10 tahun tak buka tingkap kerana bau ubat gegat

Friday, November 08, 2013

"Sudah lebih 10 tahun saya dan keluarga terpaksa menghidu bau ubat gegat yang datang dari kilang yang dibina terlalu hampir dengan rumah," kata bekas guru, Sarjat Ali, 64, yang menderita akibat pencemaran bau di kediamannya di Jalan 28, Taman Kencana, di sini.

Selain kilang ubat gegat itu, terdapat kilang percetakan yang baru beroperasi bersebelahan kilang berkenaan yang turut mengeluarkan bau busuk daripada sisa toksik yang dibuang bersama sampah domestik.

"Penduduk tidak boleh membuka pintu atau tingkap sepanjang hari selama 10 tahun kerana tidak tahan dengan pencemaran bau yang terlalu kuat sehingga menyebabkan sakit kepala," katanya.

Menurutnya, selain pencemaran bau, dua kilang yang kedudukannya berjiran dengan penduduk itu turut mengeluarkan pencemaran bunyi sehingga mendatangkan keadaan tidak selesa kepada penduduk.

"Sudahlah baju yang dijemur di belakang rumah akan berbau ubat gegat, tidak mustahil jika penduduk juga berbau ubat gegat.

"Kami berhak mendapat keselesaan ketika berada di rumah dan bukannya terpaksa berdepan dengan bau busuk daripada kilang yang mengaut keuntungan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Normala Mohamad, 50, berkata dia menderita bau bahan kimia yang dilepaskan kilang percetakan sepanjang hari kerana menjaga cucunya di rumah sepenuh masa.

"Saya boleh bertolak ansur dengan bunyi bising, tapi bau busuk yang terlampau membuatkan saya sesak nafas dan cucu juga sering batuk.

"Paling tidak boleh tahan ketika angin membawa bau busuk berkenaan sehingga saya terpaksa menutup hidung untuk beberapa minit sehingga hilang bau itu," katanya.

Menurut Normala, perkara itu sudah berada dalam pengetahuan MPAJ sekian lama kerana aduan sentiasa dilakukan, namun tiada tindakan drastik diambil.

"Persoalannya, bagaimana pihak MPAJ boleh membenarkan kilang berkenaan beroperasi di kawasan perumahan yang sudah wujud selama lebih 30 tahun.

"Saya dan penduduk lain sudah tidak tahan dengan keadaan bau busuk yang melampau dan merayu kepada pihak MPAJ supaya mengambil tindakan segera supaya dapat memindahkan kilang ke kawasan lain yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Rosliza Mohd, ketika dihubungi, berkata kilang percetakan yang membuang bahan kimia di kawasan itu didapati tidak berlesen.

"Kilang percetakan itu akan diarah supaya memohon lesen secepat mungkin dan menepati aspek keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan atau kompaun akan dikenakan," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI