Dana Perniagaan Sosial perkasa generasi muda

Sunday, November 10, 2013

Dana Perniagaan Sosial dengan peruntukan RM20 juta ditubuhkan bagi memperkasa generasi muda ke arah usaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat dan menangani masalah sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkannya semalam berkata, dana kewangan mikro itu adalah sebahagian aktiviti Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) yang ditubuhkan di Cyberjaya bulan lalu, dengan syarat syarikat terbabit mampu mencapai objektif untuk mengubah nasib golongan yang memerlukan di negara ini.

“Model perniagaan sosial ini dilihat dapat melengkapi usaha kerajaan untuk menangani masalah rakyat dan saya seorang yang percayakan model ini.

“Memang Malaysia adalah negara yang hebat tetapi tidak dinafikan masih berdepan masalah sosial dalam masyarakat dan kerajaan tidak boleh menangani masalah itu di setiap sudut atau menyediakan kemudahan.

Sokong orang muda

“Oleh itu, kita perlu memperkasa dan menyokong generasi muda untuk membantu mereka bagi menangani masalah sosial dalam masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju Perniagaan Sosial di Malaysia’ pada majlis penutup Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global 2013 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Malaysia adalah tuan rumah sidang kemuncak itu yang pertama kali diadakan di Asia, manakala Mexico dipilih untuk menjadi hos tahun depan.

Perniagaan sosial adalah konsep yang diperkenalkan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Profesor Muhammad Yunus, iaitu pengasas Bank Grameen di Bangladesh yang memberi bantuan kewangan mikro kepada golongan miskin untuk memulakan perniagaan.

Bidang perniagaan tidak bermatlamatkan keuntungan tetapi lebih kepada membantu golongan terpinggir ini menyediakan produk atau perkhidmatan dengan matlamat sosial, etika atau alam sekitar. Contoh terbaik adalah syarikat Grameen Danone yang menghasilkan produk kesihatan pada harga berpatutan bagi menangani masalah kekurangan khasiat dalam kalangan rakyat Bangladesh.

Mengikut perangkaan terkini Bancian Perniagaan Sosial Nasional oleh badan bukan kerajaan, ada kira-kira 70 perniagaan sosial di Lembah Klang.

Turut hadir ialah Muhammad Yunus yang juga Pengerusi Pusat Yunus; Ketua Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global, Hans Reitz; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah myHarapan, Ashran Ghazi.

Najib berkata, model perniagaan sosial dilihat sebagai keusahawanan yang menumpukan penyelesaian masalah sosial di samping mendapat keuntungan kewangan.

“Berbanding perniagaan sosial konvensional yang boleh membentuk kegiatan perniagaan, peluang pekerjaan, meningkatkan pelaburan dan kekayaan sesebuah negara tetapi ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah masyarakat,” katanya.

Kaedah baru

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, model perniagaan sosial juga adalah kaedah baru untuk mengatasi sistem kapitalis kerana ia boleh membawa kepada masyarakat mapan.

Najib berkata, langkah sekumpulan anak muda untuk mewujudkan hospital di Kemboja dan memerlukan peruntukan RM4 juta serta idea untuk menghasilkan produk daripada bahan buangan adalah sesuatu yang seharusnya mendapat sokongan pelbagai pihak.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI