Wanita Malaysia diselamat selepas 30 tahun jadi hamba

Saturday, November 23, 2013

Wanita Malaysia berusia 69 tahun yang dijadikan hamba dan dikurung kira-kira 30 tahun di sebuah rumah di selatan London dikatakan mengalami strok tetapi dua suspek yang menahannya tidak membenarkan dia mendapat bantuan perubatan.

Beliau yang ditahan bersama dua lagi wanita masing-masing dari Ireland berusia 57 tahun dan rakyat negara itu berusia 30 tahun, hanya dibenarkan keluar seketika untuk menjemur pakaian atau menemani suspek membeli barang.

 Amat menyedihkan


"Tiga wanita yang dijadikan hamba di Lambeth itu tidak dibenarkan ‘menjenguk’ dunia luar dan menjalani hidup di dalam keadaan amat menyedihkan,” kata badan kebajikan yang membantu membebaskan mereka semalam.

Tempoh perhambaan mereka selama tiga dekad berakhir bulan lalu apabila seorang daripada mangsa membuat ‘panggilan memohon bantuan’ selepas seorang daripada rakannya tidak dibenar mendapatkan rawatan perubatan selepas diserang strok.

Jurucakap rasmi David Cameron berkata, Perdana Menteri menyifatkan kes itu sebagai amat menyedihkan.

Detektif Kevin Hyland, dari unit pemerdagangan manusia polis Metro, mendedahkan ketiga-tiga wanita terbabit diselamatkan selepas sekurang-kurangnya 30 tahun menjadi hamba dengan mangsa paling muda dikatakan tidak pernah melihat dunia luar.
Hubungi Freedom Charity

“Mereka dibebaskan Oktober lalu apabila seorang daripada mereka menghubungi Freedom Charity selepas menyaksikan satu dokumentari mengenai perkahwinan paksa di televisyen,” katanya yang dipetik akhbar Daily Mail.

Wanita terbabit tidak memberikan nama dan alamat beliau tetapi polis kemudian menghubungi mereka apabila berjaya mengesan nombor telefon dan menemui mereka di sebuah rumah biasa di selatan London.

Sementara itu, pengasas Freedom Charity, Aneeta Prem berkata: “Sebaik mendapat mesej, ketiga-tiga mereka berjaya diselamatkan, seluruh pusat kebajikan itu bersorak dan sebahagian mereka menitiskan air mata. Kami amat gembira dan terharu apabila mengetahui kita sudah menyelamatkan ketiga-tiga wanita itu.”

Ditahan polis

“Mereka berada dalam keadaan trauma tetapi amat lega apabila sudah bebas.

“Apabila saya bertemu mereka, ia menjadi satu pengalaman paling hebat buat saya. Mereka memeluk saya sambil menangis. Mereka berterima kasih kepada badan kebajikan ini kerana menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Kedua-dua suspek, berusia 67, bukan warga Britain ditahan polis di selatan London malam kelmarin tetapi dibebaskan dengan jaminan.

AGENSI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI