Saintis Australia rangkul Anugerah Sains Mahathir 2013

Friday, November 01, 2013

Saintis Australia rangkul Anugerah Sains Mahathir 2013    

Saintis Australia, Prof. Alan Cowman telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Sains Mahathir 2013 atas penemuan penyelidikan beliau mengenai malaria.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Yayasan Sains Anugerah Sains Mahathir (MSAF) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pada hari Khamis.

Ahmad Sarji berkata, penyelidikan yang dilakukan Cowman, telah membawa kepada pemahaman mendalam terhadap jangkitan patogenesis dan pembangunan teknologi inovatif genetik songsang 'Plasmodium falciparum' yang juga menerangkan mengenai gen pertama untuk menghapuskan organisma ini.

"Sumbangan ini telah membawa kepada pengenalan sasaran yang lebih baik untuk pembangunan ubat-ubatan baharu bagi melawan jangkitan dan meningkatkan usaha menyelesaikan salah satu masalah kesihatan utama di kawasan tropika," katanya dalam sidang media.

Cowman kini merupakan Ketua Bahagian Jangkitan dan Imuniti di Walter and Eliza Hall Institut Penyelidikan Perubatan yang berpangkalan di Melbourne.

Kajian beliau telah membuka jalan ke arah penemuan vaksin untuk jangkitan malaria yang terus membunuh berjuta-juta orang di Afrika dan Asia.

Ahmad Sarji berkata, pemenang telah dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang yang membawa kesan yang besar dalam meningkatkan kualiti hidup dan membuka peluang-peluang baru untuk kemajuan masa depan sains dan teknologi.

Bagi tahun ini, MSAF telah menerima 29 pencalonan dari 11 negara, termasuk Malaysia, Australia, India, Mesir, Mexico, Taiwan, Thailand, England, Amerika Syarikat dan China.

"Setiap pencalonan telah melalui proses pemilihan ketat yang dijalankan tokoh Fellow dari Akademi Sains Malaysia dan juga dinilai oleh Panel Penasihat Antarabangsa yang terdiri daripada pemenang Hadiah Nobel dan sainstis terkenal di dunia," katanya.

Ahmad Sarji berharap lebih ramai individu dan syarikat akan tampil dan menyumbang dalam memajukan agenda penyelidikan sains tropika demi manfaat manusia.

MSAF dikurniakan kepada mana-mana ahli sains atau institusi di seluruh dunia dalam mengiktiraf pencapaian dan inovasi ke arah menyelesaikan masalah di kawasan tropika melalui sains dan teknologi.

Pemenang anugerah ini akan menerima USD$100,000, pingat emas dan sijil.

"Majlis rasmi penyampaian hadiah dijangka akan diadakan pada tahun depan," katanya.

Anugerah berkenaan dinamakan sempena bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkannya pada 17 Ogos 2004.

Anugerah itu merupakan salah satu daripada anugerah paling berprestij dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi di rantau tropika.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI