Hatijah Aam (Ummu Jah) mengaku langgar arahan mufti

Friday, November 08, 2013

Balu pengasas pertubuhan al-Arqam yang diharamkan pada 1994, Hatijah Aam atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah dan 17 pengikut akhirnya mengaku salah terhadap pertuduhan melanggar arahan mufti melalui fatwa pengharaman ajaran al-Arqam.

Pengikutnya terdiri daripada tujuh lelaki dan 10 wanita berusia antara 18 dan 58 tahun daripada golongan profesional, pelajar dan ahli perniagaan.

Justeru, Hakim Syarie Kamarulzaman Ali di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, semalam memerintahkan mereka dikenakan bon berkelakuan baik bersyarat selama satu tahun.

Ummu Jah, 59, yang juga Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) turut didenda RM1,000 selepas mengaku salah menerbitkan buku yang bertentangan dengan hukum syarak.

Wanita itu turut berdepan hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda. Ummu Jah membayar denda itu.

Selain itu, mahkamah menetapkan syarat terhadap Ummu Jah dan pengikutnya supaya tidak mengikut sebarang ajaran al-Arqam dan ajaran yang menyalahi undang-undang.

Mereka turut diperintahkan menjalani kursus pemulihan akidah yang diselaraskan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selama 500 jam.

Dalam penghakimannya, Kamarulzaman memuji sikap semua tertuduh yang mengaku salah atas kesalahan mereka.

"Orang yang bertaubat daripada dosa sama seperti orang yang tidak berdosa, penyesalan dan keinsafan perlu ditunjukkan dan bukan hanya disebut.

"Manakala orang yang mendengar mengenai pengakuan salah ini pula jangan cepat prejudis dan perlu bersangka baik," katanya.

Kamarulzaman turut menambah, setiap manusia tidak lepas daripada membuat kesilapan, namun mempunyai peluang untuk memperbaiki kesilapan masing-masing.

"Hukuman penjara dan denda bukan jalan penyelesaian terbaik, mahkamah bersetuju dengan pendakwa supaya memberikan hukuman alternatif dengan syarat yang tidak kelihatan berlebihan dan sesuatu memerlukan pengisian," katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Ummu Jah sebagai pengarah syarikat GISB didakwa menggunakan kedudukannya untuk menghidupkan kembali ajaran dan fahaman kumpulan al-Arqam melalui syarikat itu pada 1 Januari 2008.

Ia melanggar Perenggan 7 Fatwa Mufti yang diwartakan pada 21 Disember 2006 dibaca bersama Perenggan D Fatwa Mufti yang diwartakan pada 11 Ogos 1994.

Pengikutnya pula didakwa menjadi pengikut syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd melalui syarikat GISB yang mempunyai unsur persamaan dengan ajaran dan fahaman kumpulan al-Arqam antara 2008 dan 15 Mei lalu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Selangor) 1995.

Ummu Jah turut didakwa bagi pertuduhan berasingan menerbitkan sebuah buku bertajuk 45 Tahun 1968-2013 Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi yang kandungannya bertentangan syarak pada 1 Januari 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 16 (1)(a) enakmen sama.

Kedua-dua seksyen membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 316, Jalan Desa 9/6, Bandar Country Homes, Rawang di sini.

Pendakwaan kes itu dijalankan Ketua Pendakwa Syarie JAIS Abdul Shukor Abd Hamid dan dibantu Pendakwa Syarie Muhamad Rafizan Ahmad Supian dan Aiman Roslan.

Ummu Jah yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya dan bersetuju dengan apa yang dikatakan pihak pendakwaan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI