Showing posts with label Isu Sosial. Show all posts
Showing posts with label Isu Sosial. Show all posts

Syor ganti hukuman penjara dengan program sosial utk pesalah dadah wanita

Friday, March 06, 2015 0 Komen

Syor ganti hukuman penjara dengan program sosial utk pesalah dadah wanita

Hukuman penjara untuk pengguna dadah wanita di Malaysia perlu digantikan dengan pelbagai program sosial dan kesihatan, demikian dasar yang disyorkan oleh Majlis AIDS Malaysia (MAM).

Pengurus Dasar MAM, Fifa Rahman berkata, pengguna dadah wanita memerlukan sokongan padu tanpa syarat daripada keluarga dan masyarakat dan menyisihkan mereka hanya memburukkan keadaan golongan itu.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan laporan berjudul: 'Segalanya Saya Tanggung Sendiri: Taklimat Ringkas Dasar Mengenai Wanita Yang Menggunakan Dadah di Malaysia', hasil tulisan beliau dan Sarah Iqbal sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Ahad ini.

Laporan itu berdasarkan kajian melibatkan 38 pengguna dadah wanita di Lembah Klang, Kelantan, Johor dan Pulau Pinang yang dijalankan dari September 2013 hingga Februari 2015.

Kajian di bawah Projek Tindakan Asia (2013-2015) dibiayai oleh Kesatuan Eropah dengan bantuan teknikal daripada Pakatan HIV/AIDS Antarabangsa.

Fifa berkata, terdapat keperluan segera untuk kajian khusus gender berikutan pengguna dadah wanita memerlukan rawatan berbeza dan kebanyakan perkhidmatan pemulihan dadah di negara ini tertumpu kepada golongan lelaki.

"Wanita yang menggunakan dadah mengalami risiko berbeza dan keperluan unik serta memerlukan khidmat khusus berbanding rakan lelaki mereka," katanya.

Laporan itu menyebut wanita memerlukan rawatan yang mengintegrasikan aspek berkaitan kanak-kanak, seksual dan kesihatan reproduktif, kaunseling dan keganasan domestik di samping menghadapi peningkatan stigma daripada masyarakat.

Laporan itu menyatakan wanita yang ditemu bual dalam kajian itu adalah dari latar belakang kemiskinan atau kurang sumber dengan kebanyakan daripada mereka gagal menamatkan pendidikan sekolah menengah dan berkahwin muda pada usia bawah 20 tahun.

Kanak-kanak daripada beberapa wanita itu dipisahkan daripada mereka sama ada oleh agensi khidmat sosial atau ahli keluarga jauh dan beberapa daripada mereka juga mengalami keganasan seksual oleh pasangan mereka.

Justeru, laporan itu mengesyorkan antara lain keperluan kaunseling khusus bersepadu dalam program rawatan di pusat pemulihan, bantuan mengenai keganasan rumah tangga dan bengkel pemikiran positif.

Laporan itu turut menyarankan supaya program wanita di pusat tahanan juvana dinilai semula untuk keberkesanan dan menangani masalah peminggiran dan mengurangkan risiko bahaya serta dinilai keserasian dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanank-Kanak.

Ia juga mengesyorkan pengukuhan kerjasama antara agensi berhubung dengan golongan wanita yang terbabit dalam gelaja dadah seperti Kementerian Pendidikan dalam masalah keciciran pelajar.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam soal memperkenalkan khidmat rawatan khusus kepada pengguna dadah wanita dan Kementerian Dalam Negeri berhubung soal penguat kuasaan undang-undang berkaitan dadah dan pengurusan pusat tahanan untuk penagih dadah.

Laporan itu boleh diperoleh atas talian dan boleh dimuat turun di http://bit.ly/1GQVvff. - Bernama

Luahan hati ibu Ainaa Amanda,murid comel Tahun 1 kudung tangan

Thursday, January 15, 2015 0 Komen

Luahan hati ibu Ainaa Amanda,murid comel Tahun 1 kudung tangan

“Saya bersyukur dikurniakan seorang anak yang tabah. Walaupun dengan kekurangannya dan kadangkala dicemuh rakan sekolah, dia tetap teruja untuk bersekolah,” kata Habibah Hassan, 42, ibu kepada Ainaa Amanda Shahzali, 7, yang lahir tanpa pergelangan tangan kanan sejak lahir.

Kanak-kanak itu kini menjadi perhatian selepas video perbualannya dengan ibunya itu di dalam kereta selepas pulang dari sekolah menjadi ‘viral’ di media sosial sejak Isnin lalu.

Ainaa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Penghulu Jusoh Tobiar, Pendang, Kedah teruja bercerita pengalamannya pada hari pertama persekolahan, termasuk mengadu ada rakan mengejek dia tiada tangan sebelum dipujuk ibunya dengan kata-kata semangat dalam video berdurasi tiga minit 23 saat itu.



Ramai yang memuji semangat yang ditunjukkan Ainaa dan kata-kata semangat yang diberikan oleh Habibah kepada anak kesayangannya itu.

Habibah berkata, Ainaa pernah bertanya kepadanya mengapa nasibnya begitu dan dia memaklumkan pergelangan tangan kanan anaknya itu sebenarnya ada di syurga.

Katanya, dia sentiasa memberi kata-kata semangat kepada anaknya itu dan bersyukur Ainaa tabah walaupun kadangkala dicemuh rakan sekolah.

“Saya menjadi tempat Ainaa meluahkan kesedihan selepas pulang ke rumah. Saya bersyukur dikurniakan seorang anak yang tabah kerana dengan kekurangannya dan kadangkala dicemuh rakan sekolah, dia tetap teruja untuk bersekolah.

“Saya tak marah kanak-kanak yang mengejek Ainaa kerana mereka tidak tahu apa-apa. Apa yang saya lakukan, saya jelaskan keadaan Ainaa kepada mereka dengan harapan mereka terus menjadi kawan dan memberi semangat kepada anak saya itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Habibah yang juga ibu tunggal selepas berpisah dengan suaminya dua tahun lalu, anaknya itu cukup istimewa buat dirinya kerana dilahirkan selepas 11 tahun berkahwin sebelum ini.

“Saya harap ibu bapa yang ada anak Orang Kurang Upaya (OKU), tabah dan sentiasa memberi semangat kepada mereka,” katanya yang berniaga sendiri.

Pelajar tahun akhir terpaksa rela dicabul pensyarah

Monday, April 07, 2014 0 Komen

Pelajar tahun akhir terpaksa rela dicabul pensyarah

Seorang pelajar perempuan dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) negeri ini mendakwa terpaksa merelakan diri dicabul kerana bimbang digagalkan dalam subjek yang diajar pensyarahnya.

Mangsa berusia 20 tahun itu terpaksa bertahan diperlakukan sedemikian selama beberapa bulan kerana bimbang jika perkara itu didedahkan, pensyarah berkenaan dengan sengaja menggagalkan subjek itu dalam peperiksaan akhir semester yang berakhir bulan lalu.

Bagaimanapun, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Arau, sejurus selesai menduduki peperiksaan akhir semester.

Sumber berkata, kejadian terbaharu berlaku pada 28 Mac lalu, ketika mangsa dan dua rakannya berada di bilik pensyarah itu untuk mengulangkaji pelajaran.

“Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa bersama dua rakannya itu diminta datang ke bilik pensyarah berkenaan, sebelum pensyarah berusia 40-an itu duduk di sebelah mangsa,” katanya.

Mangsa seterusnya dicabul kehormatan termasuk dengan menyentuh payu daranya oleh pensyarah berkenaan.

“Mangsa juga didekati pensyarah itu dan dengan sengaja meraba bahagian kakinya hingga ke bahagian dada beberapa kali.

"Mangsa terkejut dan cuba menghalang perbuatan itu, namun bimbang digagalkan pensyarah terbabit dalam subjek itu kerana peperiksaan sangat hampir dan membiarkan suspek berbuat sedemikian,” katanya.

Sumber berkata, mangsa turut mendakwa beberapa rakannya turut menjadi mangsa pensyarah itu dan perkara itu turut dimaklum kepada pengurusan IPT itu.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis pelajar itu yang dibuat di Balai Polis Arau terhadap pensyarah terbabit.

“Kita sudah terima laporan polis itu dan kes kini dalam siasatan polis. Beberapa keterangan telah diambil terutama daripada pelajar berkenaan,” katanya.
 

Gadis ketagih pil kuda rela tubuh di noda banyak lelaki

Monday, April 07, 2014 0 Komen

Gadis ketagih pil kuda rela tubuh di noda banyak lelaki

Demi memenuhi tuntutan hawa nafsu, seorang gadis belasan tahun bukan sahaja mengaku ketagih pil kuda, malah turut merelakan mahkota kewanitaannya dinodai teman lelaki yang juga mat rempit.

Lebih mendukacitakan apabila perbuatan biadab itu dilakukan berulang-kali di rumah ketika ibu bapanya ada bersama.

Rahsia keruntuhan moral gadis berusia 17 tahun itu dikongsi bersama Sinar Harian selepas dia ditahan polis ketika bersama sekumpulan mat rempit dalam satu operasi, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Menceritakan kehidupannya, gadis berambut panjang paras bahu itu berkata, dia mula mengambil pil kuda ketika berusia 14 tahun dan menuntut di tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Dungun.

Menurutnya, akibat masalah disiplin kerana sering ponteng, dia dibuang sekolah sebelum meneruskan persekolahan di sebuah sekolah menengah yang lain.

Bagaimanapun katanya, selepas itu dia turut dibuang sekolah sekali lagi kerana masalah sama.

"Saya pernah ditahan polis beberapa kali ketika sedang khayal bersama sekumpulan penagih di port dadah. Saya dapat bekalan dadah dengan mudah daripada teman lelaki yang kebanyakannya kaki motor.

"Mengambil dadah merupakan perkara biasa sejak empat tahun lalu dan kini saya masih menagih pil kuda,” katanya tanpa segan-silu.

Menurut gadis berasal dari Nibong itu, dia juga pernah membawa teman lelakinya pulang ke rumah dan sering melakukan hubungan seks bebas dengan pasangannya, biarpun ketika itu ibu bapanya ada bersama.

Malah dia mengakui, selain mengambil dadah, dia juga sering menjadi pembonceng ketika teman lelakinya melakukan aksi berbahaya di jalan raya, selain kerap bertukar pasangan untuk melakukan hubungan seks.

Kata anak keempat daripada lima beradik itu lagi, ibunya yang kini berstatus ibu tunggal selepas ayahnya meninggal hampir setahun lalu, sudah puas menasihatinya namun dia masih gagal meninggalkan tabiat buruk itu biarpun menyedari natijah bakal menimpa dirinya.

Dia juga mengakui, antara punca dia terjebak dengan gejala sosial adalah disebabkan kurangnya didikan agama daripada keluarga, selain pengaruh rakan sebaya.

Gadis itu berkata, sebelum ditahan, dia baru sahaja mengambil pil kuda yang diperolehnya daripada rakan, yang kadangkala turut diambilnya sebelum melakukan hubungan seks dengan pasangan.

Selepas saringan air kencing, dia didapati positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani mengesahkan penahanan gadis 17 tahun itu bersama teman lelakinya dalam operasi bersepadu dilakukan di sekitar bandar Dungun, malam kelmarin. ~ SH

Jangan mudah percaya iklan di Internet

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Jangan mudah percaya iklan di Internet

"Zaman semakin maju dan ramai mempunyai tujuan tidak baik. Sehubungan itu, jangan mudah percaya dengan apa dipaparkan di Internet kerana sukar untuk kita kenal pasti kesahihannya terutama urusan jual beli dalam talian," kata Pengarah Komunikasi Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman.

Beliau berkata, sebagai pengguna dan pembeli, masyarakat perlu berhati-hati dan bijak melakukan pembelian melalui Internet kerana kebelakangan ini, banyak kes penipuan dilaporkan, terutama membabitkan kelewatan barangan dijanjikan.

"Tahun lalu, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima kira-kira 3,650 aduan, iaitu 10 aduan sehari membabitkan penipuan pembelian secara dalam talian.

"Kebanyakan kes penipuan yang dilaporkan merujuk kepada pembelian dengan pihak tidak dikenali menerusi laman web sosial seperti Facebook dan Instagram," katanya.

Menurutnya, justeru, masyarakat perlu mengelak daripada membeli menerusi laman web sosial.

Lelaki perlu bataskan hubungan dengan pekerja wanita

Monday, December 16, 2013 0 Komen

Batas hubungan elak terjebak

Lelaki berkeluarga dinasihatkan supaya membataskan hubungan dengan pekerja wanita di bawah seliaan mereka untuk mengelak terjebak dengan cinta terlarang yang seterusnya boleh menyebabkan berlaku zina.

Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Zawiyah Hassan berkata, hubungan kerjaya antara bos lelaki dan pekerja wanita mempunyai potensi untuk terjerumus ke lembah maksiat jika tidak mempunyai batasan sewajarnya.

"Walaupun ia bukan perkara baru, kita tidak mahu masyarakat terus hanyut dalam kemaksiatan kerana kebanyakan pekerja wanita warga asing datang ke negara ini tujuan utamanya untuk mencari rezeki.

"Sebagai ketua atau majikan, terutama beragama Islam, mereka sepatutnya bertindak sebagai pelindung dan tidak mengambil kesempatan ke atas pekerja asing dengan menjadikan segelintirnya pemuas nafsu, perempuan simpanan atau teman sosial.

"Tindakan ini menunjukkan lelaki berkenaan gagal mengawal nafsu disebabkan nipisnya iman dan dibimbangi membawa penyakit sosial.

"Ingatlah, Allah SWT akan membalasnya dengan memberi pelbagai dugaan di dunia lagi," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Beliau yang kini penceramah bebas berkata, tindakan pekerja kilang wanita warga asing mengambil kesempatan menggoda bos sebagai cara mencari wang lebih mungkin disebabkan mereka lemah iman dan berpendirian akan bertaubat apabila pulang ke negara asal.

Katanya, soal `buat dulu kemudian bertaubat' sepatutnya tidak menjadi amalan kerana dosa melakukan zina sangat besar dan pembalasan Allah di dunia dan akhirat sungguh berat.

"Seronok tu sekejap saja... akhirnya wang habis dikikis dan menjerat leher sendiri. Apabila rumah tangga porak-peranda dan anak isteri lari serta kes penceraian meningkat, ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua.

"Ingat, Allah boleh menarik rezeki bilabila masa jika suami yang menjadi tonggak keluarga hilang arah. Perkukuh keimanan dan ekonomi keluarga dan jangan sibuk memenuhi tuntutan nafsu serakah jika mahu hidup sejahtera di dunia dan akhirat," katanya.

Masalah sosial di kalangan muda makin parah

Monday, December 02, 2013 0 Komen

Masalah sosial di kalangan muda makin parah

Masalah sosial membabitkan golongan muda khusus remaja menjadi semakin serius dan berada di tahap membimbangkan malah ada yang tidak takut untuk bersekedudukan.

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, sudah sampai masanya Majlis Pembangunan Remaja Negara (MPRN) ditubuhkan dalam menangani masalah ini dan mencari pendekatan sesuai sebagai jalan penyelesaian.

"Merujuk pada elemen usia aktif seksual, sebelum ini ia bermula pada usia 25 tahun. Namun pada masa kini menunjukkan usia 15 tahun sudah mencapai tahap usia aktif seksual," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, usaha menangani masalah sosial remaja perlu dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

"Sepatutnya jawatankuasa khusus diwujudkan atau MPRN ditubuhkan manakala modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh dimasukkan bersama. Kita tidak mahu melihat remaja yang mempunyai tenaga positif menjadi negatif," katanya.

Dr Mohamed Fadzil mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai bekas pasangan kekasih yang juga penuntut sebuah kolej di ibu negara yang terlanjur sehingga wanita itu melahirkan anak tak sah taraf.

Laporan itu menyatakan lelaki terbabit berketurunan Syed tidak dapat mengahwini kekasihnya itu kerana halangan keluarga, tetapi masih bertanggungjawab membesarkan zuriatnya itu bersama kedua-dua ibu bapanya.

Lelaki yang dikenali sebagai Syed Haiqal, 22, berusaha merahsiakan identiti sebenar anaknya dengan panggilan abang dan adik manakala ibu bapanya memberitahu jiran bayi itu adalah anak angkat diambil daripada keluarga daif.

Katanya, sikap remaja terjebak dalam masalah sosial berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya keinginan tinggi terhadap melakukan kesalahan, kurang input sosial, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan cabaran media sosial.  ~ metro

Remaja ditahan kerana muat turun filem tanpa kebenaran

Monday, November 25, 2013 0 Komen

Tiga remaja lelaki berumur 15 hingga 18 tahun ditahan dalam serbuan di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing pada 29 Oktober dan 8 November lepas kerana memuat turun filem tempatan tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Roslan Mahayudin berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan dalam Operasi Spyglass itu diletakkan di bawah jaminan polis, dan telah dibenarkan menduduki peperiksaan PMR dan SPM.

Katanya operasi bahagian penguatkuasaan KPDNKK yang disertai 10 pegawai termasuk dari bahagian Cybersecurity Malaysia itu turut merampas tiga unit komputer riba, satu unit broadband, dua unit router dan dua unit modem bernilai RM12,000.

Antara filem yang dimuat turun ialah "KL Gangster 2", "KL Zombie" dan "Tanda Putra" dalam laman web:www.allinoneatheremovie.blogspot.com; www.pjsenter.com dan www.piratesbytez.com., kata dalam sidang media di sini hari ini.

Mereka adalah remaja pertama ditahan di bawah Ops Spyglass dan boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya RM2,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah di bawah Seksyen 41 1(G) Akta Hakcipta 1987.

"Walaupun di bawah umur tindakan tetap diambil di bawah undang-undang sedia ada. Serbuan dilakukan atas aduan pemilik hakcipta dan orang ramai berhubung laman web yang dijadikan sebagai portal untuk memuat-turun atau tayangan (streaming) filem-filem tempatan tanpa kebenaran pemilik hakcipta.

"Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, mereka memaklumkan bahawa filem-filem yang disediakan di dalam laman web/blog seliaan mereka diperolehi sumbernya daripada laman/blok lain,"katanya.

Katanya antara laman web yang paling terkenal ialah www.ganool.com yang didapati beroperasi di Jawa Timur, Indonesia yang dikendali seorang remaja, selain sumber filem lain dari http://pencurimovie.sx dan http://moviepecah.blogspot.com.

Menurut Roslan bahagian penguatkuasaan KPDNKK juga akan mengeluarkan notis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang akses laman sesawang tersebut mengikut Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Roslan menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengawasi dan memantau aktiviti siber anak-anak mereka supaya mereka tidak melakukan sebarang aktiviti siber yang menyalahi undang-undang. - BERNAMA

Ikan, sayur diselaputi bahan kimia

Thursday, November 21, 2013 0 Komen

Kuala Lumpur: Ikan dan sayur yang sentiasa segar tanpa mengira masa di sebuah pasar raya terkenal, di sini, sebenarnya tersembunyi rahsia di sebaliknya.

Ikan segar dan sayur yang siap dibungkus dalam plastik kelihatan hijau setiap masa kerana dipercayai mengandungi bahan kimia yang tinggi bagi mengekalkan kesegarannya.

Kewujudan bahan kimia ini disedari berdasarkan pengalaman seorang pengguna yang mengadu tangannya sering terasa pedih setiap kali menyentuh ikan dan sayur yang dibeli dari pasar raya berkenaan.

Tangan pedih

Pengunjung tetap pasar raya itu, Masood Md Akid, 59, mendakwa beberapa kali menguji ikan dan sayur yang dibeli dari pasar raya berkenaan dan mendapati tangannya pedih seperti terkena bahan peluntur atau cili padi.

"Selalunya saya akan beli ikan kembung dan sayur sawi batang putih atau kubis Cina yang siap dibungkus di pasar raya berkenaan tetapi saya perasan setiap kali direndam dan dibasuh, tangan akan terasa pedih.

"Sayur yang direndam pula akan terasa melekit dan seperti ikan, airnya jika disentuh akan menyebabkan rasa pedih walaupun selepas direndam lebih sejam," katanya.

Masood berkata, beliau bimbang dengan tindakan pasar raya yang sanggup menggunakan bahan kimia berlebihan kerana kebanyakan pengunjung adalah peniaga kedai makan.

Jejas kesihatan

Katanya, jika ikan dan sayur berkenaan tidak dicuci bersih, bahan kimia itu dikhuatiri akan meninggalkan kesan kepada orang ramai yang memakannya.

"Sebagai pengguna, saya simpati dengan orang ramai yang makan di kedai makan yang membeli bahan dari pasar raya ini.

"Jika tidak dicuci dengan betul, bahan kimia ini akan meninggalkan kesan jangka panjang seperti sakit buah pinggang dan sakit saraf," katanya.

Kandungan pengawet tinggi

Pakar kimia Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mohd Jamil Maah, berkata bahan kimia yang dimaksudkan itu mungkin pengawet yang biasa digunakan, dikenali sebagai Formalin.

"Berdasarkan apa yang dialami pengguna, mungkin jari atau tangannya terkena bahan kimia yang dinamakan Formalin iaitu larutan formaldehid yang dicampurkan dengan air.

Penggunaan berlebihan berbahaya

"Formalin biasa digunakan sebagai pengawet dalam makanan. Mungkin kandungannya agak tinggi sehingga menyebabkan kepedihan kepada kulit dan lebih sensitif kalau ada sedikit luka," katanya.

Mohd Jamil berkata, lazimnya peniaga tidak menggunakan bahan ini secara berlebihan kerana berbahaya dan dilarang penggunaannya dalam makanan.

Isu Villa Nabila: Usah buat sebaran khabar angin ganggu tugas polis

Wednesday, November 20, 2013 0 Komen

Johor Bahru: Polis kesal dengan penyebaran maklumat tidak tepat mengenai kehilangan remaja yang mengunjungi Villa Nabilla di Jalan Skudai di sini, melalui Internet hingga menyebabkan kekecohan kerana menyebabkan pasukan keselamatan itu melakukan tugas yang sepatutnya tidak perlu seperti mengawal lalu lintas dan orang ramai yang bersesak di kawasan vila berkenaan.

Berikutan itu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff meminta orang ramai lebih bertanggungjawab menggunakan kemudahan Internet, bukannya menyebarkan maklumat berunsur fitnah hingga mengganggu ketenteraman awam termasuk tugas polis menjaga keselamatan.

Menurutnya, penyebaran maklumat tidak tepat itu menggegarkan negara dan pihaknya menerima banyak panggilan telefon mengakibatkan pelbagai tugas polis terjejas terutama membabitkan jenayah.

"Kehadiran orang ramai menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu dan kami terpaksa menempatkan ramai anggota bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan mengelak kemalangan.

"Hingga kini, saya difahamkan orang ramai masih pergi ke vila itu walaupun kes sudah selesai dan ia mengganggu tugas kami mencegah jenayah.

"Sepatutnya kemudahan Internet membawa kebaikan, bukannya memperbodohkan orang ramai. Saya menafikan cerita dia (seorang remaja) hilang ketika berada dalam vila itu.

"Nasihat saya hentikan kepercayaan khurafat ini dan jangan sebarkan khabar angin kononnya masih ada 22 remaja hilang di vila itu. Ini semua karut," katanya, di sini, semalam, mengulas penyebaran berita di laman sosial dan blog mendakwa 23 remaja hilang di vila berkenaan sejak tengah malam Sabtu lalu. ~ HM

Tun Mahathir kecewa Wawasan 2020 tidak lagi diguna

Friday, November 15, 2013 0 Komen

Saya tidak tahu apa dah jadi selepas zaman saya,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika program sepetang bersamanya di pekarangan Muzium Padi di sini, hari ini.

Ini kerana pada kebiasaannya seorang pemimpin akan buat sesuatu atau agenda yang baru supaya terus diingati rakyat.

Sebagai contoh, beliau menjadikan Wawasan 2020 sebagai matlamat tetapi sudah tidak digunakan lagi pemimpin baru dalam memajukan negara ini selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri.

“Kita buat Wawasan 2020. Kalau dia buat juga Wawasan 2020 sudah pasti orang tidak akan mengingatinya. Sebab itu dia buat yang lain untuk rakyat mengingatinya.

“Kemudian muncul Islam Hadhari. Selepas pemimpin berkenaan tidak memegang jawatan lagi, muncul pula National Key Result Areas (NKRA), transformasi dan sebagainya. Siapa yang terlibat dalam perkara ini, sudah pasti si pulan dan si pulan,” katanya sambil senyum sinis.

Turut hadir Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan, Aminuddin Omar.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, negara ini perlu ada perubahan yang lebih baik untuk jangka masa panjang.

“Tapi yang lebih baik itu kadang-kadang tidak jadi lebih baik, jadi lebih teruk. Itu pun tidak ada penerusan daripada apa yang ada pada sebelumnya. Tapi ada juga sedikit sebanyak kaitan dengan apa yang dilaksana sebelumnya.

“Nak cari yang buruk itu mudah. Kadang-kadang kita buat tidak kena, orang suruh kita berhenti. Pada saya, penerusan itu perlu berlaku kerana ia ada kaitan. Perkara yang kita buat sebelum ini tidak boleh dilupakan,” katanya.

Wanita Vietnam tawar khidmat seks krn lelaki Malaysia pemurah

Wednesday, November 13, 2013 0 Komen

Di Malaysia, bercambah pusat pelacuran yang berselindung atas nama pusat kesihatan dan sebagainya. Kini terdapat lambakan pekerja seks dan pelacur warga Vietnam yang didalangi sindiket tertentu.

“Kami dijanjikan pendapatan lebih lumayan di Malaysia kerana ejen beritahu lelaki di negara ini lebih pemurah dan penyayang,” kata salah seorang pelacur warga Vietnam dikenali sebagai Binh, 24, yang berkhidmat sebagai pekerja seks di sebuah pusat spa di bandaraya ini.

Dia yang berasal dari daerah Phu My Hung turut berharap ada pelanggan dalam kalangan lelaki tempatan sudi mengahwininya seperti mana berlaku pada rakannya yang dihantar bekerja di Korea Selatan atau Taiwan.

Menurutnya, aktiviti pelacuran di Vietnam menghadapi persaingan sengit dan kebanyakan rakan-rakannya ‘dieksport’ ke China, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia oleh sindiket.

“Ada yang benar-benar sukarela menjadi pelacur dan ada yang ditipu sindiket yang berselindung di sebalik agensi mencari jodoh atau agensi menyediakan pekerjaan di luar negara.

“Saya sendiri bersama rakan-rakan dibawa masuk ke Malaysia awal tahun ini dengan menggunakan pasport sebagai pelancong. ~ Metro

Freddie Joseph, kanak-kanak diculik ditemui di Tasik Titiwangsa

Sunday, November 10, 2013 0 Komen

Freddie Joseph, kanak-kanak 20 bulan yang diculik dari Bangsar semalam, telah ditemui di Taman Tasik Titiwangsa, 12.20 tengah hari ini.

Ia disahkan oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa.

Kanak-kanak itu dijumpai orang ramai dalam keadaan tidak bermaya oleh orang ramai sebelum dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk ditemukan dengan ibunnya, Sarah Joseph, 39.

Khairi berkata, kanak-kanak berkenaan ditemui seorang lalaki yang kebetulan berada di taman tasik berkenaan.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, kanak-kanak itu ketika ditemui dalam keadaan keletihan dan kelaparan.

Kanak-kanak itu yang memakai baju berwarna hijau dan seluar putih telah diselamatkan oleh seorang pemandu lori dan seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui laluan di Taman Tasik Titiwangsa.

Pemandu lori Hamid Md Isa, 57, yang juga pesara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata beliau melihat kanak-kanak itu berjalan berseorangan dan kelihatan keletihan.
Beliau kemudian segera mendapatkan kanak-kanak itu dan memimpinnya ke tepi padang untuk berehat.

Pemandu teksi Haris Mohd Nor, 48, pula segera membeli keropok dan minuman untuk kanak-kanak itu apabila melihatnya keletihan.

"Pagi tadi saya membaca akhbar dan ada berita mengenai kanak-kanak diculik...tapi tak sangka budak inilah yang diculik itu. Semasa saya mendekatinya, dia diam dan tidak berapa takut tetapi memang nampak dia lesu sangat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab yang kebetulan berada di lokasi sama, telah memaklumkan kepada Meja Berita Am agensi itu mengenai penemuan anak lelaki guru bahasa warga Britain itu.

Menurutnya ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersenam di taman itu.

"Dan saya lihat sekumpulan orang awam berkumpul bersama seorang kanak-kanak. Saya dapat merasakan yang dia adalah budak yang diculik semalam berdasarkan wajahnya yang bukan seperti kanak-kanak tempatan.

"Selepas itu saya terus menelefon wartawan Bernama dan menghantar gambarnya yang saya ambil menerusi telefon untuk memastikan sama ada dia budak yang diculik itu," katanya.

Wartawan Bernama kemudian menghantar gambar itu kepada rakan ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Robert dan beliau mengesahkannya.

Polis yang tiba di Taman Tasik Titiwangsa kemudian membawa Freddie ke Balai Polis Jalan Tun Razak di sini.

Bernama difahamkan ibu kanak-kanak itu Sarah Joseph dalam perjalanan ke balai polis berkenaan.

Dalam kejadian 6.10 petang semalam, kanak-kanak itu dilarikan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai warga asing menggunakan kereta Toyota Camry berwarna putih.

Pada masa kejadian, Sarah, 38, masuk sebentar ke dalam rumah selepas memberi anaknya makan di halaman rumah, sebelum beliau terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

Ketika itu, beliau nampak seorang lelaki cuba melarikan Freddie lalu menerpa ke arahnya untuk menyelamatkan anaknya sambil menjerit meminta pertolongan sehingga berlaku pergelutan.

Akibat pergelutan itu, Sarah cedera di pergelangan tangan kanannya. ~ BH

Hatijah Aam (Ummu Jah) mengaku langgar arahan mufti

Friday, November 08, 2013 0 Komen

Balu pengasas pertubuhan al-Arqam yang diharamkan pada 1994, Hatijah Aam atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah dan 17 pengikut akhirnya mengaku salah terhadap pertuduhan melanggar arahan mufti melalui fatwa pengharaman ajaran al-Arqam.

Pengikutnya terdiri daripada tujuh lelaki dan 10 wanita berusia antara 18 dan 58 tahun daripada golongan profesional, pelajar dan ahli perniagaan.

Justeru, Hakim Syarie Kamarulzaman Ali di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, semalam memerintahkan mereka dikenakan bon berkelakuan baik bersyarat selama satu tahun.

Ummu Jah, 59, yang juga Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) turut didenda RM1,000 selepas mengaku salah menerbitkan buku yang bertentangan dengan hukum syarak.

Wanita itu turut berdepan hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda. Ummu Jah membayar denda itu.

Selain itu, mahkamah menetapkan syarat terhadap Ummu Jah dan pengikutnya supaya tidak mengikut sebarang ajaran al-Arqam dan ajaran yang menyalahi undang-undang.

Mereka turut diperintahkan menjalani kursus pemulihan akidah yang diselaraskan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selama 500 jam.

Dalam penghakimannya, Kamarulzaman memuji sikap semua tertuduh yang mengaku salah atas kesalahan mereka.

"Orang yang bertaubat daripada dosa sama seperti orang yang tidak berdosa, penyesalan dan keinsafan perlu ditunjukkan dan bukan hanya disebut.

"Manakala orang yang mendengar mengenai pengakuan salah ini pula jangan cepat prejudis dan perlu bersangka baik," katanya.

Kamarulzaman turut menambah, setiap manusia tidak lepas daripada membuat kesilapan, namun mempunyai peluang untuk memperbaiki kesilapan masing-masing.

"Hukuman penjara dan denda bukan jalan penyelesaian terbaik, mahkamah bersetuju dengan pendakwa supaya memberikan hukuman alternatif dengan syarat yang tidak kelihatan berlebihan dan sesuatu memerlukan pengisian," katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Ummu Jah sebagai pengarah syarikat GISB didakwa menggunakan kedudukannya untuk menghidupkan kembali ajaran dan fahaman kumpulan al-Arqam melalui syarikat itu pada 1 Januari 2008.

Ia melanggar Perenggan 7 Fatwa Mufti yang diwartakan pada 21 Disember 2006 dibaca bersama Perenggan D Fatwa Mufti yang diwartakan pada 11 Ogos 1994.

Pengikutnya pula didakwa menjadi pengikut syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd melalui syarikat GISB yang mempunyai unsur persamaan dengan ajaran dan fahaman kumpulan al-Arqam antara 2008 dan 15 Mei lalu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Selangor) 1995.

Ummu Jah turut didakwa bagi pertuduhan berasingan menerbitkan sebuah buku bertajuk 45 Tahun 1968-2013 Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi yang kandungannya bertentangan syarak pada 1 Januari 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 16 (1)(a) enakmen sama.

Kedua-dua seksyen membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 316, Jalan Desa 9/6, Bandar Country Homes, Rawang di sini.

Pendakwaan kes itu dijalankan Ketua Pendakwa Syarie JAIS Abdul Shukor Abd Hamid dan dibantu Pendakwa Syarie Muhamad Rafizan Ahmad Supian dan Aiman Roslan.

Ummu Jah yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya dan bersetuju dengan apa yang dikatakan pihak pendakwaan.

10 tahun tak buka tingkap kerana bau ubat gegat

Friday, November 08, 2013 0 Komen

"Sudah lebih 10 tahun saya dan keluarga terpaksa menghidu bau ubat gegat yang datang dari kilang yang dibina terlalu hampir dengan rumah," kata bekas guru, Sarjat Ali, 64, yang menderita akibat pencemaran bau di kediamannya di Jalan 28, Taman Kencana, di sini.

Selain kilang ubat gegat itu, terdapat kilang percetakan yang baru beroperasi bersebelahan kilang berkenaan yang turut mengeluarkan bau busuk daripada sisa toksik yang dibuang bersama sampah domestik.

"Penduduk tidak boleh membuka pintu atau tingkap sepanjang hari selama 10 tahun kerana tidak tahan dengan pencemaran bau yang terlalu kuat sehingga menyebabkan sakit kepala," katanya.

Menurutnya, selain pencemaran bau, dua kilang yang kedudukannya berjiran dengan penduduk itu turut mengeluarkan pencemaran bunyi sehingga mendatangkan keadaan tidak selesa kepada penduduk.

"Sudahlah baju yang dijemur di belakang rumah akan berbau ubat gegat, tidak mustahil jika penduduk juga berbau ubat gegat.

"Kami berhak mendapat keselesaan ketika berada di rumah dan bukannya terpaksa berdepan dengan bau busuk daripada kilang yang mengaut keuntungan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Normala Mohamad, 50, berkata dia menderita bau bahan kimia yang dilepaskan kilang percetakan sepanjang hari kerana menjaga cucunya di rumah sepenuh masa.

"Saya boleh bertolak ansur dengan bunyi bising, tapi bau busuk yang terlampau membuatkan saya sesak nafas dan cucu juga sering batuk.

"Paling tidak boleh tahan ketika angin membawa bau busuk berkenaan sehingga saya terpaksa menutup hidung untuk beberapa minit sehingga hilang bau itu," katanya.

Menurut Normala, perkara itu sudah berada dalam pengetahuan MPAJ sekian lama kerana aduan sentiasa dilakukan, namun tiada tindakan drastik diambil.

"Persoalannya, bagaimana pihak MPAJ boleh membenarkan kilang berkenaan beroperasi di kawasan perumahan yang sudah wujud selama lebih 30 tahun.

"Saya dan penduduk lain sudah tidak tahan dengan keadaan bau busuk yang melampau dan merayu kepada pihak MPAJ supaya mengambil tindakan segera supaya dapat memindahkan kilang ke kawasan lain yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Rosliza Mohd, ketika dihubungi, berkata kilang percetakan yang membuang bahan kimia di kawasan itu didapati tidak berlesen.

"Kilang percetakan itu akan diarah supaya memohon lesen secepat mungkin dan menepati aspek keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan atau kompaun akan dikenakan," katanya.

Sultan Johor tarik balik gelaran CEO YPJ, Hamsan Saringat

Friday, November 08, 2013 0 Komen

Sultan Johor tarik balik gelaran CEO YPJ, Hamsan Saringat

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menarik kembali pengurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Hamsan Saringat berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor yang juga Menteri Darjah Mahkota Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, pembatalan darjah dan pingat berkenaan dibuat selepas menerima titah Sultan Ibrahim semalam.

"Pengurniaan DPMJ kepada Hamsan pada 2005 ditarik semula dan dibatalkan serta merta mengikut kuasa di bawah Fasal 7(2)(f) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 dan Fasal 13 Undang-undang dan Peraturan Bagi Darjah Mahkota Johor.

"Mulai tarikh itu , Hamsan tidak boleh menggunakan gelaran Datuk dalam apa jua urusan. Sultan Ibrahim juga menitahkan Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) yang dikurniakan kepada Hamsan juga ditarik balik dan dibatalkan serta merta," katanya pada sidang akhbar di Istana Besar Johor Bahru di sini sebentar tadi. - KOSMO!

Kisah gadis di rumah Perlindungan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah

Sunday, October 27, 2013 0 Komen

Kisah gadis di Raudhatus Sakinah

Remaja semuda 12 tahun ini merupakan antara penghuni Pusat Bimbingan dan Perlindungan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah cawangan Selangor.

Dengan hanya beranggapan bapanya lebih menyayangi abang-abangnya, Ummi (bukan nama sebenar) menjadi seorang anak gadis liar dan kurang ajar.

Pada kedua-dua ibu bapanya pernah dihamburkan kata-kata kesat serta makian.

Namun itu semua cerita dahulu kena Ummi kini telah menyedari kesilapannya dan berusaha mencari jalan hidup yang lebih lurus.

Memahami situasi anak gadis tersebut, Ummi seperti remaja-remaja lain turut 'menuntut' kasih sayang daripada kedua ibu bapanya.

Walaupun anak tunggal perempuan dalam keluarga, Ummi mendakwa dirinya tidak disayangi apatah lagi mendapat perhatian yang sewajarnya daripada kedua orang tuanya.

"Mak dan ayah sentiasa sibuk, mereka berdua tidak penah mempunyai masa untuk saya serta kedua-dua abang saya.

"Apa sahaja kemahuan kami akan diberikan tanpa banyak soal. Tetapi mengapa saya ditempatkan di sini? Kerana saya dapat rasakan yang kedua ibu bapa saya lebih memberi perhatian dan kasih sayang kepada kedua abang-abang saya.

"Ini dapat dilihat apabila mereka (abang) meminta wang ayah akan memberi beratus ringgit tetapi jika saya yang memintanya tidak pernah dapat lebih daripada RM50," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mungkin masih muda serta inginkan perhatian lebih, Ummi mendapatkan kesemuanya melalui rakan-rakan.

Memberitahu dia lebih senang dan selesa apabila berada dalam kelompok rakan-rakannya. Ummi tidak menafikan akibat daripada pergaulan bebasnya itu dia juga sudah mengenali apa itu rokok dan arak.

Menafikan pernah menjalinkan hubungan ranjang dengan mana-mana rakan lelaki yang lain, Ummi memberitahu dirinya hanya menyentuh rokok dan arak serta sesekali mengambil dadah.

Mengakui apa yang dilakukan adalah pengaruh daripada rakan-rakannya, Ummi kini sedar akan kesalahan yang telah dilakukan terutama terhadap kedua ibu bapanya.

Ingin memohon keampunan daripada mereka sebaik sahaja tamat pemulihan di Raudhatus Sakinah, Ummi, menyatakan dia akan menebus kembali masa-masa lalu yang telah disia-siakan.

Keldai dadah

Bagi Jelita (bukan nama sebenar) pula, akibat daripada ketiadaan kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia sejak dia berusia sembilan tahun seterusnya dijaga oleh kakaknya, dia menjadi seorang remaja liar sehingga melahirkan anak luar nikah.

Bukan itu sahaja, Jelita juga merupakan 'keldai dadah' diupah oleh teman lelakinya yang merupakan rakyat Afrika.

Mengakui bersekedudukkan dengan teman lelakinya sejak berusia 18 tahun, Jelita yang kini berusia 21 tahun telah menghuni Raudhatus Sakinah sejak tiga tahun lalu.

Bercerita lanjut mengenai kejadian yang berlaku, Jelita memberitahu dia merupakan anak bongsu daripada 10 beradik.

Setelah ketiadaan ibu dan bapanya, dia dijaga oleh kakaknya manakala adik beradiknya yang lain tidak mengambil peduli akan dirinya.

Mengakui adik-beradiknya yang lain tidak penah menjalani suruhan Allah (kecuali abang sulungnya), Jelita berkata, kakak yang menjaganya juga tinggal serumah dengan teman lelakinya.

Akibat daripada ingin bebas serta tidak tahan sering dipukul dan dimarahi teman lelaki kakaknya, Jelita telah melarikan diri dari rumah.

"Keluarga saya berpecah-belah setelah ketiadaan mak dan ayah. Lagipun saya tidak mendapat pendidikan agama secukupnya dan adik-beradik yang lain pula tidak menunjukkan contoh yang baik. Saya juga sering tidak sependapat dengan kakak (yang tinggal bersama) menyebabkan saya mengambil keputusan melarikan diri.

"Saya lebih selesa dengan kehidupan tanpa dikelilingi adik-beradik sehinggalah kejadian ini (hamil anak luar nikah) berlaku," tambahnya lagi.

Dihantar oleh kakaknya ke rumah tersebut, Jelita kini semakin selesa dengan didikan agama serta ilmu yang diperoleh di pusat bimbingan tersebut.

Tidak terfikir untuk keluar dari pusat bimbingan tersebut, Jelita mengakui mahu menjadi penghuni tetap di situ lebih-lebih lagi apabila bekas teman lelakinya sehingga kini masih mencarinya.

Ini kerana sebelum dimasukkan ke pusat tersebut, dia serta bekas teman lelakinya telah ditangkap polis atas tuduhan disyaki memiliki dadah.

Tetapi ketika itu Jelita bernasib baik kerana semasa ditahan dadah yang dicari polis tidak ada bersama mereka.

Bagaimanapun Jelita telah bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat mengenai bekas teman lelakinya yang memang merupakan pengedar dadah.

Akhirnya bekas teman lelaki Jelita telah ditahan dan dipenjara selama tiga tahun atas kesalahan yang dilakukan.

Apa yang diharapkan Jelita ialah penyatuan semula kesemua ahli keluarganya dan yakin dengan dirinya sendiri untuk mengharungi hari-hari mendatang.

Lahir anak di bilik air

Dalam pada itu, seorang lagi penghuni pusat tersebut, Yan (bukan nama sebenar) tersasar daripada landasan hidup bukan disebabkan kurang didikan agama mahupun perhatian daripada keluarga, sebaliknya menganggap hidupnya terlalu dikongkong keluarga.

Justeru tawaran yang diterima untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading dijadikan 'tiket' untuk hidup bebas.

Yan seperti seorang remaja yang terkena kejutan budaya. Dia menjalin hubungan dengan seorang lelaki sehingga melahirkan anak luar nikah baru-baru ini.

Dilihat begitu naif, ketika ditanya mengenai kandungannya, Yan memberitahu, dia tidak mengetahui dirinya mengandung sehinggalah melahirkan bayi di dalam bilik air di rumahnya.

Dia akhirnya dihantar ke pusat bimbingan tersebut oleh keluarga dalam usaha membawanya pulang ke pangkal jalan.

Yan menyesali apa yang telah berlaku dan berharap setelah selesai menjalani proses pemulihan di pusat tersebut dia dapat menyambung kembali pengajiannya yang tertangguh dan dapat berjasa kepada kedua ibu bapanya.

Ibu tanggung malu anak upload video mesra dalam Youtube

Wednesday, October 23, 2013 0 Komen

Rakaman video kapel paling romantik 2013 pasangan kekasih dimuat naik dalam YouTube


"Orang hanya pandai mengata, tuduh saya tak tahu jaga anak dan macam-macam lagi. Hakikatnya, saya dan suami sudah jalankan tanggungjawab kami dan anak saya bukan gadis liar yang boleh keluar rumah sesuka hati.

"Kalau perkara sama berlaku pada mereka (orang yang mengata), mungkin baru mereka tahu apa yang saya dan suami rasakan sekarang. Saya merayu, fahamilah situasi kami dan janganlah tuduh kami yang bukan-bukan."

Itu luahan hati seorang ibu mahu dikenali sebagai Rohani, 36, selepas rakaman video anak perempuannya yang berusia 15 tahun dengan 'aksi mesra' bersama teman lelaki, kini tersebar meluas di laman YouTube dan Facebook (FB).

Rohani berkata, perhubungan anak perempuannya, dinamakan sebagai F dengan teman lelakinya yang juga berusia belasan tahun memang diketahuinya, namun dia tidak menyangka mereka akan bertindak sejauh itu.

"Saya memang tahu mereka berkawan rapat, tapi tak sangka pula sampai merakam video berpeluk dan bercium dan dimuat naik pula ke Internet," katanya.

Menurut Rohani, dia mendapat tahu mengenai rakaman video itu apabila diberitahu sendiri anaknya selepas ia tersebar di Internet.

"Tapi anak saya tak tahu siapa yang sebarkan video itu di Internet dan dia syak ia dilakukan kawan teman lelakinya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Rakaman video aksi mesra F bersama teman lelakinya yang berpelukan dan bercium di pondok sebuah taman rekreasi mendapat perhatian pelayar Internet yang memberi lebih 1,000 komen,

Sebahagian besar daripada mereka mengutuk pasangan remaja terbabit dan menyalahkan ibu bapa mereka yang dituduh tidak pandai menjaga anak, namun ada juga yang memberi nasihat selain mencadangkan kedua-duanya dikahwinkan saja.

"Bila rakaman video itu tersebar, suami amat marah dan kecewa, tetapi apa sangatlah yang boleh kami lakukan kerana perkara sudah berlaku.

"Inilah sikap budak-budak zaman sekarang, buat sesuatu tanpa fikir panjang. Bila jadi macam ni, ibu bapa jugalah yang susah dan terpaksa tanggung malu.

"Sukar diceritakan perasaan malu saya apabila rakan, jiran dan saudara mara bertanya saya mengenai apa yang berlaku. Biarpun sukar, kami terpaksa harungi juga," kata Rohani.

Ditanya adakah dia akan mengahwinkan F dengan teman lelakinya sebagaimana dicadangkan sesetengah pihak, Rohani berkata, anaknya itu masih terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga.

"Sebagai ibu, pastinya saya mahu yang terbaik buat anak saya. Namun, soal jodoh ini di tangan Tuhan dan kita tak tahu bagaimana masa depannya nanti," katanya.

Rohani berkata, berikutan itu, pergerakan anaknya kini dikawal lebih ketat dan berharap anaknya tidak terus dipandang serong.

"Mungkin saya akan pindahkan dia ke sekolah lain. Biar apapun berlaku, saya akan pastikan dia perlu tamatkan persekolahannya, sekurang-kurangnya setakat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Taman Tema Air Legoland mula dibuka

Monday, October 21, 2013 0 Komen

Taman Tema Air Legoland yang juga terbesar di dunia dan pertama di Asia mula dibuka hari ini.

Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort Siegfried Boerst dalam kenyataan berkata, pembukaan taman tema berkenaan akan membawa transformasi kepada Legoland Malaysia menjadi sebuah resort.
“Taman air itu dijangka menambah dimensi baru kepada pengalaman Legoland Malaysia berikutan ia menawarkan pelbagai kemudahan yang mampu menjanjikan keseronokan kepada pengunjung,” katanya.

Menurutnya, ia adalah satu-satunya taman yang boleh berdiri sendiri sebagai daya tarikan kendiri atau secara gabungan dengan Taman Tema Legoland yang dibuka sejak tahun lalu.

Taman Tema Air Legoland

“Taman Air itu adalah destinasi percutian unik bagi keseluruhan keluarga untuk beriadah, menawarkan pengembaraan, pendidikan dan keseronokan bagi percutian sehari atau dalam tempoh lebih lama,” katanya.
Legoland Malaysia Resort terletak di Johor, memiliki lebih 70 permainan tunggangan, gelongsor dan pertunjukan yang menjanjikan pengalaman menarik kepada keluarga.

Perigi sunyi port maksiat

Friday, October 11, 2013 0 Komen

Jasin: Menjijikkan apabila ada pasangan remaja dikesan menjadikan kawasan sunyi di perigi Portugis di Pengkalan Samak, Merlimau, di sini, sebagai lokasi melakukan perbuatan tidak bermoral.

Selain menjadi tempat budak sekolah melepak, beberapa kawasan terlindung di kawasan itu dipercayai menjadi lokasi individu meneguk arak dan selain gejala tidak bermoral dilakukan remaja.

Penduduk mahu dikenali sebagai Lina, 28, berkata, perbuatan itu sudah berlarutan sejak setahun lalu dan ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Saya sudah tidak tahan melihat kejadian ini berlaku di kawasan kampung kami yang kebanyakannya membabitkan remaja.

"Boleh dikatakan hampir setiap kawasan itu menjadi tumpuan untuk melepak, minum arak dan maksiat," katanya ketika ditemui di kawasan itu, baru-baru ini.

Lina berkata, biasanya kawasan itu akan dikunjungi sekumpulan pelajar yang akan menghabiskan masa melepak sehingga waktu tengah hari.

Menurutnya, kawasan perigi yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan besar dan agak terlindung dari pandangan ini menjadi lokasi golongan itu melakukan pelbagai perbuatan tidak bermoral.

"Selain pelajar, kawasan ini sering didatangi mereka yang menaiki kereta dan motosikal pada lewat tengah malam dipercayai untuk melakukan kegiatan maksiat," katanya yang berharap pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani masalah itu.

Penduduk dikenali sebagai Fatimah, 38, berkata, selain menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral, remaja yang datang ke kawasan itu gemar membuang botol minuman keras di merata tempat.

"Perigi Portugis ini menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara pada hujung minggu. Kunjungan mereka bagaimanapun disajikan dengan persekitaran yang kotor kerana tidak dijaga dengan baik.

"Selain menjadi lokasi golongan muda melakukan kegiatan tidak bermoral, kawasan perigi yang tidak berpagar itu turut diceroboh binatang ternakan termasuk lembu, sekali gus mengotorkan persekitaran," katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan perlu bertindak supaya kawasan itu tidak terus menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Rahimin Bani berkata, pihaknya akan menjadikan kawasan itu sebagai lokasi wajib untuk rondaan sama ada pada siang atau malam bagi mengekang kegiatan tidak bermoral.

"Kita khuatir jika dibiarkan berterusan akan mengundang kejadian lebih buruk seperti jenayah rogol, samun minum arak dan sebagainya," katanya.

~ HM

 

ZONFINITI