuangan bayi baru lahir, sama ada ditemui masih bernyawa atau sebaliknya.

Kita juga terbaca berita remaja atau wanita muda yang menemui ajal selepas melahirkan anak seorang diri. Cerita seperti ini sungguh mengerikan seolah-olah nyawa manusia itu tiada nilainya.

"Tragedi yang dipaparkan itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk ada yang menjadi mangsa, manakala sebahagiannya lanjutan daripada gaya hidup dan pergaulan bebas," katanya.

Raja Zarith Sofiah bertitah, agensi kerajaan berkaitan wajar menggalak, membantu dan memberi tunjuk ajar kepada pihak yang sanggup memberi perlindungan kepada remaja yang hamil luar nikah.

Titah baginda, pihak yang memberi perlindungan itu diharap dapat memulihkan keyakinan diri remaja untuk meneruskan kehidupan dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.

"Janganlah kita cepat menghukum mereka yang melakukan kesilapan ini," titah baginda.


HINDRAF: Waythamoorthy letak jawatan 10 Februari

Saturday, February 08, 2014 0 Komen

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy akan meletak semua jawatan dalam kerajaan, termasuk Senator, berkuatkuasa 10 Februari ini.

Perkara itu dinyatakan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (HINDRAF) menerusi kenyataan setiausahanya, P Ramesh.

Menurut P Ramesh, Waythamoorty memutuskan untuk meletak jawatan kerana mendakwa kerajaan Barisan Nasional gagal mengotakan janji, biarpun menang Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

HINDRAF menurut Ramesh, melakukan perkara di luar jangkaan, apabila memeterai perjanjian demi kepentingan masyarakat India dan kepercayaan terhadap kepimpinan BN, untuk mengotakan janji.

Ujar Ramesh, selepas 8 bulan,  pertubuhan itu sudah berputus asa.

Justeru, jawatankuasa pusat HINDRAF hari ini setuju sebulat suara supaya Waythamoorthy meletak jawatan daripada semua jawatan kerajaan.

Menurut Ramesh, satu-satunya kekesalan HINDRAF adalah kegagalannya untuk membawa perubahan kepada masyarakat india yang hidup dalam kemiskinan.

Waythamoorthy dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri selepas PRU-13.

Sebelum itu, HINDRAF memeterai perjanjian persefahaman dengan kerajaan pada 18 April untuk berusaha menyelesaikan isu sosio ekonomi melibatkan masyarakat india.

Sementara itu, Waythamoorthy mengesahkan beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

Katanya kepada Utusan Malaysia, peletakan jawatan itu adalah sebahagian daripada keputusan bersama yang dicapai dalam mesyuarat  jawatankuasa pusat HINDRAF.

BRIM 2014 diagihkan 22 Februari

Saturday, February 08, 2014 0 Komen

BRIM 2014 dilancarkan 22 Februari

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 akan dilancarkan pada 22 Februari ini.

Perdana Menteri berkata, pengagihan pada peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula akan berlangsung pada 23 Februari. - UTUSAN ONLINE

Tan Sri Abdul Taib Mahmud lepas jawatan Ketua Menteri Sarawak

Saturday, February 08, 2014 0 Komen

Tan Sri Abdul Taib Mahmud lepas jawatan Ketua Menteri Sarawak


Tan Sri Abdul Taib Mahmud sah akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak dan calon pengganti beliau akan diumum dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Mohammad Asfie Awang Nassar berkata, dalam mesyuarat khas diadakan hari ini, Abdul Taib telah menyuarakan hasrat untuk melakukan peralihan kuasa dan Majlis Tertinggi parti dan kaukus sebulat suara menyerahkan kuasa kepada beliau untuk memilih dan menamakan calon pengganti pilihannya sendiri.

"Beliau diberi masa untuk memilih sendiri calon pengganti dan semua Ahli Majlis Tertinggi parti dan kaukus akan menyokong penuh bakal Ketua Menteri baharu itu.

"Peralihan kuasa akan berlaku sebaik sahaja beliau selesai membuat keputusan mengenai calon pilihan tetapi tarikh sebenar belum diputuskan," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mesyuarat di Ibu Pejabat PBB di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

`African Savana' tarikan baru Zoo Taiping, Night Safari

Thursday, February 06, 2014 0 Komen

`African Savana' tarikan baru Zoo Taiping, Night Safari

Kunjungan ke Zoo Taiping dan Night Safari akan lebih menarik apabila tiga projek bagi meningkatkan kemudahannya hampir siap sepenuhnya dalam usaha menjayakan sasaran sejuta pelawat ke situ.

Pengarahnya, Dr Kevin Lazarus, berkata satu daripada projek itu iaitu trend baharu yang lebih selesa kepada pengunjung untuk mengelilingi laluan hampir tiga kilometer dalam zoo bagi melihat haiwan di situ sudah siap dan beroperasi.

Projek penambahbaikan siap tidak lama lagi

Beliau berkata, dua lagi projek penambahbaikan iaitu Gajah Sungai Perak dalam kawasan 0.6 hektar dan `African Savana' yang terletak di tengah-tengah zoo dijangka siap tidak lama lagi.

Katanya, ketiga-tiga projek itu membabitkan kos RM3.8 juta yang dibiayai melalui peruntukan di bawah projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Gajah Sungai Perak menempatkan kumpulan gajah di habitat yang sesuai termasuk sungai yang airnya mengalir dan akan memberi kemudahan kepada haiwan itu untuk berendam, sekali gus menggambarkan kepada pengunjung mengenai kehidupan sebenar gajah.

"African Savana pula memperlihatkan kehidupan binatang di Savana Afrika secara realiti," katanya ketika ditemui di sini.

Lazarus berkata, lokasi `African Savana' dan Gajah Sungai Perak dilengkapi dengan laluan tren dan stesen bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dan mengambil gambar dengan lebih dekat haiwan berkenaan.

Beliau berkata, pihak Zoo Taiping dan Night Safari juga akan meningkatkan prasarana 12 kandang haiwan di zoo berkenaan yang akan dilaksanakan dan siap selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

"Semua projek yang dilaksanakan di Zoo Taiping dan Night Safari bertujuan menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara untuk berkunjung ke zoo ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Kira-kira 800,000 pengunjung tempatan dan luar negara mengunjungi zoo berkenaan sepanjang tahun lalu.

Ciri-ciri ulama palsu

Thursday, February 06, 2014 0 Komen

Ulama palsu lebih utama kepentingan diri

Islam adalah agama ilmu. Orang berilmu mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam kerana mengenali Wujud yang tertinggi, iaitu Wujud yang hakiki dan pengenalan itu menimbulkan sifat takut dan gerun kepada-Nya (Fatir: 28). Dengan itu al-Quran menggelarkan mereka `ulama' .

Sayyidina Ali RA menyatakan mengenal Allah adalah permulaan agama kerana tidak mungkin seorang hamba benar-benar mengerjakan ketaatan kepada-Nya tanpa mengenali Zat, Sifat dan Perbuatannya.

Mengenal Allah adalah maksud sebenar al-Quran, manakala syariat dan ibadah adalah jalan kepada-Nya. Pastilah nyata keutamaan maksud dan jalan yang menyampaikan kepada maksud.

Takut kepada Allah adalah tanda mengenali-Nya, maka wajiblah kita fahami bahawa mereka yang tidak takut kepada-Nya adalah mereka yang tidak mengenali-Nya. Mereka bukanlah ulama menurut takrifan al-Quran walaupun seluruh manusia menggelarkan mereka ulama. Mereka adalah ulama palsu.

Ciri-ciri ulama palsu

Antara tanda seseorang itu tidak kenal Allah adalah dia berani bercakap sembarangan tentang-Nya, persis percakapan kaum yang kafir yang mengikut hawa nafsu, sedangkan kita ditegah daripada menuruti hawa nafsu mereka setelah datang kepada kita ilmu, yakni petunjuk al-Quran (al-Baqarah: 120).

Ulama palsu tidak takut kepada Allah kerana mereka lebih bimbangkan kedudukan dan kemasyhuran mereka di sisi manusia. Bagi memastikan kedudukan dan kepentingan diri dan puak yang mereka sokong, mereka sanggup menyembunyikan kebenaran dan membiarkan kebatilan.

Contoh kebatilan itu ialah yang dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini bahawa menurut seorang tokoh agama dari Asia Barat, kalimah Allah adalah milik semua manusia. Sekiranya benarlah itu yang dikatakannya, maka ia adalah kebatilan nyata.

Bagaimanakah mungkin dari segi adab untuk kita mengatakan bahawa Nama Allah milik semua manusia sedangkan Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa Nama-nama Yang Indah itu adalah milik-Nya (al-Hashr: 24), iaitu Nama-nama yang Dia berikan sendiri bagi merujuk kepada Zat-Nya.

Oleh itu, sesiapa pun selain daripada-Nya tidak layak untuk menggunakannya. Tiada orang yang akan memakai nama Allah, al-Rahman, al-Rahim dan al-Jabbar melainkan dia benar-benar jahil lagi sesat dan tiada kerajaan Islam akan membenarkan perbuatan seumpama itu dilakukan tanpa pembanterasan.

Yang dibenarkan adalah apabila ditambah di hadapannya perkataan `Abd' yang bererti `hamba.' Maka kita temui nama-nama seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan Abdul Jabbar.

Sekiranya nama itu milik semua manusia, sememangnya tiada masalah untuk sesiapa pun menggunakannya kerana pemilik sesuatu memang berhak memperlakukan apa saja dengan apa yang dia miliki.

Sejarah al-Hallaj

Sejarah menunjukkan bahawa al-Hallaj telah dihukum mati dengan sebab kata-katanya: "Akulah al-Haqq!" Alasannya amat jelas: nama `al-Haqq' itu milik Allah semata-mata, dan ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya bagi merujuk kepada yang selain daripada-Nya. Nasib Hallaj pastilah berbeza sekiranya dia mengatakan: "Ana Abd al-Haqq" (akulah hamba al-Haqq) kerana itu adalah kenyataan yang benar.

Hanya mereka yang tidak kenal Allah dan tidak takut kepada-Nya akan mengeluarkan kenyataan sedemikian. Kenyataan itu ternyata selari dengan pandangan kaum yang disebut dalam al-Quran sebagai pengikut hawa nafsu.

Kenyataan seperti itulah yang dinanti-nantikan oleh puak Katholik yang berkeras bahawa kalimah `Allah' adalah milik semua. Mereka mendakwa `berhak' menggunakan nama itu bagi merujuk kepada sebarang tuhan yang disebut dalam kitab mereka sama ada yang dirujuk sebagai `God' (Allah), `god' (allah), mahupun `gods' (allah-allah).

Ternyata mereka berjaya mengelirukan sebahagian orang Melayu dengan memakai hujah kebebasan beragama. Hakikatnya, ini bukanlah soal hak kebebasan beragama, sebaliknya soal pemalsuan kalimah dan penyelewengan makna.

Malang sekali, terlalu ramai dalam kalangan Muslimin terpedaya kerana bertuankan ulama palsu yang melihat kepentingan politik mengatasi kepentingan agama dan bangsa.

Oleh Md Asham Ahmad
* Penulis adalah Fello Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sinopsis Paku lakonan Aishah Ilias dan Johan

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Sinopsis Paku

Paku mengisahkan Fahmi dan Riana yang terpaksa berpisah kasih kerana Rania meninggal dunia kerana terkena runtuhan kondominium Highland Towers. Rania pergi meninggalkan Fahmi buat selama-lamanya.

Fahmi yang amat mencintai Rania tidak dapat menerima hakikat itu, setiap hari hatinya diruntun derita kerana asyik terkenangkan arwah isterinya sehingga dia sanggup bertemu bomoh untuk menghidupkan semula Rania.

Percubaan mereka berjaya dan Rania kembali ke rumah menyambung semula hidupnya bersama Fahmi dan mereka dikurniakan anak.
Hidup Fahmi turut berubah kerana tiada lagi ayat suci al-Quran kedengaran di rumahnya dan dia juga tidak boleh bersolat. Namun selepas dia beristerikan pontianak, rezekinya semakin murah sehingga dia dinaikkan pangkat.

Pun begitu, yang salah tetapi salah di sisi agama dan masyarakat. Lalu sejauh manakah Fahmi dapat bertahan untuk terus hidup bersama isteri pontianaknya itu? Untuk mengetahui apakah yang berlaku pada mereka, jangan lupa tonton Paku di lakonan hebat Johan dan Aishah.

Filem seram Paku dibintangi  Aishah Ilias, Johan Asari, Wan Hanafi Su, Zaidi Omar, Sidik Hussin, Kamal Adli, Pekin Ibrahim, Azad Jasmin, Diana Johor dan Diddy Hirdy.

Sinopsis Miranda lakonan Dazrin dan Fasha

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Sinopsis Miranda lakonan Dazrin dan Fasha

Miranda mengisahkan Miranda (Fasha) yang melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas berlaku satu insiden yang hampir meragut maruahnya. Setibanya dia kota metropolitan itu, Miranda menumpang di rumah bapa saudaranya, Datuk Shukri (Eizlan Yusof), buat seketika. Namun, kemunculannya mengejutkan anak-anak Shukri iaitu Ammar (Dazrin) dan Melly.

Miranda
Isterinya, Datin Rina (Zila Bakarin) walaupun tidak senang dengan kedatangan Miranda, dia tidak menunjukkan perasaannya tetapi selalu mempersoalkan kepada Shukri.

Akhirnya Rina menghalau Miranda dari rumah mereka dan merahsiakan perkara itu daripada Shukri. Dia pura-pura menyesal kerana menunjukkan rasa tidak suka kepada Miranda. Selepas keluar dari rumah Shukri, Miranda menumpang pula di rumah rakannya, Mazita yang bekerja di stesen minyak.

Dengan pertolongan Mazita, Miranda berjaya mendapatkan pekerjaan di situ. Bagaimanapun, Shukri berjaya menemuinya di situ manakala Izwan terus mencarinya.

Pelakon Miranda: Fasha Sandha,Dazrin, Mardiana Alwi, Zila Bakarin, Datuk Eizlan Yusof, Fauzi Nawawi, Adrea Abdulah, Roy Azman dan Nor Albaniah.

Patung Lilin Red Carpet@i-City dibakar angkara khianat

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Patung Lilin Red Carpet@i-City dibakar

Polis memburu tiga lelaki bertopeng yang membakar patung dalam muzium lilin pertama negara, Red Carpet@i-City selepas meneliti bukti dikemukakan i-Berhad ketika membuat laporan polis mengenai kejadian berlaku Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada i-Berhad berhubung kejadian itu bersama rakaman kamera litar tertutup (CCTV) muzium berkenaan pada 29 Disember lalu.

"Polis meneliti rakaman berkenaan yang diserahkan syarikat itu dan gerakan memburu tiga lelaki memecah masuk muzium sebelum membakar patung berkenaan, kini giat dijalankan.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api," katanya.

i-Berhad dalam kenyataan dikeluarkannya di sini, semalam, menyatakan muzium itu beroperasi seperti biasa dengan hanya menutup bahagian utama pameran untuk kerja baik pulih.

Pengurus Maklumat i-Berhad Tang Soke Cheng berkata, Muzium Lilin Red Carpet@i-City kini dibuka kepada pengunjung dengan bayaran masuk RM5 berbanding RM80 sebelum ini.

"Kerja baik pulih muzium dijangka memakan masa dua bulan termasuk membuat semula patung lilin yang musnah dibakar.

"i-City juga meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar kawasan bagi menjamin keselamatan pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 menyenaraikan i-City sebagai satu daripada tarikan di negara ini," katanya.

Berdasarkan dua rakaman CCTV diberikan i-Berhad, tiga suspek bertopeng dan bersarung tangan membawa beg galas menyembur sesuatu dipercayai cecair pembakar ke arah patung lilin dalam muzium sebelum menyalakan api.

Tang berkata, pihaknya kini menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menyiasat supaya suspek berkenaan dapat ditahan secepat mungkin.

Kubu Tanjung Pengelih

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Kubu Tanjung Pengelih

- Dibina pada 1939 bagi menghalang serangan musuh dari laut.

- Kompleks Pertahanan Tanjung Pengelih dikatakan dibina membabitkan kos 60,000 pound sterling (RM300,000) ketika itu.

- Sebahagian kompleks itu kini terletak dalam kawasan TLDM.

- Tiga kubu pertahanan berbentuk separa bulat boleh ditemui di tepi jalan berhampiran Terminal Feri Tanjung Pengelih.

- Ada yang mendakwa terdapat ruang dan terowong di bawah setiap kubu yang dibina.

- Kononnya terdapat ruang besar yang menempatkan hospital bawah tanah.

- Ada yang mendakwa terdapat binatang berbisa besar tinggal dalam kubu utama di Tanjung Pengelih.


Pada 1939, lebih 20 bangunan termasuk pusat pentadbiran tentera British dibina di kawasan seluas 453 hektar di kawasan berbukit di Tanjung Pengelih, Pengerang sebagai barisan pertahanan di selatan Tanah Melayu jika diserang musuh.

Kompleks pertahanan itu turut menempatkan pos kawalan tentera, tempat perlindungan serangan udara, kediaman tentera, padang menembak, kubu pertahanan, dewan perjumpaan, tempat rawatan pesakit, tiga banglo dan bilik jana kuasa bawah tanah.

British menjangka musuh akan menyerang dari laut, selain bertujuan melindungi Singapura yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan British di Tanah Melayu ketika itu.

Ketika Perang Dunia Kedua, anggapan Jepun menyerang melalui laut ternyata meleset apabila tentera negara matahari terbit itu menggunakan jalan darat menakluk Tanah Melayu dan Singapura hanya dalam tempoh tujuh minggu.

Selepas mendarat di Tumpat, Kelantan pada 8 Disember 1941, tentera Jepun meneruskan penaklukan ke atas Tanah Melayu dengan berbasikal dan pada 14 Januari 1942, mereka mula menggempur Johor.

Kini, 69 tahun selepas Jepun menyerah kalah, kompleks pertahanan itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah yang tidak ramai mengetahui kewujudannya. Malah, binaannya tidak mungkin dapat dilihat orang awam kerana sebahagian besar daripada kompleks itu kini berada dalam kawasan KD Sultan Ismail, milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Namun, peninggalan binaan kubu pertahanan yang tidak dijaga dan dipenuhi semak itu boleh dilihat di tepi jalan berhampiran Terminal Feri Tanjung Pengelih.

Dibina menghadap laut

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Norazam Osman, berkata kubu berkenaan dibina menghadap laut sebagai strategi British untuk mengekang musuh yang menyerang Tanah Melayu, namun strategi itu gagal dengan penaklukan Tanah Melayu dan Singapura di tangan Jepun.

Sementara itu, pesara guru, Mohd Amin Jantan, 74, yang pernah merasai pengalaman hidup di zaman penjajahan Jepun di Kota Tinggi, berkata kubu itu sepatutnya boleh menghalang serangan tentera negara matahari terbit itu.

Kubu ditinggalkan

"Kubu itu memang utuh, namun ia tidak sempat digunakan tentera British kerana ketika itu mereka banyak memberi tumpuan mempertahankan Johor Bahru dan Singapura daripada jatuh ke tangan Jepun.

"Jumlah anggota tentera British yang bertahan di Kota Tinggi tidak ramai. Mereka lebih mengutamakan Johor Bahru dan kebimbangan mereka lebih pada serangan ke atas Singapura. Mereka sudah tersilap strategi dan takutkan sangat dengan kemaraan tentera Jepun, akhirnya, kubu pertahanan itu ditinggalkan begitu sahaja," katanya.

Perlu diwartakan

Beliau berharap kerajaan negeri dapat mengambil inisiatif dengan mewartakan kubu terbabit untuk dijadikan sebagai lokasi bersejarah bagi tatapan generasi akan datang.

"Difahamkan, tentera Indonesia pernah memasuki kubu terbabit ketika era konfrantasi Malaysia-Indonesia. Mereka dikatakan memasuki kubu utama di Tanjung Pengelih sebelum dilihat keluar di Kampung Teluk Ramunia kira-kira 20 kilometer dari Tanjung Pengelih. Bagaimanapun, cerita ini hanya buah mulut penduduk setempat," katanya.

Kos tinggi untuk baik pulih

Peninggalan sejarah ini perlu dipelihara kerana ia adalah bukti penjajahan British dan serangan Jepun yang pernah berlaku di negara ini.

Pegawai Daerah Kota Tinggi yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Kota Tinggi, Mohd Norazam Osman, berkata beliau bersama beberapa ahli persatuan berkenaan pernah mengunjungi kompleks terbabit. Bagaimanapun katanya, tiada sebarang usaha dilakukan untuk membaik pulihnya kerana memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Pejabat Daerah memang ada cadangan untuk membaik pulih kubu berkenaan. Antaranya dengan meletakkan papan tanda yang mengisahkan kewujudan kubu terbabit. Cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan boleh diambil," katanya.

Beliau berkata, selain di Tanjung Pengelih, empat kubu pertahanan yang dibina British ketika itu boleh ditemui di bandar Kota Tinggi dan di Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Mawai.

"Dua daripadanya boleh dilihat masih utuh di Kampung Tembioh dan Kampung Mincu dalam bandar Kota Tinggi. Kedua-dua kubu itu dibina berhadapan Sungai Kota Tinggi dan satu daripadanya berhadapan Makam Laksamana Bentan.

"Bagaimanapun, kita masih mengkaji kaitan antara empat kubu terbabit dengan kompleks yang dibina di Tanjung Pengelih," katanya.

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim; Amad Bahri

Terowong maut digali kerana mimpi harta karun emas

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Terowong maut digali kerana mimpi harta karun emas

Lawas: Terowong buatan sendiri yang meragut nyawa dua beradik di atas di bukit Kampung Lintang Baru di sini, semalam digali sejak kira-kira dua bulan lalu selepas seorang penduduk dikatakan bermimpi ada harta karun tertanam di situ.

Pasangan adik-beradik Gelawat Singa, 59, dan Raut Singa, 51, maut selepas terperangkap dalam terowong akibat terhidu asap mesin pengepam air ketika menyedut air bertakung keluar dari terowong berkenaan.

Menurut seorang mangsa yang terselamat, Anuar Abdullah, 18, seorang rakan mereka sebelum ini ada bermimpi seseorang datang memberitahu di atas bukit itu ada harta karun dan bagi mendapatkannya mereka perlu menggali lubang.

Katanya, berikutan itu, mereka mula menggali lubang seperti dinyatakan dalam mimpi itu sejak kira-kira dua bulan lalu.

"Rakan kami sering bercerita mengenai seseorang yang hadir dalam mimpinya dan mendakwa ada harta karun di kawasan sempadan, jumlahnya agak banyak menyebabkan kami teruja lalu terus memulakan kerja penggalian.

"Kami menjalankan kerja menggali secara manual dan mendirikan pondok di atas terowong itu bagi mengelak ia dimasuki hujan selain membina tangga bagi memudahkan urusan keluar masuk," katanya.

Menurutnya, rakan itu mendakwa mereka perlu menggali terowong berbentuk 'L' bagi memudahkan untuk tiba ke tempat harta karun itu dipercayai tersembunyi.

"Sehingga semalam, kami sudah menggali sedalam 20 meter. Mengikut mimpi itu, masih ada beberapa meter perlu digali, tetapi tidak sangka ia berakhir tragedi ngeri seperti ini," katanya yang kini dirawat di Hospital Lawas.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Feanndy Chiar Ejon, 17 berkata, dia sempat menyelamatkan diri keluar dari terowong berkenaan selepas melihat rakan lain mula lemah selepas terhidu gas.

Katanya, bagi mengelakkan daripada pengsan, dia bergegas keluar menyelamatkan diri dan mendapatkan bantuan penduduk kampung bagi membantu rakan yang terperangkap dalam terowong.

"Saya bersyukur kerana terselamat, tetapi sedih kerana akibat taasub untuk cepat kaya, saya sanggup menggadai nyawa hingga dua rakan kami terkorban," katanya.

Aisyah ingin belajar loghat Kelantan dan Bahasa Melayu

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

'Saya nak belajar loghat Kelantan'

 "Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk belajar bercakap loghat Kelantan dan bahasa Melayu," kata Aisyah Azizul Raheem, 15, anak sulung pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden, baru-baru ini mengenai persiapannya untuk bersekolah di negeri itu.

Aisyah berkata, sehingga kini, dia masih tidak dapat bercakap dan memahami loghat Kelantan kerana baru beberapa hari tinggal di negeri ini sejak kelmarin.

"Saya tidak tahu perkataan lain, tapi saya akan mencuba untuk belajar bercakap dan memahami loghat Kelantan dan bahasa Melayu," katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Wakaf Tok Wali, di sini, semalam.

Aisyah berkata demikian selepas dia bersama adik-beradiknya menerima surat penempatan untuk bersekolah di negeri itu yang disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Zahari Daud.

Aisyah dan adiknya, Ammar, 13, akan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Padang Kala manakala Adam, 12, dan Arif, 8, akan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, di sini.

Menurut Aisyah, dia teruja untuk memulakan persekolahan di sekolah baru, namun turut berasa takut tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru.

Katanya, sehingga kini dia belum sempat membuat persiapan termasuk membeli pakaian dan peralatan persekolahan berikutan menerima ramai pengunjung yang datang ke rumah melawatnya dan adik-beradik lain.

"Saya takut, namun pada masa sama gembira dapat bersekolah. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan berharap akan mendapat ramai kawan," katanya.

Jangan mudah percaya iklan di Internet

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Jangan mudah percaya iklan di Internet

"Zaman semakin maju dan ramai mempunyai tujuan tidak baik. Sehubungan itu, jangan mudah percaya dengan apa dipaparkan di Internet kerana sukar untuk kita kenal pasti kesahihannya terutama urusan jual beli dalam talian," kata Pengarah Komunikasi Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman.

Beliau berkata, sebagai pengguna dan pembeli, masyarakat perlu berhati-hati dan bijak melakukan pembelian melalui Internet kerana kebelakangan ini, banyak kes penipuan dilaporkan, terutama membabitkan kelewatan barangan dijanjikan.

"Tahun lalu, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima kira-kira 3,650 aduan, iaitu 10 aduan sehari membabitkan penipuan pembelian secara dalam talian.

"Kebanyakan kes penipuan yang dilaporkan merujuk kepada pembelian dengan pihak tidak dikenali menerusi laman web sosial seperti Facebook dan Instagram," katanya.

Menurutnya, justeru, masyarakat perlu mengelak daripada membeli menerusi laman web sosial.

Busut kaki judi dirobohkan

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Sebuah busut yang menjadi tumpuan kaki judi untuk memuja nombor ekor dimusnahkan dalam satu operasi dilakukan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Bukit Tinggi di Kampung Londang, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 12 tengah hari diketuai Ketua Penguatkuasa JAIM Rahimin Bani itu, beberapa bangunan yang didirikan di sekitar busut berkenaan turut dimusnahkan.

Difahamkan, kedudukannya yang terpencil di puncak bukit itu menjadikannya tumpuan kaki judi melakukan pemujaan sehingga sanggup membawa haiwan ternakan, makanan dan barangan antik bagi mendapatkan nombor ramalan.

Rahimin berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam dan pemeriksaan di kawasan berkenaan mendapati terdapat lapan struktur bangunan yang dibina berhampiran busut terbabit.

"Busut yang dikelilingi tembok batu marmar itu turut dililit dengan kain kuning. Selain itu, sebatang pokok besar di sebelahnya turut dibaluti kain berwarna sama dipercayai menjadi tempat pemujaan.

"Tidak dinafikan lokasi pemujaan ini menjadi tumpuan berdasarkan keadaan colok yang digunakan selain terdapat kertas kecil tertera nombor ramalan," katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, di sini, semalam.

Operasi pemusnahan tempat pemujaan itu turut disaksikan Timbalan Mufti negeri Mohd Mohaddis Yassin, Yang Dipertua MPAG Murad Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar.

Rahimin berkata, beliau percaya laluan ke lokasi pemujaan itu diturap individu yang pernah memenangi nombor ekor dan tindakan meletakkan papan tanda 'Dilarang Berjudi' di kawasan berkenaan dilakukan golongan terbabit untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, operasi memusnahkan tempat pemujaan nombor ekor itu dilakukan bagi mencegah aktiviti berkenaan yang bercanggah dengan syariat Islam.

"Senario pemujaan ini dilihat sebagai satu masalah serius kerana membabitkan individu yang beragama Islam dan akan disiasat mengikut Seksyen 69 Enakmen Kesalahan Syariah atas kesalahan pemujaan.

"Diharap dengan tindakan memusnahkannya, ia dapat memastikan lokasi ini tidak disalah guna individu tidak bertanggungjawab," katanya.

Krabi Thailand destinasi baru Malaysia Airlines System (MAS)

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Krabi destinasi baru penerbangan MAS

Malaysia Airlines System (MAS) yakin penerbangan ke Krabi, Thailand akan menjadi satu lagi destinasi pilihan pelanggannya, selepas Phuket dengan faktor muatan dijangka mencecah 80 peratus.

Naib Presiden Kanan Serantaunya Datuk Muzammil Mohamad berkata, penerbangan empat kali seminggu iaitu setiap Isnin, Selasa, Jumaat dan Sabtu mulai semalam, menggunakan pesawat B737-800 yang mempunyai 160 tempat duduk.

Beliau berkata, Thailand memang menjadi destinasi penting bagi Malaysia dan ketika ini MAS menawarkan 35 penerbangan seminggu ke Bangkok serta 21 penerbangan seminggu ke Phuket.

"Jadi, Krabi satu lagi lokasi yang menjadi pilihan kami kerana ia juga seperti Phuket kawasan yang mesra keluarga, selain mudah mendapat makanan halal.

"Kita bermula dengan penerbangan empat kali seminggu dulu dan meningkatkan kekerapan sehingga lima kali seminggu pada Mac, sebelum bercadang menyediakan penerbangan setiap hari ke Krabi menjelang pertengahan tahun ini," katanya ketika ditemui media selepas meraikan penumpang penerbangan sulung ke Krabi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Muzammil berkata, MAS juga sedang mengkaji menambah kekerapan di lokasi sedia ada dan menyediakan laluan ke destinasi baru sebagai usaha mengukuhkan lagi syarikat penerbangan nasional negara itu.

Beliau berkata, usaha itu perlu dilakukan seiringan, terutama lokasi yang sering menjadi pilihan pelanggan dan bagi penerbangan tempatan, MAS merancang menambah kekerapan ke beberapa destinasi seperti Kuching, Kota Kinabalu, Alor Setar, Langkawi serta Pulau Pinang.

 

ZONFINITI